22 Julai 2019

CORETAN CIKGU ZUL : PERJALANAN HIDUP SEORANG GURU (BIL 1)

Sejak kecil saya memang memasang angan untuk menjadi guru. Saya mempunyai minat untuk mendidik dan mengajar. Semasa di bangku sekolah saya bukanlah pelajar yang pandai tetapi saya sentiasa cemerlang dalam subjek kegemaran saya iaitu Bahasa Melayu (Bahasa Malaysia). Semasa sekolah rendah, saya suka sangat melukis. Lukisan-lukisan saya selalu mendapat markah A dan ditayangkan di papan kenyataan kelas. Saya masih ingat, semasa di Tingkatan Satu, saya menulis sebuah karangan yang bertajuk, Kehidupan di Kampung Lebih Baik daripada Kehidupan di Bandar.Cikgu Demang, Guru Bahasa Melayu kelas saya pada masa itu menjadikan karangan tulisan saya sebagai karangan contoh. Saya berasa amat bangga dan bersemangat untuk belajar. Walau bagaimanapun, kawan-kawan saya menuduh saya meniru karangan daripada buku rujukan di perpustakaan. Saya diam sahaja. Selepas itu, karangan yang saya hasilkan selalu mendapat markah yang tinggi. Saya memang suka menulis dan amat menggemari subjek Bahasa Melayu. 

Pada suatu ketika, saya hampir-hampir berhenti sekolah kerana tidak mampu membayar yuran peperiksaan SRP sebanyak RM15.00. Saya amat bersyukur apabila seorang guru yang berhati mulia, Cikgu Julie telah membantu membayarkan yuran itu untuk saya. Alhamdulillah, saya lulus SRP dan melanjutkan pelajaran ke Tingkatan Empat di SMK Song. Semasa berada di Tingkatan Empat dan Tingkatan Lima, saya mula aktif dalam pelbagai aktiviti bahasa. Saya menjadi juara Pertandingan Menulis Esei dan Syarahan. Saya dan 2 orang rakan saya iaitu Hardy, dan Bidah Lujah telah mewakili SMK Song dalam Pesta Pantun Berita Harian sehingga ke Peringkat Negeri Sarawak. Saya telah dilantik menjadi Pengawas Sekolah pada masa itu atas kepercayaan pihak sekolah. Walau bagaimanapun, saya akui sifat rendah diri amat tebal dalam diri saya kerana saya lahir dalam sebuah keluarga yang miskin tegar. Saya jarang balik ke rumah panjang semasa cuti sekolah kerana tidak mahu menyusahkan ibu bapa saya.Saya akan tinggal di asrama dengan beberapa orang kawan yang senasib. 

Saya amat beruntung kerana mempunyai kawan-kawan yang amat baik dan memahami. Satu peristiwa yang akan saya kenang sehingga kini ialah semasa saya menjadi buruh kasar di Mukah semasa menunggu keputusan SPM diumumkan dengan gaji RM35.00 sehari. Saya dibawa ke Mukah oleh dua orang sepupu saya yang bekerja di sana. Tugas utama saya ialah mengangkut simen kepada mereka yang memasang mozek di lantai atau dinding tandas.Kadang-kadang kepala saya berwarna putih kerana mengangkat bungkusan simen. Saya berkawan rapat dengan anak tauke tempat saya bekerja. (Namanya Acu). Semasa saya bekerja,adakalanya saya cuai, saya gaul simen dengan tangan saya yang tidak dibungkus dengan plastik. Akibatnya, kulit telapak tangan dan kuku saya 'dimakan' simen. Sakitnya amat pedih dan mengambil masa yang lama untuk sembuh. Suatu hari saya terkejut apabila ayah saya datang ke tempat saya bekerja. Dia membawa saya pulang ke rumah panjang. Dia marah kerana saya bekerja. Dia kata, selagi dia mampu menyara keluarga, anak-anak tidak boleh bekerja. Saya akur dan tidak membantah. Ayah saya garang. 

Apabila keputusan SPM diumumkan, saya mendapat Pangkat Satu. Ibu bapa saya berasa amat gembira. Saya meneruskan pengajian di Tingkatan Enam di SMK Kapit. Ketika itu, saya sudah agak matang. Saya mewakili sekolah dalam Pertandingan Pidato Piala Diraja di bawah bimbingan Cikgu Shahran Bin Haris dan Cikgu Mat Yaakob. Saya tulis teks pidato sendiri dan berlatih sendiri. Saya hafal teks pidato saya siang dan malam.Kebolehan saya menghafal itu telah menjadi tabiat saya semasa belajar terutama untuk subjek Sejarah dan Geografi. Apabila masuk di Tingkatan Enam, minat saya beralih kepada subjek Geografi dan Sejarah. Saya selalu mendapat markah yang tinggi dalam kedua-dua subjek itu. Sementara menunggu keputusan STPM diumumkan, saya ditawarkan menjadi Guru Sandaran di SRK Nanga Bangkit selama 3 bulan. Kemudian, saya menjadi guru sandaran di SMK Kapit selama 3 bulan sebelum saya meneruskan pengajian di Maktab Perguruan Batu Lintang, Kuching dalam Pengajian Melayu. 

Saya berasa amat bangga apabila melanjutkan pengajian di MPBL, yalah dengan keadaan ekonomi keluarga yang tidak seberapa, saya perlu melupakan hasrat untuk masuk ke universiti. Bagi saya, impian saya untuk menjadi guru sudah berjaya dalam genggaman. Niat saya cuma satu iaitu membawa keluarga saya keluar dari kepompong kemiskinan dan membantu membiayai persekolahan adik-adik saya yang masih kecil pada ketika itu.Semasa menjadi guru pelatih, saya sentiasa mendapat markah yang tinggi apabila diselia oleh pensyarah. Suatu ketika semasa saya praktikal di SK Tembirat, Kota Samarahan,pensyarah penyelia saya Haji Razali Yu telah mengambil video p&p yang saya kendalikan. Saya berasa amat gembira pada masa itu. Pada tahun 1996, selepas menamatkan pengajian saya telah memulakan tugas sebagai guru di salah sebuah sekolah yang ternama di Sibu. Saya berasa amat teruja. Tanggal 01 Januari 1997, saya telah melaporkan diri di SMK Sacred Heart Sibu sebagai Guru Sandaran Terlatih. Bermulalah kehidupan saya sebagai seorang guru. 

Bersambung ... 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...