04 Februari 2021

CATATAN CIKGU ZUL : AKTA BODY SHAMING WAJAR DIKUATKUASAKAN


Zaman kegilaan membawang di media sosial pada masa ini menjadikan manusia lebih cenderung mencaci dan menghina bentuk tubuh dan paras rupa individu yang dikecam. Jika orang itu berisi, macam-macam perkataan cacian keluar dalam komen mereka di media sosial. Mereka bercakap ikut suka hati sahaja tanpa memikirkan akibatnya terhadap individu yang dimaki itu. Yang memberikan komen sebegitu langsung tidak sedar bahawa asal jadinya setiap manusia merupakan ciptaan Tuhan, bukan ciptaan oleh empunya badan. Ya, siapa tidak mahu kelihatan tampan seperti Shah Rush Khan atau cantik seperti Kajol, yang menjadi kegilaan masyarakat dunia pada suatu ketika dahulu. Jika cantik atau tampan itu pilihan sendiri rasanya semua manusia di dunia ini baik lelaki mahupun wanita tidak akan mahu diri mereka kelihatan 'hodoh' atau 'tidak sempurna' pada pandangan mata. 

Ketampanan dan kecantikan itu terlalu subjektif. Kecantikan dan ketampanan itu pun bukan ukuran bahawa kita mampu mengecapi nikmat dunia ini dengan lebih mudah dan menghirup udara kebahagiaan tanpa bersusah payah. Yang paling utama ialah hati budi yang suci murni, niat yang jujur ikhlas serta keupayaan kita membawa diri. Jika hati kita bersih dan tahap keyakinan kita tinggi, kita akan nampak elok pada pandangan mata setiap manusia yang mengenali kita. Apatah lagi kalau kita berilmu dan berakal, kita mampu mengoncang dunia dengan hayunan tangan kita. Mereka yang mencaci rupa paras dan bentuk fizikal kita itu belum tentu mampu membuat lebih baik daripada kita. 

Saya amat bersetuju andai akta Body Shaming ini dikuatkuasakan. Orang yang sesuka hati mencerca fizikal dan paras rupa orang lain boleh didakwa dan dipenjara kerana kesan daripada kata-kata mereka ibarat sembilu yang menusuk hati hingga ke jantung orang yang ditujukan dengan kata-kata itu. Orang ini boleh dikatakan penjenayah. Mereka perlu ditangkap, didakwa, dan dipenjarakan atau dihukum! Kita tidak mahu kegilaan manusia melakukan Body Shaming ini menular pula kepada anak-anak syurga yang memang dilahirkan tidak sempurna. Jika sampai ke tahap ini, apakah mereka yang suka melakukan Body Shaming ini manusia atau sebaliknya?

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...