Pengikut

22 Mei 2010

ISU UTAMA RAMALAN KARANGAN STPM 2010


BAHAN BACAAN 1
UTUSAN MALAYSIA ARKIB : 06/05/2009
Pendekatan agama tangani mat rempit
Oleh MOHD. RADZI MOHD. ZIN
pengarang@utusan.com.my

MEMBACA tentang gejala mat rempit yang semakin berleluasa di negara kita bukanlah sesuatu untuk dibanggakan. Adalah 'rahsia terbuka' bahawa majoriti remaja yang terlibat dalam kegiatan ini adalah Melayu dan beragama Islam. Inilah yang mencemaskan kita. Rasulullah SAW bersabda yang antara lain bermaksud, Apabila melihat kemungkaran, hendaklah kamu tegah dengan tangan (kuasa), jika tidak mampu tegah dengan lidahnya dan jika tidak mampu hendaklah membenci dengan hati dan itulah selemah-lemah iman. (riwayat Muslim) Oleh itu, adalah tanggungjawab umat Islam untuk sama-sama mencari penyelesaian isu ini yang jika dibiarkan ibarat barah yang semakin serius. Golongan mat rempit dilaporkan turut terbabit dalam jenayah seperti pergaduhan, rompak, ragut dan rogol. Malah, bagi yang lebih ekstrem sanggup membunuh. Persoalannya, sampai bila masalah ini akan berlarutan. Undang-undang sudah ada, cuma barangkali ia belum cukup menggerunkan mat-mat rempit. Justeru pendekatan keagamaan boleh diguna pakai sebagai jalan keluar masalah ini.

Tugas utama tentunya terletak kepada ibu bapa. Ini bertepatan dengan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: Setiap anak yang lahir adalah dalam fitrah. Dua ibu bapanya yang menjadikannya Yahudi atau Nasrani atau Majusi. (muttafaqun alaih). Para pendakwah perlu turun padang untuk sama-sama menyinsing lengan membantu menangani gejala ini. Ketika ini, nasihat atau kuliah agama di masjid dan surau tidak lagi berkesan. Sebabnya, majoriti mat rempit ini bukan 'melepak' di kawasan tersebut. Sebaliknya, lokasi atau port mereka adalah di kawasan seperti Dataran Merdeka di Kuala Lumpur atau Dataran Espanade di Kuantan, Pahang. Memanglah kematian itu pasti akan berlaku kepada manusia. Tetapi melibatkan diri dalam kegiatan merempit, ibarat menjemput kematian dalam keadaan yang mengerikan.Kalau terus mati akibat kemalangan tidak mengapa. Ini tidak. Ada mangsa yang terus merana akibat kecacatan kekal seperti kudung kaki atau tangan akibat kemalangan jalan raya.

Justeru, para pendakwah termasuk pertubuhan bukan kerajaan harus berganding bahu menyusun strategi agar mampu menembusi kelompok terbabit. Golongan ahli politik tanpa mengira ideologi yang sayangkan bangsa dan agama juga perlu turut serta dalam usaha ini. Bukan hanya pandai 'berkokok' di atas pentas retorik. Pada masa yang sama, usaha seperti menyediakan litar lumba bagi 'menghalalkan' kegiatan remaja ini perlu diusahakan. Mana tahu, ada di kalangan mereka yang mampu mengharumkan nama negara di persada antarabangsa persis pelumba profesional Itali, Valentino Rossi. Masjid-masjid juga perlu 'meraikan' golongan remaja begini. Para imam dan pegawai masjid mesti mempunyai kaedah hikmah dan psikologi. Gunakan 'jarum suntikan' secara halus untuk menarik mereka kembali ke pangkal jalan. Jika perlu adakan siri bimbingan fardu ain khas kepada golongan ini terutama tentang kepentingan solat. Ingatlah sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Rebutlah lima perkara sebelum datang lima perkara: hidupmu sebelum matimu, sihatmu sebelum sakitmu, waktu lapangmu sebelum waktu sibukmu, mudamu sebelum tuamu dan kekayaanmu sebelum kemiskinanmu". (Riwayat Imam Ahmad dan Baihaqi).

