05 Oktober 2011

SURAT GURU : SEKOLAH BAGAI TIDAK MENGHARGAI JASA GURU


SUMBER
RUANGAN SURAT
BERITA HARIAN
5 OKTOBER 2011

Saya  ingin menarik perhatian Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) berhubung isu pemberian markah untuk prestasi guru. Saya mengajar Bahasa Inggeris (BI) di sekolah rendah luar bandar di daerah Kuala Lipis. Sekolah ini tidak pernah ada seorang pun murid mendapat 5A dalam peperiksaan UPSR apatah lagi lulus 100 peratus dalam BI. Namun tahun lalu seorang murid mendapat 5A dalam peperiksaan UPSR dan lebih membanggakan pelajar sekolah ini lulus 100 peratus dalam subjek BI.  Rating sekolah ini pun naik mendadak. Penduduk kampung buat kenduri kesyukuran. Malangnya kejayaan bersejarah ini tidak pula dicerminkan oleh markah prestasi yang saya peroleh, iaitu 84 peratus. Kejayaan dikecapi tidak datang begitu saja. Ia adalah hasil usaha membuat kelas tambahan, buat asrama mini tidur dekat sekolah dan pernah juga buat kelas tambahan waktu malam. Guru sanggup mengorbankan masa bersama keluarga demi mendidik anak bangsa. Segala penat lelah mendidik anak bangsa seolah-olah tidak dihargai pihak sekolah. Pihak sekolah memberikan sijil penghargaan ‘telah dianugerahkan guru cemerlang’ kerana lulus 100 peratus Bahasa Inggeris, namun markah hanyalah 84 peratus, tidak begitu cemerlang. Saya ingin bertanya kepada KPM bagaimanakah markah menilai prestasi guru? Saya tidak meminta markah 100 peratus tetapi biarlah berpadanan dengan penat lelah saya. Saya percaya ramai juga guru menghadapi masalah sama. Bukan tidak ikhlas tetapi hargailah dengan sewajarnya.

GURU YANG BINGUNG,
Kuala Lipis.

PANDANGAN PERIBADI CIKGU ZUL

Senario Ketua Jabatan yang seolah-olah tidak nampak pengorbanan, kejayaan, dan kesungguhan seseorang guru dalam pemberian markah LNPT berlaku hampir di semua sekolah di seluruh negara. Fenomena ini amat membimbangkan. Guru yang terlibat seolah-olah dinafikan hak wahal mereka telah bersusah payah menyumbangkan pelbagai kejayaan kepada sekolah. Akhirnya, guru yang pandai mengampu, selalu berbual dengan ketua jabatan, pandai membodek dan seumpamanya jugalah yang menerima markah LNPT paling tinggi serta diberi Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC). Sebilangan Pengetua dan Guru Besar di negara kita terlalu percaya kata (orang yang suka memfitnah orang lain) dalam menilai seseorang guru. Guru yang paling tidak rapat dengan mereka tetapi paling kuat bekerja itulah yang selalu menjadi mangsa. Kementerian Pelajaran Malaysia dan pihak-pihak yang berkenaan harus melihat isu ini dengan bijaksana kerana ketidakadilan inilah yang merencatkan pembangunan pendidikan di negara kita. Jika tidak diatasi, alamatnya kita bukan maju ke hadapan tetapi maju ke belakang selama-lamanya. 
Catat Ulasan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...