Followers

26 May 2010

ISU PENTING KARANGAN BAHASA MALAYSIA STPM 2010 : PERAIRAN NEGARA KITA




BAHAN BACAAN 1
UTUSAN MALAYSIA ARKIB : 18/04/2009
Kegiatan lanun di Somalia akibat sengketa politik
Oleh ISMAIL HASHIM YAHAYA
BERITA penangkapan beberapa orang lanun dan penghapusan kegiatan tersebut di perairan Somalia begitu menggembirakan masyarakat antarabangsa terutamanya kegiatan perkapalan. Mereka berasa selamat sekarang apabila melalui perairan antarabangsa berdekatan dengan Somalia. Namun yang lebih menggembirakan ialah pentadbiran kerajaan Barack Obama selaku Presiden Amerika Syarikat (AS) kerana berjaya menghapuskan kegiatan tersebut. Ini merupakan kejayaan dasar luar pertama beliau. Sekurang-kurangnya laporan media perdana AS dapat melenakan penduduknya buat sementara waktu daripada berhadapan dengan realiti ekonomi dan kesengsaraan yang dialami setiap hari kesan daripada kemelesetan ekonominya.

Namun harus diingat laporan berita itu dalam kerangka 5W 1H sekadar melaporkan apa yang berlaku pada waktu sekarang sahaja. Ini mengetepikan sebarang latar belakang sejarah kepada berlakunya kejadian lanun di Somalia. Ini memandangkan berita yang disiarkan adalah bahan yang dijual-beli seumpama sebuah perniagaan. Dalam perniagaan laporan berita, bahan yang baru itulah yang diperniagakan bagi mendapat keuntungan. Kejadian pelanunan di perairan Somalia yang begitu aktif disebabkan oleh lanun-lanun antarabangsa yang telah merompak sejumlah AS$300 juta nilai kehidupan laut Somalia pada setiap tahun. Kapal-kapal asing telah memasuki perairan Somalia secara haram dan mengautkan hasil mahsulnya yang bernilai jutaan dolar itu.

Berita ini tidak mendapat liputan meluas media antarabangsa khususnya media arus perdana AS. Di samping itu, perairan Somalia menjadi tempat longgokan sisa racun daripada syarikat-syarikat Eropah terutamanya bahan buangan di hospital-hospital di Eropah. Ini juga termasuk logam berat dan bahan kimia berbahaya. Tinjauan yang dibuat oleh agensi berita Somalia Wardheer News menunjukkan 70 peratus warga Somalia "dengan kuatnya menyokong kegiatan pelanunan sebagai suatu bentuk pertahanan nasional ke atas wilayah perairan negara mereka". Kita bukannya menyokong kegiatan pelanunan itu tetapi dalam kes di Somalia persoalannya kenapa kejadian pelanunan begitu kerap berlaku seolah-olah rakyat Somalia tidak ada pekerjaan lain daripada merompak kapal dagang asing yang melintasi perairan mereka. Sejak tahun 1991, penduduk Somalia terpaksa berhadapan dengan kegiatan "lanun-lanun" asing yang bertopengkan korporat-korporat antarabangsa berserta campur tangan tentera Ethiopia dan AS melalui jalan udara atau laut.

Tentera Ethiopia bersama dengan tentera AS telah menjarah, menjajahi dan memporakperandakan Somalia sehingga menjadi ia sebuah entiti yang berpecah kepada wilayah-wilayah tertentu seperti Somaliland dan Puntland. Kalau sesiapa masih ingat, Malaysia pernah terlibat memainkan peranan cuba menstabilkan Somalia melalui operasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Tentera Malaysia, Pakistan dan beberapa negara lain membantu tentera AS keluar daripada pasar Bakkara setelah diserang hendap oleh pejuang Somalia yang dipimpin oleh Mohamed Farah Aidid. Tetapi kisah ini dimanipulasi oleh pengarah filem Hollywood yang menunjukkan kehebatan tentera AS dalam filem Black Hawk Down. Campur tangan AS dan Ethiopia menyebabkan Somalia hilang kedaulatan darat dan lautnya.

