24 Februari 2012

ISU NUTP : GURU TERPAKSA DERMA RM50 UNTUK SEKOLAH


Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) hari ini melaporkan sebuah sekolah di Johor telah memaksa guru-guru gred 44 di sekolah itu menyumbang RM50 setahun sebagai dana kewangan sekolah berkenaan. Presidennya Hashim Adnan berkata sehubungan itu wakil guru sekolah di Batu Pahat tersebut telah membuat laporan kepada NUTP Rabu, 22 Februari 2012. Pentabir sekolah dikatakan telah mengeluarkan arahan kepada 50 guru berkenaan untuk membuat sumbangan berikutan kenaikan gred mereka ke gred tersebut. Tujuan kutipan wang tersebut tidak diberikan penjelasan yang lengkap dan kaedah pengumpulan itu hanya tertera kepada guru yang memegang jawatan itu. Hashim berkata sebarang kutipan wang dari pihak sekolah, sama ada melibatkan guru atau ibu bapa perlu mengikut prosedur dan mendapat kelulusan Kementerian Pelajaran. Segala urusan pengumpulan wang harus mempunyai persetujuan semua pihak terutamanya bagi yang terlibat dan pihak sekolah perlu mengeluarkan keterangan lengkap berkenaan kegunaan wang itu. Hashim turut membangkitkan mengenai aduan daripada guru-guru sebuah sekolah di Senai, Johor yang dipaksa hadir di sekolah 15 minit sebelum pukul 7 pagi, berbeza dengan peraturan biasa yang guru hanya harus berada di kawasan sekolah pada 7.40 pagi atau 7.50 pagi. Guru-guru ini terpaksa keluar lebih awal dari rumah untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah atau di rumah penjaga anak sebelum bergegas untuk ke sekolah. Beliau berkata ini secara tidak langsung telah memberi tekanan kepada guru dan menganggu keberkesanan pengajaran mereka di bilik darjah.    – Bernama

KOMEN CIKGU ZUL

Alangkah malangnya jika saya berada dalam kelompok guru-guru ini. Sudahlah bahan untuk mengajar kena beli sendiri pada setiap minggu. Seorang guru kena menghabiskan antara RM100 hingga RM200 atau ada yang lebih daripada itu untuk fotostat dan sebagainya pada setiap bulan. Semuanya dilakukan untuk mengajar pelajar di sekolah. Orang luar hanya nampak salah guru dan mereka sentiasa ingat tugas guru ini senang. Akan tetapi, mereka jarang melihat susah payah guru dan tidak pernah sekalipun mengucapkan terima kasih kepada guru-guru yang bersusah payah demi memastikan kejayaan anak-anak mereka. Jika kemudahan sekolah pun cikgu yang kena tanggung, lebih baik kita swastakan sahaja semua sekolah di seluruh negara ini supaya dapat mencari sumber kewangan sendiri untuk memantapkan peranan sesebuah sekolah. 
Catat Ulasan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...