PENULIS ialah Pengarang Agama Utusan Malaysia.
BAHAN BACAAN 2
UTUSAN MALAYSIA ARKIB : 06/05/2009
Cari punca asas masalah mat rempit


PELBAGAI pihak telah menyuarakan kebimbangan dan kerisauan mereka mengenai isu mat rempit, peragut, perompak dan pelbagai aktiviti jenayah yang melibatkan remaja termasuk yang terjerumus ke dalam kancah perlumbaan haram. Boleh dikatakan saban hari terdapat berita yang melaporkan orang awam menjadi mangsa kepada golongan penjenayah termasuk mat rempit. Terdapat beberapa individu yang telah menulis kepada media menyatakan kemarahan mereka mengenai perkara tersebut, terutamanya mereka yang pernah menjadi mangsa kepada golongan remaja yang ganas tersebut. Sungguhpun pihak polis telah meningkatkan operasi 'berbahaya' terhadap mat rempit - dengan beberapa anggotanya mendapat cedera - tetapi badan penguat kuasa ini dilihat belum lagi dapat menghentikan atau menghapuskan kegiatan tersebut.

Kebanyakan mat rempit adalah daripada kalangan remaja yang berumur di antara 15 ke 19 tahun. Soalan yang timbul ialah apakah yang terjadi terhadap bimbingan ibu bapa kepada remaja tersebut? Kerajaan, terutamanya pihak Kabinet perlu mengambil langkah-langkah berpatutan dan berkesan untuk menangani dan menghentikan kegiatan negatif ini. Pada pandangan saya, kita perlu mencari punca asas kepada masalah mat rempit ini. Adakah kerana mereka berasal daripada keluarga yang bermasalah dan tidak mendapat bimbingan daripada ibu bapa? Atau mereka tidak ada tempat yang sesuai untuk beriadah daripada tekanan atau untuk melampiaskan tenaga mereka? Sekiranya benar, pihak kerajaan perlu menyediakan lebih banyak kemudahan sukan atau rekreasi untuk kegunaan remaja dan anak-anak muda kita.

Kita memerlukan lebih banyak padang bola, gelanggang badminton dan bola keranjang, kemudahan sukan yang termampu oleh golongan remaja. Di bandar dan pekan kita perlu ada lebih banyak kemudahan bersukan dan beriadah. Dalam hal ini Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, dan juga semua kerajaan negeri perlu memastikan pihak berkuasa tempatan menyediakan kemudahan bersukan dan rekreasi yang mencukupi di bandar, pekan dan daerah. Tujuannya untuk membantu membangunkan golongan remaja yang sihat tubuh badan dan mentalnya dan supaya mereka tidak menjadi mat rempit atau melakukan aktiviti yang negatif. Kerajaan juga perlu menyemak semula semua peruntukan undang-undang yang relevan untuk memperkuatkan penguatkuasaan undang-undang dan membendung gejala mat rempit dan perlumbaan haram.

Di antara cadangan lain yang patut dipertimbangkan termasuklah mengklasifikasikan mat rempit yang melakukan kesalahan berulang sebagai 'remaja bermasalah' yang kemudiannya dihantar ke sekolah pemulihan akhlak seperti Sekolah Henry Gurney, di mana mereka akan diberikan kaunseling dan latihan kemahiran. Kepada ibu bapa yang gagal melaksanakan tanggungjawab untuk mendidik anak-anak yang masih di bawah jagaan mereka, mungkin terdapat alasan yang munasabah untuk mengenakan bon jaminan kepada ibu bapa tersebut terhadap perilaku anak-anak mereka.