'Lanun-lanun' antarabangsa ini telah merampas segala yang menjadi hak milik penduduk Somalia terutamanya keamanan selain sumber asli. Tetapi pejuang Islam Somalia yang berhadapan dengan perang saudara tetap berjuang menyingkirkan tentera Ethiopia dan ini membuat tentera AS berang. Namun kegiatan pelanunan menjadi langkah perlindungan terhadap perikanan dan longgokan haram akhirnya terikat dengan kepentingan-kepentingan politik dan kewangan beberapa suku puak yang dikaitkan dengan Ethiopia dan kumpulan-kumpulan penjenayah yang menguasai bahagian-bahagian tertentu di negara tersebut. Terdapat kegiatan pelanunan daripada ketua-ketua suku atau puak pengaruh tentera Ethiopia dan AS di bawah dasar luar presiden AS dahulu. Mereka akan melakukan rompakan di laut demi membiayai markas tentera Ethiopia di wilayah Somaliland dan Puntland. (Sila rujuk www. informationclearinghouse.info)

Mungkin terdapat persetujuan yang mereka tidak akan menyerang mana-mana kapal dagang AS. Tidak dipastikan apakah motif serangan lanun-lanun ke atas kapal dagang AS itu yang lebih tujuh tahun tidak diserang. Sebelum ini pada minggu lalu kapal terbang ahli Kongres kulit hitam AS, Donald Payne telah disasarkan mortar semasa beliau melawat Mogadishu, ibu negara Somalia. Namun beliau terselamat. Beliau adalah ahli Kongres yang menentang pakatan AS-Ethiopia di Somalia.Adakah ini tindakan puak yang menentang dasar luar baru AS atau pejuang Somalia yang menentang sebarang campur tangan dalam urusan negara mereka? Kenyataan Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Hillary Rodham Clinton yang mengumumkan pelan empat perkara bagi memerangi kegiatan lanun, termasuk pendakwaan dan pembekuan aset lanun dengan bantuan rakan-rakan AS di peringkat antarabangsa harus dilihat sebagai perubahan dasar luar AS ke atas Somalia. Adakah kerana pentadbiran baru Obama tidak lagi mahu bekerjasama dengan Ethiopia menyebabkan berlaku kejadian pertama sejak 10 tahun lalu rompakan ke atas kapal laut perdagangan AS? Atau ini merupakan petanda bahawa AS akan campur tangan sekali lagi di Somalia?

PENULIS ialah Pensyarah Pusat Pengajian Komunikasi, Universiti Sains Malaysia
BAHAN BACAAN 2
UTUSAN MALAYSIA ARKIB : 04/06/2009
Kaji kawalan maritim elak pembaziran
Oleh HAMZAH ISHAK


KEDUDUKAN Malaysia yang dikelilingi lautan memberikan kelebihan daripada segi perdagangan laut, sumber perikanan dan pelancongan marin. Namun daripada sudut lain, negara ini juga berdepan dengan ancaman keselamatan maritim. Ia meliputi isu penyeludupan, pendatang tanpa izin, rompakan dan perlanunan serta pencerobohan nelayan asing dan sebagainya. Jarak yang dekat dengan negara jiran memungkinkan aktiviti perlanggaran undang-undang lebih mudah dilakukan. Jika wabak Influenza A H1N1 boleh 'membolosi' pintu masuk di lapangan terbang, perkara yang sama juga boleh berlaku di laut yang 'pintunya' ternyata lebih luas. Pengawasan dan penguatkuasaan maritim negara di perairan yang luasnya dua kali ganda dari daratan kini dilaksanakan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Polis Marin selain Tentera Laut Diraja Malaysia, Jabatan Kastam, Jabatan Perikanan dan sebagainya.

Jika dilihat daripada segi jumlah jabatan atau agensi yang terlibat, sudah tentu akan timbul soal pertindihan tugas dan pembaziran aset. Ini kerana kemungkinan wujudnya pertindihan kawasan rondaan tidak dapat dielakkan. APMM diberikan mandat untuk menjalankan rondaan dan penguatkuasaan di Zon Ekonomi Eksklusif dan Laut Wilayah Malaysia. TLDM pula menjalankan tugas utama utuk mempertahankan kedaulatan perairan di seluruh perairan Malaysia. Dalam pada itu, polis Marin juga menjalankan tugas penguatkuasaan di perairan laut wilayah negara ini. Ia secara tidak langsung akan mewujudkan persaingan antara jabatan dan agensi dalam menonjolkan keupayaan masing-masing. Jika dilihat daripada segi mekanisme penguatkuasaan maritim yang efektif, kewujudan satu agensi khusus adalah perlu bagi mengelakkan pertindihan tugas dan pembaziran aset.

