JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



22 Mei 2010

ISU PENTING KARANGAN : PENYAKIT BERJANGKIT VIRUS H1N1


Gelombang ancaman virus H1N1

Oleh MOHD. KHUZAIRI ISMAIL
rencana@utusan.com.my

BELUM pun bebas sepenuhnya daripada virus selesema burung, rantau Asia kini berdepan pula dengan risiko ancaman virus selesema babi. Ketika ini, virus yang dikesan pertama kali di Mexico itu sudah merebak dengan pantas ke beberapa buah negara bersempadan termasuk di Amerika Syarikat, Kanada malah sehingga ke New Zealand. Sehingga laporan ini ditulis, 103 rakyat Mexico sudah menjadi korban dalam tempoh beberapa hari ia mula dikesan. Jumlah itu dijangka meningkat melihat kepada betapa pantasnya ia tersebar. Secara ringkasnya selesema babi ini merupakan penyakit influenza yang disebabkan virus influenza A subjenis H1N1. Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) seperti yang dipetik daripada laporan Reuters, beberapa kawasan di Mexico dikesan dijangkiti strain baru virus H1N1 yang belum pernah ditemukan sebelum ini.

Secara genetiknya, virus selesema babi ini berbeza dengan virus influenza manusia H1N1 yang dikesan sebelum ini. Kerana itu juga meskipun virus ini dikenali sebagai virus selesema babi, namun strain baru ini tidak pernah ditemukan pada haiwan ternakan babi. Ia mengandungi DNA yang menyerupai virus avian, virus babi termasuk elemen daripada virus babi Eropah dan Asia serta virus manusia. Agensi Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat (CDC) pula menyebut, virus ini mampu menjangkiti daripada manusia ke manusia. Ia merebak sama ada menerusi bersin, batuk atau dipindahkan daripada tangan mereka yang tidak dicuci dengan bersih. Sejak Disember 2005 hingga Februari tahun ini, 12 laporan mengenai jangkitan virus itu dicatatkan dengan hanya seorang yang mempunyai hubungan langsung dengan haiwan babi. Ketika itu, belum dibuktikan virus ini menular daripada manusia ke manusia. Wabak virus selesema babi ini difahamkan pernah dikesan pada 1941 dan membunuh jutaan nyawa di Eropah. Namun sejauh mana kesahihan laporan yang berlegar di beberapa laman sesawang tidak dapat disahkan.

Apa pun, ia secara tidak langsung menggambarkan betapa wabak ini mampu mencetuskan gelombang ancaman yang ganas dan tidak boleh dipandang mudah. Hakikat itu turut diakui oleh pakar virologi dari Fakulti Perubatan Veterinar, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Siti Suri Arshad yang menyifatkan virus itu boleh membawa ancaman yang dahsyat. Lebih dahsyat berbanding wabak selesema burung dan sindrom pernafasan akut teruk (SARS). Ini kerana katanya, virus itu merupakan kombinasi tiga virus dalam satu iaitu yang biasa ditemui di dalam badan manusia, burung dan babi. Virus H1N1 sememangnya diketahui wujud dalam badan manusia dan babi. Namun, bagaimana virus itu dapat bercampur dengan virus daripada burung masih lagi menjadi misteri. Sehingga kini menurut Siti Suri, saintis belum dapat memastikan jujukan genom virus tersebut. "Kerana itu juga virus ini belum ditemukan vaksinnya. Sementelah saintis antarabangsa sebelum ini memberi tumpuan kepada pencarian vaksin bagi virus selesema burung," katanya.

Siti Suri menambah, penyebarannya yang boleh berlaku daripada manusia ke manusia juga menyebabkan virus itu mampu merebak dengan pantas. Justeru katanya, kaedah pencegahan terbaik yang boleh diambil oleh kerajaan ialah melarang rakyat negara ini berkunjung ke negara yang dilaporkan dijangkiti wabak itu. "Langkah kuarantin juga perlu diperketatkan terutamanya di kalangan pelancong atau rakyat negara ini yang baru balik dari negara tersebut," tambah beliau. Meskipun wabak itu hanya dikesan di Eropah ketika ini, namun rantau Asia berhak berasa cemas meskipun diingatkan WHO supaya tidak panik. Pengalaman berdepan dengan wabak hampir serupa iaitu selesema burung sejak 1997 masih menjadi misteri sehingga kini. Virus H5N1 yang pertama kali dikesan di Hong Kong itu membunuh tidak kurang daripada 247 orang di seluruh dunia. Indonesia mencatat kematian tertinggi akibat jangkitan virus tersebut iaitu kira-kira 107 orang. Sebelumnya, rantau Asia juga diancam wabak penyakit misteri yang menyamai penyakit radang paru-paru tetapi tidak diketahui puncanya (atypical pneumonia). Penyakit yang dikenali sebagai SARS itu merebak dengan pantas selepas pertama kali dikesan di Asia Timur. Antara negara Asia yang terbabit dengan dengan SARS ialah Thailand, Singapura, Taiwan, Filipina, Indonesia, Singapura, China dan Hong Kong.