TAN SRI LEE LAM THYE
Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan
Jenayah Malaysia (MCPF)


BAHAN BACAAN 3
UTUSAN MALAYSIA ARKIB : 15/03/2010
Remaja, rempit dan filem

REMPIT menjadi profesion remaja Melayu yang paling diingati apabila diwirakan dalam beberapa filem tempatan. Rempit yang disekutukan dengan remaja malas, buang masa, jahat dan bakal menjadi perompak apabila dewasa menjadi sangat dekat dengan remaja Melayu. Ini disebabkan profesion itu dimonopoli oleh remaja Melayu dan dipopularkan pula oleh penerbit filem yang juga menyasarkan kepada remaja Melayu. Mat rempit hanya watak Melayu yang hebat dalam filem. Keburukan mat rempit telah diselimutkan kebaikan melampau semata-mata untuk dijadikan wira remaja Melayu. Filem-filem begini menyoroti secara dangkal sisi putih Mat Rempit dengan menuangkan pewangi palsu untuk membuang busuknya. Adakah kisah-kisah melarat dan mudarat mat rempit boleh dikelaskan sebagai filem remaja yang kita mahu lahirkan? Adakah filem-filem begini boleh menjadi cermin untuk menelaah sosialisasi remaja masa kini? Sebenarnya kisah-kisah mat rempit bukanlah suatu yang berupaya mengangkat idealisme remaja. Mat rempit tidak ada idealisme tetapi dipaksa untuk menjadi wira.

Filem-filem ini memalsukan idealisme remaja Melayu di luar kepompong sempit pembuat filem. Remaja Melayu tidak perlu menjadi mat rempit untuk hebat. Kepalsuan ini tidak lebih daripada memberikan persepsi bahawa mat rempit pun berjaya dalam hidup. Kisah begini hanya diangkat dan ditampal menjadi gambar-gambar yang bergerak. Kita hanya boleh berbangga apabila realiti kehidupan yang penuh keburukan itu melangsungkan jangka hayat filem tempatan. Kalangan produser atau pengarah kerap memberi alasan bahawa sasaran filem mereka adalah remaja. Kata mereka lagi, remaja yang menghidupkan industri filem di negara ini. Tanpa remaja, filem Melayu telah lama hilang. Tanggapan itu ada benarnya. Tetapi remaja tidak menonton semua filem Melayu, lebih-lebih lagi yang menuntut sedikit keterlibatan minda. Filem remaja tidak boleh dipinggirkan. Disebabkan remaja yang menentukan pasaran filem dan filem yang menjadi teman dalam dunia keremajaan, maka filem yang menjurus dunia remaja menuntut kesungguhan. Malangnya banyak filem yang mengambil mudah tentang remaja. Banyak yang menyuluh kehidupan dan alam remaja daripada sudut pandangan yang nipis.

Filem-filem kita tentang kehidupan mat rempit terputus jauh. Rebel Without A Cause (1955) arahan Nicholas Ray yang menampilkan pelakon remaja, James Dean dan Natalie Wood adalah filem remaja yang pertama dan titik mula di mana filem cuba menyusuri kehidupan dan obsesi remaja yang cukup unik. Keunikan dan obsesi itu hilang apabila filem kita mengangkat mat rempit dengan sudut pandangan yang kosong. Rebel Without A Cause dan James Dean secara mendadak muncul sebagai idola remaja di serata dunia. Gaya dan fesyen James Dean merebak dengan pantas selepas Rebel Without A Cause sekalipun filem itu dianggap sebagai ganas oleh banyak pengkritik. Sebuah lagi filem remaja yang menarik adalah American Graffifi (1973) arahan George Lucas. Lucas pernah berkata bahawa filem itu tidak lebih sebuah nostalgianya melayari keremajaan di Amerika. Tetapi pada masa yang sama, dia membawa filem itu menyusuri impian dan tuntutan remaja di Amerika Syarikat pada dekad 70-an.