Negara-negara seperti Amerika Syarikat, Jepun, India dan Britain misalnya, telah diwujudkan satu agensi khusus iaitu Pasukan Pengawal Pantai atau lebih dikenali sebagai Coast Guard. Di rantau Asia Tenggara, agensi yang serupa diwujudkan di Filipina dan Indonesia. Agensi ini akan melaksanakan semua fungsi pengawasan dan penguatkuasaan maritim selain usaha mencari dan menyelamat. Adalah diharapkan satu kajian menyeluruh dilaksanakan ke atas mekanisme pengawasan dan penguatkuasaan maritim Malaysia bagi membolehkan ancaman keselamatan maritim dapat ditangani secara lebih efektif. Dalam masa yang sama ia tidak akan menyebabkan kerajaan kehilangan jutaan ringgit disebabkan pertindihan tugas dan pembaziran penggunaan aset. Walaupun penyelarasan antara agensi boleh dilaksanakan namun ia tidak menjamin komitmen semua pihak yang mempunyai kepentingan masing-masing. Keutamaan kepada kepentingan negara perlu mengatasi kepentingan jabatan jika kita mahukan hasil yang terbaik. Anjakan paradigma ini bagaimanapun memerlukan komitmen semua pihak.


BAHAN BACAAN 3
UTUSAN MALAYSIA ARKIB : 23/01/2010
Nasihat perjalanan Jabatan Negara AS tidak bantu jamin keselamatan
Oleh Azmi Hassan


Pelancong asing juga tidak ketinggalan menari tarian sumazau pada Festival Bangandang dan Ekspo Perdagangan di padang pekan Beaufort, Sabah baru-baru ini. Setiap perkara yang dilakukan oleh Amerika Syarikat (AS) sudah pasti mengundang pelbagai reaksi dan implikasi kerana negara tersebut mampu melakukan apa sahaja yang dihajatkan untuk menjaga kelangsungan agenda tidak kira sama ada politik, sosial, ekonomi atau strategik. Apabila Presiden Barack Obama mengarahkan askar Marin Corps AS membantu mangsa gempa bumi Haiti, Presiden Venezuela Hugo Chavez membuat interpretasi bahawa kehadiran askar yang lengkap bersenjata itu bagaikan cubaan AS untuk menjajah Haiti. Begitu juga apabila Jabatan Negara AS mengeluarkan notis nasihat perjalanan pada beberapa hari lepas terhadap beberapa kawasan timur Sabah, sudah pasti kenyataan tersebut walaupun pada tahap nasihat mengundang pelbagai reaksi dan tanggapan.

Notis yang dikeluarkan pada 15 Januari telah menasihati rakyat AS supaya berwaspada ketika berada di Sabah terutama sekali di Semporna, Pulau Mabul dan Pulau Sipadan kerana dikhuatiri kumpulan penjenayah dan pengganas sedang membuat persiapan untuk menyerang rakyat asing yang melawat kawasan yang dimaksudkan. Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman telah memberi jaminan bahawa pulau di sekitar Sabah selamat dikunjungi sebagai reaksi terhadap nasihat perjalanan tersebut. "Jangan bimbang, sesiapa sahaja selamat untuk datang ke Sabah. Pasukan keselamatan kita mengawal sempadan dan melakukan rondaan sepanjang masa," tegas beliau. Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi juga memberi jaminan yang sama iaitu perairan Sabah selamat dikunjungi. Beliau berkata Angkatan Tentera Malaysia sentiasa memastikan keselamatan perairan negara di Sabah terkawal menerusi operasi Ops Pasir dan Ops Sinar.

