04 Februari 2021

CATATAN CIKGU ZUL FARIHIN : MAKNA BAHAGIA SEORANG GURU SEPERTI SAYA


Tahun ini, genaplah 23 tahun 8 bulan 18 hari saya berkecimpung dalam dunia perguruan. Sepanjang tempoh itu saya telah berkhidmat di tiga buah sekolah tetapi yang paling lama ialah di SMK Sacred Heart, Sibu iaitu selama 19 tahun 5 bulan. Saya amat bernasib baik kerana  berpeluang mengajar Tingkatan Peralihan hingga Tingkatan enam dan telah memegang jawatan sebagai penyelaras tingkatan, Ketua Panitia, dan Ketua Bidang di sekolah itu. Bermula dari Guru Akademik Biasa (GAB), saya menjadi Guru Cemerlang Bahasa Melayu dan Guru Akademik Tingkatan Enam. Tanggal 04.04.2016, saya terjun ke dunia pentadbir, ditempatkan menjadi Penolong Kanan Kokurikulum di SMK Sibu Jaya sehingga 04.05.2020. Kini, saya di SMK Durin sebagai Penolong Kanan Pentadbiran (Menjalankan Tugas Pengetua) sehingga kini. Jawatan bukanlah kepuasan bagi saya kerana itulah tanggungjawab yang harus saya lunaskan. 

Kepuasan yang cukup bermakna bagi saya ialah apabila melihat anak-anak didik saya membesar menjadi manusia yang berjaya dan berjasa kepada masyarakat. Sesekali ada anak-anak didik saya yang sudah berjawatan baik di sektor awam mahupun swasta membawa saya mengimbas masa lalu, bercerita tentang garangnya saya dan sakitnya dirotan di tapak tangan atau dipunggung kerana nakal dan malas. Sambil bercerita mereka tidak putus-putus mengucapkan terima kasih, itulah kepuasan sebenar yang sukar untuk saya gambarkan! Sewaktu mengajar saya amat tegas dengan pelajar yang suka tidur, tidak bagi tumpuan, dan tidak menyiapkan tugas yang diberikan tetapi kalau mereka tidak ada buku saya belikan buku, tidak ada kertas saya belikan kertas, tidak ada pen saya belikan pen. Setiap bulan ada kalanya saya habiskan sampai RM300.00 untuk menyediakan bahan mengajar untuk memudahkan saya menyampaikan isi pelajaran di dalam kelas. Apabila melihat mereka berjaya, segak bergaya sekarang ini, saya tersenyum-senyum sendiri teringatkan telatah mereka pada masa lalu. 

Garangnya saya di kelas (Saya tidak pasti saya garang atau tidak) marah saya tidak sampai ke hati dan membuahkan dendam. Sakit macam mana pun hati, setelah loceng berbunyi dan saya keluar dari kelas itu, saya lupakan terus setiap insiden yang terjadi. Saya tahu mereka pelajar dan saya pula guru mereka. Akan tetapi, dalam melewati hari-hari bersama memang banyak perkara yang boleh menipiskan rasa sabar dan tabah. Namun begitu, saya tidak pernah lupa menitipkan doa agar mereka menjadi anak didik yang baik dan berjaya pada suatu masa nanti. Saya tidak pernah menganggap yang nakal itu jahat kerana masih ada ruang untuk mereka memperbetul diri. Yang penting, sebagai guru saya harus beritahu yang salah itu salah dan jangan dilakukan. Contohnya, malas menyiapkan kerja sekolah, memang salah kerana pelajar datang ke sekolah untuk belajar dan kerja sekolah itu adalah tanggungjawab yang harus diselesaikan untuk meningkatkan tahap pemahaman. 

Saya tidak akan minta apa-apa pun daripada mana-mana bekas pelajar saya kerana kejayaan mereka itu sudah cukup untuk memberikan kepuasan. Saya bangga kerana dalam kalangan puluhan guru yang mendidik dan mengasuh mereka, saya salah seorang yang turut memikul tugas dan amanah Allah untuk memanusiakan mereka. Apapun kerja yang mereka lakukan, saya sentiasa mendoakan mereka mampu meraih rezeki yang halal, berbakti kepada ibu bapa dan adik beradik, membina kehidupan yang bahagia bersama isteri/suami dan anak-anak serta sihat sepanjang hayat. Itulah kepuasan sebenar bagi seorang guru. Saya selalu kata pada diri saya, kerja saya untuk Allah kerana jika saya gagal melaksanakan amanah Allah di dunia, saya akan disoal dan diadili di akhirat nanti. Jadi, sentiasa mencuba untuk menjadi lebih baik itulah impan biarpun sesekali tergelincir jua, saya bangkit kembali ikut rentak dan cara diri terus berbakti.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...