BAHAN BACAAN 4
UTUSAN MALAYSIA ARKIB : 07/05/2009
Ajar peragut, mat rempit dengan hukuman berat

SUNGGUH sedih dan malang menimpa dua buah keluarga masing-masing di Johor dan Kelantan apabila dua wanita yang mengandung maut di tangan peragut. Begitu juga nasib warga emas di Pulau Pinang yang menjadi korban peragut. Masyarakat juga cukup bimbang dengan kecenderungan kumpulan mat rempit yang kini berani bertindak ganas membelasah hingga mati seperti yang menimpa seorang mekanik di Kuantan baru-baru ini. Mungkin itu takdir mereka yang ditentukan oleh Tuhan. Tetapi insiden itu boleh dielakkan jika kita mengambil langkah-langkah pencegahan jenayah lebih awal. Cabaran kepada semua anggota masyarakat sekarang, sampai bila kita harus membiarkan peragut dan penjenayah mat rempit bermaharajalela di atas jalan raya negara ini?

Dalam hal ini, pihak berkuasa yang menjaga keselamatan dan ketenteraman rakyat perlu bertindak segera. Jadi, tindakan segera yang perlu diambil oleh Kementerian Dalam Negeri bukan setakat mengkaji dan mencari punca penularan gejala lumba haram motosikal atau rempit tetapi juga kegiatan jenayah ragut yang semakin menjadi-jadi di negara ini. Untuk itu juga kerajaan kena mengambil pendekatan di luar daripada kebiasaan. Kita tidak mahu lagi mendengar apabila berlakunya kes-kes baru yang didedahkan oleh media massa, maka kita dibentangkan dengan pelbagai kaedah penyelesaian untuk menangani isu berkenaan. Sebenarnya isu ragut hingga membawa maut dan gejala mat rempit sudah lama diperkatakan. Ia bagaikan sekejap panas, sekejap sejuk. Sehingga kini, kita masih belum berjaya menangani kedua-dua masalah ini.

Ke mana semua cadangan tentang penyediaan pendidikan agama, pusat-pusat didikan dan kaunseling dan pelaksanaan undang-undang yang lebih ketat yang heboh dibincangkan suatu masa dulu apabila masalah ini timbul. Adakah kita mudah melupakan masalah ragut dan mat rempit apabila ia mula kelihatan tidak lagi mengancam hidup kita? Kerajaan, badan bukan kerajaan, parti politik dan orang awam perlu memberikan idea untuk menyelesaikan isu ini. Carilah kaedah agar kegiatan rempit dan ragut dapat dikurangkan dan akhirnya dibanteras secara menyeluruh. Untuk menangani masalah ini dalam jangka pendek, tindakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan kerjasama agensi-agensi kerajaan yang berkaitan perlu diteruskan dalam mengatasi masalah rempit dan jenayah ragut di negara kita.

Operasi besar-besaran yang diadakan serentak di Kuala Lumpur, Perak, Pulau Pinang, Johor dan Selangor berjaya memberkas ratusan pesalah trafik yang kebanyakannya adalah remaja bawah umur. Operasi-operasi seperti ini perlu diadakan secara berterusan bagi memberi peringatan kepada golongan berkenaan. Untuk pelan jangka panjang, kerajaan perlu memikirkan undang-undang lebih ketat sebagai langkah-langkah untuk membendung punca yang membawa kepada masalah ragut dan lumba haram. Jika kita percaya pada undang-undang ketat dan berat daripada pendekatan biasa dapat mendidik dan menangani masalah ragut dan lumba haram, maka lakukan. Kita menggesa kerajaan bertegas dan pastikan undang-undang yang ingin digubal atau dipinda meletakkan nilai denda atau hukumannya amat menggerunkan penjenayah atau pesalah.