Lebih menarik apabila Ahmad Zahid menambah, "Kita pun menerima maklumat risikan yang sama dan dengan itu kita meningkatkan kesiagaan kita," Sudah pasti apa yang diperkatakan oleh Musa Aman dan Ahmad Zahid mengenai jaminan keselamatan boleh diterima kerana kedua- dua mereka pada dasarnya tahu apa yang berlaku. Begitu juga dengan Jabatan Negara AS sudah pasti mempunyai maklumat risikan yang membuatkan mereka mengeluarkan notis nasihat tersebut. Jika Kuala Lumpur dan Washington masing- masing mempunyai maklumat risikan mengenai keselamatan di timur Sabah, mengapa pula interpretasi dan analisis yang dibuat jauh berbeza mengundang banyak persoalan. Memang benar notis nasihat perjalanan yang dikeluarkan adalah pada tahap rendah kerana ia berasaskan keadaan semasa sesuatu tempat untuk jangka masa yang pendek kebiasaannya hanya sah selama 30 hari sahaja.

Pada tahap yang lebih tinggi, Jabatan Negara AS akan mengeluarkan notis amaran perjalanan yang lebih bersifat nyata dan jangka panjang. Sebagai contohnya notis amaran mengenai perjalanan ke Haiti yang dikeluarkan pada 14 Januari adalah kerana malapetaka gempa bumi yang melanda negara tersebut dua hari sebelum itu. Begitu juga dengan amaran perjalanan Pakistan yang dikeluarkan pada 7 Januari pula ada kena mengena dengan kegiatan pengganas yang memuncak semenjak pemimpin Taliban, Baitullah Mehsud yang terbunuh pada bulan Ogos tahun lepas. Sekali lagi amaran yang dikeluarkan adalah lebih bersifat nyata dan sah untuk jangka masa yang lebih panjang. Sebelum nasihat perjalanan Sabah dikeluarkan, Jabatan Negara AS ada mengeluarkan notis yang serupa untuk India pada 29 Disember 2009 yang antara lain memberi nasihat kepada rakyat Amerika untuk berhati-hati apabila berada di India kerana terdapat ancaman pengganas yang akan menyerang rakyat asing.

Di antara dalil yang digunakan untuk mengeluarkan nasihat tersebut adalah kemungkinan akan meletusnya kekacauan akibat isu menubuhkan negeri baru Telangana dalam wilayah Andhra Pradesh. Seperti yang diketahui sehingga ke hari ini walaupun terdapat kekacauan yang berlaku tetapi tidak sehingga boleh mengancam rakyat asing. Untuk menguatkan lagi nasihat perjalanan India tersebut, diungkitkan kembali serangan pengganas di Mumbai pada November 2008 yang sudah pasti akan menguatkan lagi hujah bahawa kemungkinan akan berlaku keganasan adalah tinggi. Begitu juga dengan nasihat perjalanan Sabah diungkitkan juga peristiwa penculikan kumpulan Abu Sayaff pada tahun 2000 sebagai asas bahawa nasihat terkini yang dikeluarkan itu mempunyai asas kuat. Insiden tersebut telah mendapat perhatian dunia kerana 10 daripada 21 mangsa penculikan adalah rakyat asing. Perlu diingatkan kembali pada tahun 2002 nasihat perjalanan yang serupa dikeluarkan di atas dasar terdapat maklumat risikan bahawa kumpulan Abu Sayaff akan menculik rakyat asing di perairan Sabah.

Pada ketika itu nasihat tersebut memberi kesan yang mendalam kerana dikaitkan dengan insiden pengeboman di Bali pada Oktober 2002 dan aktiviti keganasan yang didalangi oleh Jemaah Islamiah. Tidak dapat dinafikan bahawa maklumat risikan adalah penting untuk membanteras aktiviti keganasan. Tetapi apa yang lebih kritikal ialah maklumat tersebut perlu dianalisis dengan teliti dengan menggunakan gabungan data dari sumber berlainan. Jika ini tidak dilaksanakan maka analisis yang tepat tidak dapat dihasilkan seperti yang telah berlaku terhadap peristiwa cubaan meletupkan pesawat Delta Airlines pada 25 Disember lepas. Jika Setiausaha Majlis Keselamatan Negara Datuk Mohamed Tajudeen Abdul Wahab menyatakan maklumat risikan tentera dan polis tidak menunjukkan sebarang tanda bahawa serangan pengganas akan berlaku dalam masa terdekat, maka rakyat Malaysia pasti tertanya-tanya sumber mana maklumat risikan yang digunakan oleh Jabatan Negara AS.