Malaysia sendiri walaupun berjaya mengekang penularan wabak pandemik selesema burung dan SARS itu, bagaimanapun tidak terlepas daripada wabak endemik. Pada 1998, virus maut Japanese Encephalitis (JE) yang dibawa oleh babi menggemparkan negara apabila membunuh kira-kira 84 nyawa. Virus yang seakan-akan virus Hendra dari Australia itu diberi nama virus Nipah kerana pertama kali ditemui di Kg. Sungai Nipah, Lukut, Negeri Sembilan. Kehadiran virus baru seperti selesema babi ini sebenarnya sudah diingatkan oleh saintis antarabangsa dalam Persidangan Global WHO Mengenai SARS yang diadakan di ibu negara, kira-kira enam tahun lalu. Persidangan yang menemukan lebih 1,000 orang saintis dan pakar penyakit berjangkit antarabangsa itu memberi penekanan bahawa virus yang disebarkan oleh haiwan akan bermutasi dengan cepat dan merebak dengan pantas. Dalam kebanyakan wabak, haiwan seperti ayam, babi atau lembu berperanan mencipta virus selesema jenis baru yang tidak mampu dilawan oleh sistem pertahanan badan manusia.

Bagaimanapun dalam kes selesema burung misalnya, virus itu tidak tersebar kerana sifatnya yang tidak mampu bergerak dari manusia ke manusia yang lain. Kerana itu juga penularannya berjaya dikekang menerusi langkah membunuh haiwan ternakan itu meskipun ia menyebabkan kerugian jutaan ringgit kepada sektor penternakan. Namun terdapat beberapa kes jangkitan selesema burung yang berpindah kepada manusia terutamanya di kalangan mereka yang mempunyai hubungan secara langsung dengan haiwan ternakan. Ia terdiri daripada subjenis virus influenza A yang dikenali dengan kod nama H5N1 dan H9N2. Seperti jenis-jenis influenza yang lain, gejala H1N1 di kalangan pesakit juga tidak banyak bezanya. Ia termasuk demam, sakit tekak, batuk, sakit otot dan dedar. Simptom lain ialah kurang selera makan, sesak nafas dan boleh merebak menjadi jangkitan paru-paru yang teruk. Sekiranya simptom-simptom ini dikesan dalam kalangan masyarakat, ia perlu segera dirujuk kepada hospital meskipun wabak itu belum dilaporkan di negara ini.

Pengalaman berdepan dengan ancaman wabak SARS dan virus selesema burung meletakkan negara di Asia termasuk Malaysia dalam keadaan penuh bersiap sedia untuk berdepan ancaman virus terbaru itu. Langkah berjaga-jaga dan tegas yang diambil kerajaan termasuk sekatan serta kuarantin berjaya membendung penyebaran wabak SARS dan selesema burung di negara ini. Begitu juga dengan nasihat perjalanan dan kawalan di pintu sempadan negara yang diperketatkan bagi mengelakkan kebarangkalian 'kes import' yang dibawa dari luar negara.Dalam kedua-dua kes wabak pandemik itu, negara terselamat kerana tiada kes jangkitan dalaman yang boleh menjadi pencetus seterusnya merebak ke seluruh negara. Adalah diharapkan, langkah-langkah itu yang semestinya kian dipertingkatkan.




