31 Disember 2011

ISU ANTARABANGSA : REMAJA TEMBAK RAKAN SEKELAS

Oleh AMIRUDDIN HARUN
amir.harun@utusan.com.my


Beberapa orang pelajar meletakkan cendera hati di salah satu sudut 
sekolah sempena memperingati kematian Larry King 
di E.O Green Junior High di Oxnard, California.

Tanggal 12 Februari 2008 merupakan tarikh yang tidak akan dilupakan oleh sekumpulan pelajar yang berada di dalam sebuah makmal komputer di E.O Green Junior High di Oxnard, California. Ketika masing-masing sibuk mengikuti pelajaran, mereka tiba-tiba dikejutkan dengan dua das tembakan yang menyebabkan rakan sekelas mereka, Larry King rebah. Darah tidak putus-putus mengalir keluar dari dua kesan tembakan di kepala remaja lelaki berusia 14 tahun itu. King yang berperwatakan perempuan dan gemar memakai kasut tumit tinggi serta bersolek ke sekolah, akhirnya menemui ajal di tangan rakan sekelasnya, Brandon McInerney. Hampir empat tahun selepas episod suram itu berlaku, McInerney yang kini berusia 17 tahun menerima balasannya pada 19 Disember lalu apabila dia dihukum penjara 21 tahun atas kesalahan membunuh tanpa niat dan menggunakan senjata api secara salah di sisi undang-undang. Remaja tersebut dijatuhi hukuman penjara 11 tahun bagi kesalahan menyebabkan kematian dan penjara 10 tahun lagi bagi kesalahan penggunaan senjata api, ekoran daripada hasil rundingan bagi pengakuan bersalah atas tuduhan-tuduhan tersebut pada November lalu.

McInerney yang memakai baju T putih dan seluar biru, tidak meluahkan sepatah kata pun sebelum hukuman itu dijatuhkan tetapi peguamnya, Scott Wippert menyatakan bahawa anak guamnya memohon maaf dan merasa sungguh kesal atas perbuatannya. Dengan keputusan itu, McInerney akan diperintahkan melapor diri ke penjara pada Januari ini, selepas usianya mencecah 18 tahun. Ekoran pengakuan salahnya, dia tidak layak dibebaskan awal atas alasan berkelakuan baik dan ini bermakna dia hanya akan menikmati harga kebebasan ketika berusia 39 tahun. Sebenarnya rundingan bagi pengakuan bersalah itu dibuat selepas pihak juri menemui jalan buntu sepanjang perbicaraan terhadap McInerney atas tuduhan membunuh dengan niat. Ketika itu remaja terbabit dibicarakan sebagai pesalah dewasa. Beberapa juri kemudiannya menyatakan bahawa pada pendapat mereka, McInerney tidak sepatutnya dibicarakan sebagai pesalah dewasa.

Pada prosiding kes tersebut, peguam bela remaja berkenaan menyatakan, McInerney yang berusia 14 tahun ketika kejadian telah tidak lagi mampu menahan sabar selepas King berulang kali cuba memikatnya dan budak-budak lelaki lain. Beberapa minggu sebelum kejadian tembakan itu, pihak pentadbiran sekolah turut membenarkan King memakai kasut tumit tinggi dan menggenakan solekan ekoran daripada undang-undang persekutuan yang memberikan hak kepada para pelajar untuk menzahirkan orientasi seksual masing-masing. Pihak pendakwaan pula menyatakan bahawa kejadian tembakan yang menyebabkan rakan-rakan sekelas remaja itu tergamam merupakan satu kes bunuh dengan niat dan McInerney wajar dihukum sebagai pesalah dewasa. Mereka menghujahkan bahawa tembakan itu adalah jenayah benci, iaitu aspek yang ditolak oleh pihak juri, selepas pihak berkuasa menemui bahan-bahan material mengenai ideologi orang berkulit putih lebih tinggi darjatnya (white supremascist) di kediaman McInerney.

Selepas hukuman itu dijatuhkan, bapa mangsa, Greg King, membacakan surat setebal empat muka surat dengan mengecam pelbagai pihak termasuk panel juri yang didakwa tidak cekap, selain mengkritik pihak media. Lelaki itu juga menyalahkan pihak sekolah kerana tidak menghiraukan permintaan isterinya yang memohon bantuan bagi membendung kelakuan ranggi anak lelakinya itu. Terhadap McInerney pula, Greg dengan lantangnya menegaskan bahawa keluarganya tidak akan memaafkan remaja tersebut. Di sebalik semua itu, McInerney jelas masih bersikap seperti anak-anak muda yang lain, iaitu tetap menginginkan belaian kasih sayang seorang ibu dan bapa. Itulah yang dapat dilihat di penghujung perbicaraan, sewaktu dia dibawa oleh pegawai polis ke lokap, remaja itu sempat mengucapkan ungkapan 'I Love You' kepada ibunya, Kendra McInerney yang hanya mampu melihatnya pergi dengan linangan air mata.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
31 DISEMBER 2011
Catat Ulasan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts with Thumbnails