Penulis ialah GeoStrategis Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Felo Pelawat ISIS Malaysia
BAHAN BACAAN 4
UTUSAN MALAYSIA ARKIB : 14/04/2010
Perantas KB aset terpantas KDRM
Oleh ARIF NIZAM ABDULLAH



INI bukan cerita filem Adnan Sempit yang merempit di pawagam bulan lalu. Tetapi kisah realiti daripada pengalaman luar biasa menaiki bot paling laju yang dimiliki Kastam Diraja Malaysia (KDRM). Semuanya bermula dalam suasana cukup tenang malahan hembusan angin laut Selat Tebrau pada petang Jumaat baru-baru ini begitu menyamankan. Sesekali kelihatan rakan-rakan wanita penulis yang rambut mereka panjang mengurai terpaksa beberapa kali membetulkan mahkota berharga itu daripada mengerbang dan mengganggu pemandangan mata. Pada petang itu, berlangsung satu majlis penyerahan tiga bot laju berkuasa tinggi yang dikenali Perantas KB 91, Perantas KB 92 dan Perantas KB 93 kepada KDRM di Jeti Stulang di Johor Bahru.

Sebelum majlis dimulakan, Ketua Pengarah KDRM, Datuk Seri Ibrahim Jaapar mengajak pihak media merasai pengalaman menaiki bot laju tersebut. "Awak semua kena mencuba dan merasai pengalaman menaiki Perantas KB9 itu. Rugi kalau tidak naik kerana bukan senang hendak mendapat peluang ini," pelawanya ramah sambil tersenyum. Ingatkan pihak media akan dibawa menaiki bot itu dalam suasana bersiar-siar dan penuh santai untuk menikmati keindahan Selat Tebrau. Namun, telahan awal penulis ternyata tersasar. Rupa-rupanya sebaik perantas KB9 Siri itu meluncur laju membelah lautan, perasaan berdebar pantas muncul tiba-tiba. Baru seminit bergerak, ngauman garang enjin bot yang menghasilkan percikan air laut sudah memberi isyarat bahawa banyak pengalaman 'ngeri' yang bakal dihadapi. Seperti dijangka, pecutan bot yang mencecah 60 knot di lautan iaitu bersamaan kelajuan 110 kilometer sejam (kmj) di jalan raya pantas memaksa para penumpang berpaut erat pada pemegang tempat duduk.

Ini kerana penulis terasa badan bagai dilambung-lambung ke udara dan mula berfikiran barangkali boleh terpelanting ke lautan apatah lagi keadaan ombak yang beralun-alun ketika itu. Jika hendak membandingkan permainan roller coaster yang pernah dinaiki di Genting Highland, ia ibarat jauh panggang daripada api. Dari segi cabaran kelajuan, Perantas KB9 Siri yang merupakan sebuah aset baru KDRM itu jelas tiada tolok tandingannya. Malah ketika bot lanjut itu membuat aksi membelok, pejam sahajalah mata kerana keadaan pada itu sangat mendebarkan. Hati mula berbisik kecil bilakah bot itu akan berhenti. Namun Perantas KB9 Siri itu terus garang di lautan dan jeritan kecil yang kedengaran dalam kalangan rakan-rakan wanita langsung tidak diendahkan. Hampir 15 minit berperang dengan perasaan yang bercampur baur, bot laju itu akhirnya kembali berlabuh ke jeti. Sebaik keluar dari bot itu, tiada kata-kata yang mampu diungkapkan buat seketika sebaliknya hanya berpandangan sesama sendiri sambil menggelengkan kepala.