CABARAN MENGURUSKAN H1N1
Oleh MUHAMMAD HISYAM MOHAMAD

JIKA ditanya kementerian manakah paling sibuk sekarang ini, jawapannya tentulah Kementerian Kesihatan. Ini berikutan penularan virus influenza A (H1N1) di negara ini. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan pandemik ini telah melanda lebih 170 negara. Ia menganggarkan seramai lima juta atau 20 peratus rakyat Malaysia berisiko dijangkiti virus maut tersebut. Secara congakan mudah, setiap seorang daripada lima rakyat Malaysia berkemungkinan mendapat virus tersebut. Walaupun kita tidak sepatutnya mempertikaikan kewibawaan Kementerian Kesihatan, namun apabila berdepan dengan situasi genting sebegini, sesiapapun akan merasa tidak tenteram biarpun dijanjikan pelbagai jaminan keselamatan. Selain menyebabkan masyarakat berada dalam kegusaran, wabak ini juga merupakan satu ujian ke atas sistem pengurusan krisis penyakit Malaysia. Sebenarnya ini bukan kali pertama negara berdepan dengan situasi sebegini. Kita sebelum ini pernah menghadapi wabak Nipah Encephalitis, Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) dan selesema burung.

Namun sistem pengurusan krisis penyakit yang diamalkan oleh Malaysia berjaya mengendalikan wabak-wabak tersebut. Malah WHO sendiri pernah mengiktiraf sistem pengurusan penyakit Malaysia lebih teratur berbanding beberapa negara jiran dalam menangani ketiga-tiga wabak itu. Memandangkan wabak Influenza A ini masih belum dapat ditangani, ia turut menjadi cabaran baru kepada sistem pengurusan krisis sedia ada. Selain daripada Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis [The Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC)] yang diwujudkan pada Mei 2007, pihak berkuasa juga membuka bilik gerakan H1N1 selain menubuhkan Jawatankuasa Kebangsaan Antara Kementerian Untuk Menangani Wabak H1N1 yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri.

Jadi kewibawaan dan reputasi sistem pengurusan penyakit yang sebelum ini diiktiraf oleh WHO sekali lagi akan dinilai oleh semua pihak berdasarkan kepada keberkesanan dan kecekapannya dalam mengurus wabak. Daripada segi sejarah, kerajaan di semua peringkat telah memainkan peranan besar dalam pengurusan krisis. Sebagai contoh perkhidmatan-perkhidmatan yang bersifat mendesak seperti pasukan bomba atau polis merupakan satu bentuk kemudahan yang perlu diwujudkan oleh kerajaan dalam menangani sesuatu krisis. Berbeza dengan pengurusan risiko yang lebih menjurus kepada usaha menilai ancaman yang mungkin berlaku dan mengenal pasti cara yang terbaik untuk mengelak risiko-risiko terbabit, pengurusan krisis melibatkan usaha mengurus sesuatu yang tidak diingini (sama ada bencana, wabak penyakit, krisis kewangan atau ekonomi dan sebagainya) selepas ia berlaku. Ia merupakan satu bidang disiplin pengurusan.

Secara amnya pengurusan krisis bermula dari detik pertama sesuatu situasi genting itu berlaku sehinggalah kepada saat ia dapat dipulihkan. Selain kaedah yang diguna pakai oleh sesebuah kerajaan atau organisasi mahupun agensi untuk menangani permasalahan tadi, unsur komunikasi adalah antara unsur terpenting yang perlu ada di dalam mana-mana sistem pengurusan krisis. Malah dikatakan antara kejayaan sesuatu sistem pengurusan krisis ialah dengan melaksanakan satu komunikasi yang bersifat terbuka dan konsisten. Namun dalam kes H1NI kita dapati ada kalanya wujud percanggahan antara arahan pihak kementerian dengan pengamal perubatan dan juga orang awam. Berdasarkan rungutan orang ramai di media massa, ada pengamal perubatan yang tidak berbuat demikian walaupun pesakit mendakwa pernah berhubungan dengan mereka yang dijangkiti virus tersebut. Begitu juga dengan saranan supaya orang ramai memakai penutup hidung dan mulut serta mengelak sebarang perhimpunan di tempat awam. Masih ramai yang tidak mengendahkannya malah ada peniaga yang tidak bertanggungjawab yang mengambil kesempatan menjual penutup hidung dan mulut pada harga yang keterlaluan.