BAHAN BACAAN 5
UTUSAN MALAYSIA ARKIB : 30/04/2009
Menangani fenomena mat rempit

SEKURANG-KURANGNYA ada dua teori tentang asal usul istilah 'mat rempit'. Pertama, menurut Kamus Dewan (Edisi Empat), perkataan 'rempit' terdapat dalam dialek Perak yang bermaksud memukul dengan rotan atau menyesah. Kedua, mantan Pengarah Bahasa, Dewan Bahasa dan Pustaka, Noresah Baharum pernah memberitahu dalam satu penyelidikan yang dilakukannya bahawa 'rempit' berasal daripada gabungan dua perkataan Inggeris, ramp dan it. Ramp merujuk kepada perasaan marah dan mengancam seperti seekor singa yang berdiri di atas kaki belakang manakala dua kaki hadapan diacu-acukannya ke udara dengan garang. Mungkin kerana yang terlibat dalam fenomena ini sebahagian besarnya orang Melayu, perkataan 'rempit' didahului dengan singkatan nama 'Mat'.

Maka terciptalah gelaran 'mat rempit' yang hampir secara automatik dikaitkan dengan golongan remaja Melayu. Kita tidak pernah mendengar orang menyebut 'Ahcong Rempit' dan tidak juga 'Samy Rempit'. Satu lagi penyakit sosial telah bertambah di kalangan masyarakat Melayu. Masalah Mat Rempit mungkin hanya satu sympton (gejala) atau petanda daripada penyakit sosial yang lebih besar di kalangan masyarakat Melayu. Kerana itu yang lebih penting dilakukan barangkali ialah kajian sosiologi mengenai fenomena itu. Sedangkan kajian etimologi atau kajian asal usul kata 'rempit' itu bolehlah dianggap sebagai nota kaki sahaja. Sememangnya masyarakat tidak begitu peduli asal usul perkataan 'rempit.' Yang jelas sekarang istilah 'mat rempit' membawa konotasi yang negatif, menimbulkan rasa geram dan marah. Isu ini kini telah menjadi satu punca kerunsingan dan keprihatinan.

Di peringkat awalnya mat rempit hanya dianggap sebagai pengacau lalu lintas kerana keserakahan mereka berlumba motosikal di jalan-jalan raya. Sekarang kehadirannya dianggap sudah semakin durjana, sudah semakin tinggi kadar jenayahnya. Mereka bukan sekadar mengganggu lalu lintas di jalan-jalan raya yang sibuk, tetapi sudah mulai merampas, meragut dan merogol. Salah satu cerita terakhir yang semakin menyalakan kemarahan dan rasa benci terhadap mat rempit ialah peristiwa penganiayaan dan kezaliman yang terjadi ke atas seorang perempuan muda yang pekak dan bisu. Sebuah akhbar mingguan berbahasa Inggeris (26 April 2009) melaporkan perihal segerombolan mat rempit mengerumuni seorang perempuan muda berumur 23 tahun di sebuah stesen minyak. Perempuan muda itu ditendang dan dilempang lalu beg tangannya diragut dan dilarikan. Orang sekeliling hanya memandang tanpa memberi sebarang pertolongan. Mungkin takut, mungkin tak berdaya.

Bila ibu bapa perempuan muda itu membuat pengaduan di balai polis, secara kebetulan satu pengaduan yang lain mengenai jenayah sekumpulan mat rempit di tempat lain juga dibuat oleh dua orang yang lain. Keesokan harinya (27 April 2009) akhbar yang sama menyiarkan pula satu berita tentang kemarahan meluap-luap Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat terhadap jenayah mat rempit yang semakin menjadi-jadi itu. Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berpendapat selama ini pihak berkuasa mengambil pendekatan yang agak lembut terhadap mat rempit. Mungkin kerana berita penganiayaan terhadap OKU (orang kurang upaya) yang dilakukan mat rempit itu, Shahrizat nampaknya sudah kehilangan sabar dan mahu polis mengambil tindakan yang lebih tegas dan keras. Tetapi betulkah selama ini polis kurang tegas dan kurang keras? Atau adakah polis kurang kuasa dan kurang sumber? Kurang kuasa dalam erti terdapatnya keterbatasan undang-undang yang membolehkan polis bertindak lebih tegas dan keras. Dan kurang sumber dalam erti bahawa memang pihak polis tidak mempunyai tenaga dan kemudahan yang cukup untuk menghadapi masalah tersebut.

Satu soalan lain yang relevan ialah: Sudahkah dipastikan kekurangan-kekurangan lain yang dihadapi pihak polis, seperti kekurangan kerjasama yang diberikan oleh jabatan-jabatan kerajaan yang berkaitan. Bagaimana pula dengan isu kurang penyelarasan? Kita menanyakan soalan-soalan tersebut kerana pada hari Ahad (26 April), Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan diberitakan berkata seolah-olah selama ini tidak wujud kerjasama yang berkesan antara pihak polis dan pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam usaha mengatasi masalah mat rempit. Shahrizat juga menyebut tentang kajian (atau barangkali hanya satu survey atau soal selidik) yang mendapati bahawa remaja-remaja yang terlibat dalam kegiatan mat rempit adalah kerana kebosanan. Lalu beliau marah-marah kepada ibu bapa yang dikatakannya lepas tangan mendidik anak-anak mereka hingga terlibat dalam kegiatan mat rempit. Kita dapat memahami keprihatinan dan kemarahan Shahrizat itu. Tetapi yang lebih penting difahami oleh setiap pihak ialah fenomena mat rempit itu bukanlah satu isu yang terpencil untuk dipertanggungjawabkan kepada satu atau dua pihak tertentu sahaja.

Fenomena mat rempit sudah merupakan satu penyakit sosial yang telah mulai menular dan merebak kepada berbagai-bagai sektor kehidupan. Oleh kerana itu isu ini perlulah ditangani secara bersepadu yang melibatkan ahli-ahli akademik (terutama ahli-ahli saikologi dan sosiologi) pakar undang-undang dan kriminologi serta penguat kuasa keamanan peraturan lalu lintas. Semoga kita tidak memerlukan Pusat Serenti mat rempit untuk menambah pusat Serenti Penagih Dadah yang semakin bertambah-tambah itu. Barang dijauhkan Allah.

Senator Datuk Dr. Firdaus Abdullah ialah Felo Penyelidik Kanan (Pelawat), Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya
BAHAN BACAAN 6
UTUSAN MALAYSIA ARKIB : 28/08/2006
Mat rempit tidak cemerlang
Oleh: KU SEMAN KU HUSSAIN


Golongan yang digelar ‘mat rempit’ menjadi satu beban sosial yang baru selepas dadah. Ini semua penyakit orang muda yang mahu mencuba sesuatu yang baru dalam hidup. Kepada mereka hidup adalah cabaran dan keseronokan. Tapi kita yang berada di luar lingkaran golongan ini tentu sukar untuk mengeluarkan mereka dari dunia ‘‘kerempitan’’ itu. Kerana itu walau apa label sekalipun diberikan kepada filem Remp-It arahan Ahmad Idham, kita wajar melihat ini sebagai usaha mendekati dan mengeluarkan anak-anak muda rempit ini. Ahmad Idham tentu melihat inilah sumbangan yang mampu diberikan untuk membetulkan sosial anak muda yang tergelincir. Barangkali bagi produser, filem ini ada nilai pasaran kerana mendekati dunia pelanggan filem tempatan.

Mat rempit memang tidak ada apa yang boleh diceritakan, apa lagi untuk dilihat idealismenya. Tetapi setidak-tidak ada usaha mendekati golongan ini secara psikologikal. Biar mereka melihat kejelekan sendiri di layar lebar. Ahmad Idham melakukan kerja sosial yang baik. Dia tentu faham bukan mudah untuk mengeluarkan mat rempit dari dunia mereka yang sangat terasing itu. Maknanya di sini memahami kesukaran untuk mendekati dan menyelamatkan golongan ini adalah mustahak. Tanpa memahami kita pasti akan membuat kerja pada kulit, bukan isinya. Kita semua tentu tertanya-tanya rasional menukar gelaran mat rempit kepada mat cemerlang. Ini kerana masalah mat rempit kepada kita bukan kerana namanya mat rempit. Masalahnya kerana sikap dan pemikiran mereka. Maknanya bukan kulitnya, tapi isinya. Usaha menukarkan mereka menjadi mat cemerlang jauh lebih mudah daripada bagaimana filem Remp-It cuba menyelamatkan mat rempit.

Kenapa tidak mendekati saja mat rempit tanpa menukarkan gelaran mereka? Usaha mendekati ini yang sukar dilakukan kecuali kalau kita ada kaedah yang menekankan psikologi. Kita kena ingat kalau mereka ini cemerlang, mereka tidak akan hidup di atas motosikal dan bawah remang-remang kota raya. Sebab mereka tidak cemerlanglah mereka menjadi seperti yang telah terjadi. Bayangkan adakah kalau ada golongan ini yang cedera dalam kemalangan, surat khabar akan melaporkan ‘‘Seorang mat cemerlang cedera parah selepas terbabas dalam lumba haram malam tadi.’’ Tentu kelakar bunyinya. Moral ceritanya, biarlah mereka terus dikenali dengan mat rempit. Nama itu tidak pernah menghalang kita menyelamatkan mereka. Itu pun kalau kita jujur mahu menyelamatkan mereka.

BAHAN BACAAN 7
UTUSAN MALAYSAI ARKIB : 07/05/2009
Banteras mat rempit
Oleh NORILA DAUD


UNTUK kesekian kalinya, isu mat rempit kembali menjadi perhatian banyak pihak. Meskipun hangat diperdebatkan saban tahun, gelagat mat rempit yang merajai jalan raya dengan aksi berbahaya terus menghantui orang ramai. Timbul kebimbangan apakah negara sudah berdepan dengan jalan mati dalam mengatasi gejala mat rempit ini? Adakah ia sudah menjadi satu wabak penyakit yang sukar dihapuskan sebagaimana sukarnya untuk pihak berkuasa menangani gejala penagihan dadah? Andaian itu tidak boleh dipandang mudah kerana selepas pelbagai usaha dilakukan, gejala mat rempit tidak pernah menunjukkan tanda-tanda akan berakhir. Sebaliknya, ia semakin menjadi-jadi dan berleluasa sehingga terjebak dengan jenayah yang lebih berat terutamanya kes ragut, rogol, samun berkumpulan malah sehingga pembunuhan.

Justeru, ia menjadi ancaman yang serius kepada keselamatan awam sekali gus memerlukan pendekatan yang kolektif dan berkesan untuk menanganinya. Kerana itu juga, rakyat sangat berharap perhatian khusus yang diberikan kerajaan menerusi Timbalan Menteri Dalam Negeri, Jelain Mersat mampu membuahkan kejayaan. Jelain antara lain dipertanggungjawabkan mencari punca dan mencadangkan kaedah terbaik untuk mengatasi gejala mat rempit tersebut. Malah, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein sendiri menyokong supaya Akta Pengangkutan Jalan dipinda bagi memberikan kuasa kepada Jabatan Pengangkutan Jalan menahan mat rempit. Adalah wajar untuk pindaan itu dibuat dengan segera bagi membolehkan hukuman yang lebih tegas dikenakan. Sementelah, golongan itu juga berani memperlekehkan undang-undang dan mencabar pihak berkuasa termasuk cubaan merempuh sekatan jalan raya.