Namun apa yang perlu diakui Perantas KB9 itu memang hebat dan menepati standard tinggi untuk mengawasi perairan negara. Kecanggihan Perantas KB9 Bot laju itu dibina berkonsepkan Fast Interceptor Craft dan pembinaannya berteraskan kombinasi gentian karbon dan ramaid Kevlar. Bot sepanjang 16.5 meter dan seberat 17.5 tan itu memiliki kelajuan mencecah 60 knot di lautan iaitu bersamaan kelajuan 110 kmj di jalan raya dan mampu bergerak dari Johor Bahru ke Langkawi tanpa perlu mengisi minyak. Ini kerana bot itu dilengkapi dengan dua enjin berkuasa tinggi yang menggunakan diesel sebagai bahan api. Terdapat dua buah tangki diesel yang dibina berasingan dan berkapasiti 1,500 liter setiap satu. Bahagian kokpit dilengkapi dengan enam unit tempat duduk berprestasi tinggi yang memberi keselesaan kepada pengguna terutamanya semasa bot beroperasi dalam kelajuan maksimum. Setiap tempat duduk tersebut dilengkapi dengan sistem interkom dalaman yang dapat membantu krew berkomunikasi sewaktu bot meluncur memecah ombak di lautan.

Bahagian dalam pula terdapat kabin yang dilengkapi empat tempat tidur dan satu bilik air, manakala bilik makan turut disediakan bersama satu ruang rehat yang dilengkapi set sofa. Ibrahim berkata, penerimaan bot laju berkuasa tinggi itu akan membolehkan KDRM terus meningkatkan keupayaan logistiknya menerusi bahagian penguatkuasaan pada masa akan datang. Beliau berkata, pihaknya telah menerima Perantas KB 91, Perantas KB 92 dan Perantas KB 93 selepas Perantas KB 90 pada November lalu. Kesemua bot laju itu dibina dengan kos RM22.5 juta dan ia merupakan projek kerajaan yang ditawarkan menerusi tender terbuka. "Kami amat berpuas hati dengan pembinaan semua bot laju itu yang menepati ciri-ciri keupayaan yang terkandung di dalam kontrak perjanjian. "Malah lebih membanggakan, ia dibina oleh sebuah syarikat tempatan, Destination Marine Services Sdn. Bhd., untuk muncul bot paling laju antara 150 buah yang dimiliki KDRM ketika ini," katanya. Majlis penyerahan itu turut dihadiri Pengarah Eksekutif Destination Marine Services, Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir. Ibrahim berkata, kemudahan logistik itu bertujuan meningkatkan lagi keupayaan mengawal segala aktiviti maritim terutamanya kegiatan penyeludupan di perairan negara.


BAHAN BACAAN 5
UTUSAN MALAYSIA ARKIB : 22/01/2010
Perairan Pengerang, Tanjung Piai 'lubuk' pesalah maritim
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
pengarang@utusan.com.my


TIDAK sampai sebulan tahun 2010 membuka tirainya, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Selatan sudah menahan lebih 20 kapal yang melakukan pelbagai kesalahan. Kesalahan paling serius melibatkan pemindahan minyak jenis Marine Fuel Oil (MFO) melebihi 700,000 liter di sekitar perairan Pengerang, Kota Tinggi dan Tanjung Piai, Pontian. Keadaan itu dilihat semakin serius dan merunsingkan. Berdasarkan rekod, tangkapan pertama dibuat pada 2 Januari lalu di perairan Tanjung Stapa, Pengerang melibatkan kapal yang berdaftar di Honduras iaitu M.T Royal Salute dan M.T Ai Maru. Kurang 48 jam selepas itu, APMM Wilayah Selatan kemudiannya menahan dua buah lagi kapal di perairan Tanjung Kapal, Pengerang melibatkan sebuah kapal yang berdaftar di Honduras, MT Atago Power dan sebuah kapal dari Thailand, MV Thigayu. Pada 11 Januari pula, APMM berjaya menahan tiga lagi kapal kerana disyaki melakukan pemindahan 350,000 liter minyak secara haram di kawasan perairan Tanjung Piai.

