16 Januari 2012

IKHTIBAR UNTUK KITA : GURU WANITA DIDERA SUAMI


"Suami saya, Aldin Osdam, 31, yang terjebak dengan najis dadah pada 2010, sangat cemburu, mengurung dan memukul saya saban hari. Dia juga meminjam dengan Ah Long, mohon kad kredit dan beli kereta guna nama saya. Apabila tidak jelaskan hutang, saya jadi mangsa, diterajang dan disepak hampir setahun,"

Seorang guru sandaran yang mendakwa tidak tahan didera hampir setahun oleh suaminya, seorang penagih dadah, nekad melarikan diri dan memohon Kementerian Pelajaran meluluskan pertukarannya atas faktor keselamatan.  Siti Muniroh Mohd Shukri, 31, berkata selepas melarikan diri dari Lahad Datu, Sabah, bersama anak lelakinya yang berusia sembilan bulan pada 22 Julai tahun lalu, gajinya ditahan sehingga kini. Siti Muniroh nekad melarikan selepas berbincang dengan Guru Besar Sekolah Rendah St Dominic di Lahat Datu, tempat beliau bertugas, manakala ibu mertuanya membelikan tiket penerbangan ke Alor Setar.  Sebelum melarikan diri, beliau membuat laporan polis di Lahat Datu sebanyak dua kali selain ke Mahkamah Syariah untuk menuntut cerai.

Siti Muniroh berkata, Aldin yang dipenjara tiga bulan di Lahat Datu kerana kesalahan dadah akan dibebaskan 18 Januari ini dan sudah menghubunginya tiga hari lalu serta mengugut hendak 'menyembelih' beliau jika terjumpa di Sabah.  Beliau berkata, laporan mengenai ugutan itu telah dibuat di Balai Polis Alor Setar.  "Atas faktor keselamatan diri untuk kembali bertugas di Lahat Datu, saya memohon pihak berkenaan di Kementerian atau Jabatan Pelajaran menimbang kes saya dengan wajar.  "Sahabat bapa saya, Redzuan Ishak sudah tiga kali membawa saya dan bapa ke Kementerian Pelajaran di Putrajaya menemui pegawai bahagian pertukaran" katanya.  Siti Muniroh juga membuat permohonan secara dalam talian kepada Guru Besar dan Jabatan Pendidikan Sabah selain bertemu pegawai Jabatan Pendidikan Kedah serta kaunselor.  Sehubungan itu, beliau merayu masalah tersebut dapat diselesaikan secepat mungkin kerana statusnya sebagai guru sandaran terlatih dan belum disahkan jawatan.

SUMBER
BERITA HARIAN
16 JANUARI 2012

KOMEN CIKGU ZUL

Baru sahaja bekerja terus diuji seteruk ini. Suami jenis apakah yang sanggup memperlakukan isteri yang sepatutnya dibelai dengan kasih dan sayang, tetapi dilayan seolah-olah nilai kemanusiaan tiada langsung dijiwa. Benarlah kata orang, dadah musuh nombor 1 negara, sekali kita terjebak dengan najis dadah, susah untuk kembali ke pangkal jalan. Akhirnya, orang yang berada di sekeliling kitalah yang terpaksa menanggung azab dan sengsara dek perlakuan kita yang acapkali tidak masuk dek akal. Semoga masalah guru wanita malang ini dapat diselesaikan dengan sewajarnya oleh pihak atasan. Berdoalah kepada Allah agar kebahagiaan akan menjelma setelah tsunami ngeri ini berlalu pergi.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.
Catat Ulasan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...