Apa pun bagi memastikan sesuatu pengurusan krisis ini dapat dilaksanakan dengan berkesan, kerjasama daripada semua pihak adalah penting. Dalam kes H1N1, adalah tidak wajar untuk kita saling tuding menuding jari mencari kesalahan dan mengambil kesempatan daripada situasi yang berlaku. Sepatutnya kita perlu menjalankan peranan masing-masing bagi memastikan wabak ini dapat di atasi dan situasi akan pulih seperti sedia kala. Apa yang penting juga setiap daripada kita mengamalkan sikap kebersihan selain mengamal langkah berjaga-jaga. Aspek kebersihan adalah satu langkah awal pencegahan penyakit. Inilah juga yang sebenarnya ingin diajar oleh ajaran Islam kepada penganutnya. Manifestasi ini jelas wujud di dalam konsep "taharah" atau bersuci di mana kebersihan adalah prasyarat utama kepada penerimaan amal ibadat yang kita lakukan kepada Allah SWT. Namun dalam banyak keadaan kita gagal mengamalkannya di luar lingkungan ibadat sedangkan konsep tadi sepatutnya diamalkan di dalam kehidupan seharian. Akhirnya perkara-perkara asas pengurusan diri seperti sentiasa mencuci tangan dan menjaga kebersihan terpaksa diberitahu semula dalam bentuk kempen-kempen yang sudah tentunya melibatkan kos yang digunakan daripada cukai yang kita sendiri bayar kepada kerajaan!




Awasi kesan H1N1 
UTUSAN MALAYSIA

PEPATAH "Mencegah lebih baik daripada mengubati" merupakan pendekatan terbaik yang perlu diambil dalam menangani krisis wabak selesema babi atau influenza A (H1N1). Ini kerana apa yang berlaku bukan hanya akan memakan korban tetapi juga menjejaskan perkembangan sektor ekonomi tertentu negara. Pada ketika ini, banyak pihak melihat kerajaan masih lagi bertindak agak perlahan dalam menanganinya di sebalik pelbagai langkah yang dilakukan. Persepsi negatif ini perlu ditangani segera untuk meningkatkan keyakinan orang ramai bahawa perkara seumpama itu tidak berlaku. Dan kita juga minta rakyat memberi kerjasama supaya angka mereka yang disyaki dijangkiti dikurangkan, sekali gus mengelakkan korban. Bagaimanapun tindakan kerajaan yang agak perlahan mungkin dipengaruhi oleh kebimbangan bahawa sebarang usaha lebih agresif akan membawa kepada kemungkinan berlaku "panik yang keterlaluan" di kalangan orang ramai. Namun begitu, kebimbangan di peringkat kerajaan tidak seharusnya berlaku kerana minda orang ramai perlu disediakan untuk menghadapi keadaan terburuk sambil mengharapkan yang terbaik akan berlaku.
Pada masa ini, kita dapat melihat bilangan mereka yang benar-benar serius mengambil langkah berjaga-jaga untuk mengatasi merebaknya wabak selesema burung masih belum ketara. Kita tidak harus melihat kepada langkah yang diambil di sekolah-sekolah sahaja tetapi juga di tempat-tempat awam yang mana wabak sedemikian mudah merebak. Langkah-langkah yang lebih meyakinkan dan drastik perlu dilaksanakan kerana kita tidak ingin melihat penularan yang masih di peringkat kecil akan merebak sehingga ke peringkat sektor awam dan swasta termasuk kilang-kilang. Penularan ini lebih berbahaya berbanding ketika berlakunya selesema burung yang hanya menyebabkan haiwan sahaja terpaksa dihapuskan. Tetapi jika wabak ini merebak ke dalam sektor ekonomi tertentu, ia bakal memaksa sektor itu ditutup dalam usaha untuk mengelak berlakunya keadaan yang lebih buruk. Meletusnya kejadian seumpama itu bukan hanya menjejaskan kegiatan ekonomi tetapi juga boleh menyebabkan negara lumpuh lalu terjerumus dalam jurang kemelesetan yang lebih panjang.

Perangkaan yang ada telah pun mengunjurkan penguncupan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) antara empat hingga lima peratus pada tahun ini. Kita juga perlu sedar keupayaan mengekang wabak selesema burung tidak boleh menyebabkan semua pihak menjadi terlalu leka dan berasa selesa bahawa wabak H1N1 yang baru muncul ini tidak akan menjadi masalah berlanjutan. Biarpun implikasinya kepada Malaysia tidak ketara, semua pihak harus berwaspada. Berdasarkan perangkaan, wabak selesema burung yang berlaku sebelum ini telah mengakibatkan kerugian ekonomi berjumlah AS$5.4 bilion (RM18.9 bilion) kepada ekonomi sejagat dalam tempoh setahun sahaja. Negara-negara yang baru-baru ini terjejas akibat H1N1 secara terkumpul telah mengalami kerugian AS$8 bilion (RM28 bilion) hingga AS$12 bilion (RM42 bilion). Jika dilihat kepada perangkaan itu, nasib tidak akan menyebelahi kita sekiranya gagal mengambil langkah-langkah berani dan juga tidak popular dalam menghadapi wabak ini. Kita tidak seharusnya bersikap "sudah terhantuk, baru mahu tengadah" kerana ketika itu segala-galanya sudah pun terlambat.