Tiga kapal tangki tersebut adalah Kapal MV Eleftheria K yang didaftarkan di Panama, Neptank VII (Singapura) dan MT Sea Trader 8 (Basseterre, Saint Kitts and Nevis). Sehari selepas itu, pihak berkuasa tersebut berjaya menahan dua buah kapal lagi iaitu MV Marine Force yang berdaftar di Tarawa, Kiribati dan MV Ayu Permata di Indonesia atas kesalahan pemindahan minyak di perairan Pengerang. Tangkapan terbaru dibuat pada 17 Januari lalu apabila empat kapal ditahan kerana melakukan pemindahan minyak secara haram di perairan Pengerang dan Tanjung Piai. Dua kapal iaitu MT Rimba yang berdaftar di Korea dan MT Sea Goddess di Tarawa dikesan melakukan kesalahan itu di tenggara Tanjung Kapal, Pengerang. Persoalannya, mengapakah perairan Pengerang dan Tanjung Piai di selatan tanah air terus dipilih menjadi 'lubuk' bagi kapal asing untuk melakukan kesalahan maritim terutamanya pemindahan minyak secara haram?

Terdapat dakwaan mengatakan ejen-ejen darat yang menjadi dalang bagi mengurus dan mengendalikan aktiviti jenayah itu dan mereka mengaut keuntungan lumayan hinggakan kompaun dikenakan pihak berkuasa negara hanya dipandang sebelah mata. Kompaun akibat kesalahan maritim di negara jiran dikatakan lebih tinggi sekali gus menjadikan perairan selatan negara kita sebagai pilihan utama mereka. Mengulas dakwaan itu, Ketua Penguat kuasa APMM Wilayah Selatan, Datuk Che Hassan Jusoh berkata, pihaknya tidak boleh mengulas secara terperinci mengenai penglibatan ejen-ejen yang menjadi orang tengah untuk kegiatan haram itu kerana tidak mempunyai bukti kukuh tetapi itu tidak bermakna APMM hanya berdiam diri. APMM masih lagi menjalankan siasatan serta meningkatkan hasil risikan dalam usaha mengurangkan kegiatan haram di perairan negara terutamanya di kawasan perairan Pengerang dan Tanjung Piai kerana ia merupakan kawasan panas untuk kegiatan jenayah maritim.

Jika dilihat secara terperinci, kedua-dua perairan itu terletak berhampiran dengan perairan antarabangsa dan merupakan lokasi perkampungan nelayan, menjadikannya kedudukan strategik untuk mengaburi perhatian pihak berkuasa. Che Hassan berkata, kegiatan jenayah maritim itu bukan perkara baru, sebaliknya sudah berlarutan sejak berpuluh tahun lalu. Namun pihak berkuasa maritim seperti APMM sentiasa mencari kaedah terbaru untuk menanganinya secara holistik bagi mengelakkan daripada terus berulang. Beliau berkata, sejak kebelakangan ini hampir setiap hari ada sahaja kapal yang ditahan di perairan tersebut dan ia menunjukkan bahawa pihak berkuasa sentiasa menjalankan tanggungjawab mereka. Beliau memberitahu, kesemua yang ditahan itu terlibat dalam kesalahan sama di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 dan Akta Kualiti Alam Sekitar 1974. "Awal tahun ini saja, boleh dikatakan, kesemua kapal yang ditahan terlibat dengan kegiatan pemindahan minyak secara haram dan kesalahan-kesalahan lain di bawah ordinan yang sama," katanya.

Jalinan kerjasama dengan Jabatan Laut dan Jabatan Alam Sekitar akan terus ditingkatkan pada masa akan datang bagi membolehkan proses penguatkuasaan serta pendakwaan dijalankan segera bagi membuktikan ketegasan pihak berkuasa di negara ini. Katanya, proses penguatkuasaan akan dilakukan oleh APMM, manakala proses pendakwaan dilaksanakan Jabatan Laut dan Jabatan Alam Sekitar mengikut akta yang telah ditetapkan di dalam Perlembagaan. Bagaimanapun, beliau enggan mengulas mengenai aspek pendakwaan kerana ia diluar bidang kuasa APMM. "Kami akan terus memberikan tumpuan terhadap aspek penguatkuasaan di kawasan perairan selatan negara dan segala kertas siasatan akan dilakukan pihak kami secara bersama manakala proses pendakwaan serta denda akan diserahkan kepada jabatan-jabatan berkaitan," katanya.

No comments:

Related Posts with Thumbnails