Dalam masa yang sama, pihak berkuasa perlu melipatgandakan usaha dan menambah kekuatan anggota dalam membanteras gejala ini. Operasi besar-besaran seperti sekatan jalan raya seharusnya dilakukan secara konsisten dan bukannya satu langkah pencegahan yang bermusim. Kesungguhan pihak berkuasa itu sekurang-kurangnya menimbulkan rasa gerun di kalangan mat rempit untuk menguasai jalan raya atau berhimpun dalam satu kumpulan yang besar. Lebih jauh seperti yang dicadangkan oleh Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Datuk Shamsul Anuar Nasarah, gejala itu ditangani menerusi sebuah jawatankuasa khas yang dibentuk oleh kerajaan. Jawatankuasa itu tambah beliau, dianggotai oleh wakil Kementerian Dalam Negeri (KDN), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO). "Gejala mat rempit boleh diatasi jika semua pihak bekerjasama untuk merancang program bercorak pendidikan dan melaksanakannya dengan sistematik, tersusun dan bersepadu," tegasnya.

Bagaimanapun, dalam menyambut baik langkah penguatkuasaan dari sudut undang-undang itu, kerajaan juga diharapkan tidak mengabaikan pendekatan berbentuk kemanusiaan. Sering dikaitkan, golongan mat rempit merupakan mereka yang mengalami masalah jiwa dan mental yang tidak sihat sepenuhnya. Pandangan ini dikongsi oleh Pakar Psikologi Klinikal, Choo Leong Hoey Mei yang berpendapat, individu merempit tidak bahagia dengan kehidupan dalam keluarga, tidak berduit dan pernah dibuli. Justeru, aktiviti merempit dijadikan jalan keluar untuk mereka melarikan diri daripada kekecewaan dan kebosanan hidup. Ia juga tambahnya, dijadikan sandaran sementara mereka mendapat sesuatu yang boleh memberi kebahagiaan dan kepuasan dalam hidup mereka. Apa yang lebih membimbangkan, mat rempit juga mempunyai hubungan yang sangat akrab dalam kelompok mereka. Dalam satu kumpulan yang besar, mat rempit boleh melakukan apa sahaja tanpa perlu berasa bimbang dengan keselamatan diri kerana sedar mereka sentiasa dilindungi oleh rakan yang lain.

''Kerana itu juga mereka mudah terdorong untuk berkelakuan samseng apabila berada dalam satu kumpulan," ujar beliau. Selain kecelaruan dalam pembawaan diri, gejala merempit juga banyak didorong oleh sikap ibu bapa yang terlalu memberi kebebasan kepada anak-anak. Ibu bapa seolah-olah lepas tangan dalam soal mengawal dan mendidik anak-anak apabila membiarkan mereka berpeleseran sehingga awal pagi. Seperti yang dijelaskan oleh pakar perunding psikologi, Khairol Anuar Masuan, kerana sikap memberi muka itu juga, anak-anak menjadi semakin berani dalam tingkah laku dan pergaulan mereka. Beliau menambah, anak-anak berkenaan akan merasakan diri mereka 'hebat' dan angkuh, sekali gus tidak boleh ditegur oleh ibu bapa walaupun menjadi mat rempit. ''Jika dahulu ibu bapa menghalang anak- anak yang memberontak jiwa mereka untuk menghormati orang tua dan ibu bapa serta bekerja di ladang-ladang, perkara seperti itu tidak lagi wujud hari ini apabila anak-anak dibiarkan lepas bebas," katanya.

Kerana itu juga, ada dicadangkan supaya ibu bapa mat rempit turut dikenakan denda di bawah peruntukan undang-undang tertentu. Antaranya kerana membenarkan anak- anak mereka memiliki dan menaiki motosikal tanpa mempunyai lesen. Walaupun cadangan itu mendapat bantahan banyak pihak, namun ia dilihat sangat praktikal sekiranya semua pihak benar-benar mahu menghapuskan gejala mat rempit. Begitu juga dengan cadangan supaya had umur untuk mendapatkan lesen motosikal dilanjutkan daripada 16 tahun seperti ketika ini kepada 21 tahun. Memandangkan majoriti mat rempit terdiri daripada remaja belasan tahun, pelaksanaannya dilihat mampu mengekang gejala mat rempit dari satu sudut yang berbeza.

Tiada ulasan:

Related Posts with Thumbnails