Gelombang Kedua H1N1 Menyerang
UTUSAN MALAYSIA
05/04/2010

Kematian seorang ibu Maimunah Dimah, 54, dan anaknya, Sumarni Mat Nor, 29 di Hospital Melaka akibat jangkitan virus Influenza A (H1N1) menandakan semua rakyat negara ini perlu berjaga-jaga. Angka korban virus maut itu di negara kita kini bertambah menjadi 79 orang setelah tujuh bulan terhenti pada 77 kes tahun lalu. Semua pihak perlu mengambil pendekatan dan ingatan bahawa jangkitan H1N1 sudah kembali. Hakikatnya seperti yang diberitahu berkali-kali oleh Kementerian Kesihatan, H1N1 masih lagi aktif berlaku di dalam komuniti kita. Sebab itu kerajaan tidak boleh isytiharkan negara ini bebas H1N1 selagi masih terdapat kes-kes H1N1 yang dilaporkan di beberapa negeri. Belum pasti lagi adakah gelombang kedua H1N1 sudah bermula. Tetapi orang ramai yang mempunyai tanda-tanda penyakit itu digesa segeralah mendapatkan pelalian secara percuma di 104 pusat kesihatan di seluruh negara. Sekarang semua ahli keluarga dan masyarakat diminta mengambil langkah berjaga-jaga terhadap wabak selesema babi ini.

Jangan kita berfikiran wabak ini tidak akan menghampiri kawasan kediaman kita hingga tidak mengambil langkah kawalan. Pengawalan dan penjagaan kesihatan adalah penting bagi mengelak berlaku gelombang kedua Influenza H1N1. Dalam keadaan sekarang, eloklah kerajaan menggerakkan pasukan pemantau H1N1 yang ditubuhkan November lalu bagi menghalang berlakunya gelombang kedua wabak itu. Situasi ini juga menuntut kerajaan segera meningkatkan pemantauan terhadap H1N1 di semua negeri, meningkatkan rawatan di semua hospital serta memperhebatkan lagi kempen mengenai H1N1. Sehingga Khamis lalu, sebanyak 53 kes manakala 878 kes gejala seakan-akan influenza (ILI) dilaporkan berlaku di Melaka sahaja. Kita bimbang jika gejala penyakit itu tersebar ke negeri lain tanpa kita sedari. Kementerian Kesihatan ada melaporkan terdapat trend peningkatan kes H1N1 di negara ini dengan purata 50 kes positif H1N1 dikesan setiap minggu. Memandangkan keadaan ini, elok orang ramai mengambil langkah-langkah pencegahan dengan memakai semula penutup mulut dan hidung. Jika rekod menunjukkan sejumlah 12,688 kes positif H1N1 dicatatkan sejak April 2009 hingga Mac lalu dan hanya 77 orang meninggal dunia dalam tempoh itu, rasanya kita mampu menangani wabak ini sekali lagi.

Tetapi ia berbalik kepada kesediaan kita untuk memberi kerjasama demi kebaikan semua orang. Sebab, meskipun pihak berkuasa kesihatan mengambil langkah-langkah bagi menghalang kemunculan semula wabak H1N1 ini, keberkesanannya banyak bergantung kepada kesedaran orang ramai untuk bersama- sama menghayati dan melaksanakan apa juga langkah yang perlu diambil. Jika doktor menasihatkan anda atau ahli keluarga anda berkurung di rumah dan mengambil ubat yang diberi, maka patuhilah arahan tersebut. Orang ramai juga janganlah bersikap semua perkara mesti dilakukan oleh kakitangan jabatan kesihatan, sebaliknya berusahalah ke pusat kesihatan terdekat untuk mendapatkan suntikan vaksin H1N1 atau melayari www.moh.gov.my atau h1n1.moh.gov.my untuk maklumat lanjut. Paling utama ialah pastikan tangan kita sentiasa dibasuh dengan bersih. Tangan bersih boleh menghindarkan penyakit.

Tiada ulasan: