03 April 2011

ISU UMUM : KEBERKATAN JUMAAT VS KEJAHILAN APRIL FOOL

Oleh Mohd Ali Muhamad Don
bhrencana@bharian.com.my
BERITA HARIAN, 1 APRIL 2011


Setiap tahun 1 April disambut sebahagian besar masyarakat dunia sambil 'menipu' orang lain dengan alasan untuk berseronok. Kebiasaan membohongi rakan dan anggota keluarga ini dikatakan bermula di Perancis, kemudian tersebar ke England dan Scotland, lalu ke Amerika ketika berlaku perpindahan orang Eropah ke sana. Sehingga kini ada pula segelintir daripada umat Islam yang jahil dan terpengaruh dengan budaya songsang, turut mengamalkan budaya pelik ini. Walau dari mana asal-usul budaya ini, ia tidak begitu penting. Malah jika diperhalusi ia jauh menyimpang daripada syariat yang memerintahkan umat untuk saling menghormati dan berbuat baik kepada sesama manusia. Lebih-lebih lagi 1 April tahun ini jatuhnya pada Jumaat yang menjadi penghulu segala hari. Pada Jumaat juga, umat Islam disuruh untuk memperbanyak amalan kebajikan dengan berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW, beristighfar dan pergi awal ke masjid untuk menunaikan solat Jumaat bagi memperoleh rahmat dan keampunan daripada-Nya.

Sedarlah betapa selama ini umat Islam sering diperbodohkan dengan pelbagai dakyah dan penipuan yang ditujukan khususnya kepada golongan belia Islam. Pelbagai propaganda dan penipuan yang diimport dari luar impak negatif era globalisasi seakan-akan berhasil mengheret ramai remaja dan golongan muda Islam mempraktikkan amalan yang tidak sihat bahkan terkadang bercanggah dengan akidah dan syariat yang suci. Golongan yang terikut dengan budaya tidak sihat seperti ini seolah-olah tidak punya nilai dan jati diri sendiri sehingga melihat dunia hanya tempat untuk berseronok tanpa mempedulikan tanggungjawab sebagai hamba Allah SWT, tanggungjawab sebagai pelajar dan terhadap keluarga, masyarakat dan negara. Sikap sebegini bukan saja merosakkan individu terbabit, malah jika dibiarkan bakal mencalar imej Islam di mata masyarakat lain. Menurut perspektif Islam, setiap bulan dalam Islam adalah bulan yang mulia, malah Allah SWT melebihkan bulan tertentu kerana keutamaannya.

Sebagai contoh Muharram adalah bulan pertama dalam kalendar Hijrah. Ramadan dengan lailatulqadar yang menyamai seribu bulan, Zulhijjah ialah bulan tetamu Allah beramai-ramai mengunjungi Baitul al-Haram untuk menunaikan ibadah haji. Rabiulawal ialah bulan junjungan besar Nabi Muhammad SAW dilahirkan sebagai pembawa rahmat kepada sekalian alam. Justeru, tiada hari atau bulan tertentu yang dikhususkan untuk memperbodohkan orang lain apatah lagi kepada sesama Islam. Nabi SAW diriwayatkan pernah bersabda yang bermaksud: “Kamu akan mengikuti perlakuan umat sebelum kamu sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta sehinggakan jika mereka memasuki lubang biawak sekalipun nescaya kamu akan mengikuti mereka. Sahabat bertanya: “Adakah mereka itu kaum Yahudi dan Nasrani, wahai Rasulullah? Sabda Baginda SAW: “Ya, siapa lagi kalau bukan mereka?” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Pernahkah kita terfikir bahawa April bukan bulan yang buruk seperti disangka sesetengah masyarakat malah sebenarnya golongan yang terbabit merayakan hari berkenaan adalah individu yang dangkal khasnya umat Islam apabila tidak mengerti adat budaya sendiri sehingga terikut dengan budaya asing tanpa mengetahui hujung pangkalnya. Ada pula kalangan umat Islam yang terpedaya lalu terbabit dalam aktiviti pembohongan yang ditegah oleh syariat, sedangkan amalan berbohong adalah amalan buruk yang ditegah oleh syariat. Dalam hadis Nabi Muhammad SAW diriwayatkan bersabda yang bermaksud: “Siapa berbohong kepada kami bererti dia bukan daripada kalangan kami.” Islam dengan tegas, tidak pernah membenarkan pembohongan dilakukan oleh sesiapa dengan apa jua alasan. Lebih daripada itu, perbuatan berbohong adalah perkhabaran yang dibawa oleh orang fasik yang mesti diperhalusi sebelum diterima.

Allah SWT menegaskan perkara ini dalam firman-Nya yang bermaksud: “Wahai orang beriman apabila datang orang yang fasik membawa berita kepada kamu, hendaklah kamu berhati-hati.” Nabi SAW juga diriwayatkan pernah bersabda yang bermaksud: “Kejujuran membawa kepada kebaikan dan kebaikan membawa ke syurga. Sesungguhnya seseorang sentiasa bersifat jujur sehingga ditulis di sisi Allah SWT sebagai orang yang jujur, manakala pembohongan membawa kepada kemaksiatan, perbuatan maksiat pula membawa ke neraka. Sesungguhnya seseorang sentiasa berbohong lalu ditulis di sisi Allah SWT sebagai pembohong.” Oleh itu tidak wajar sesiapapun daripada kalangan orang Islam terikut-ikut menyambut hari ini. Dibimbangi akan mengundang berlaku gejala lain yang lebih buruk dan tidak bermoral. Pepatah ada menyebutkan siakap senohong, gelama ikan duri bercakap bohong lama-lama mencuri.

Penulis ialah Pensyarah Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam, UiTM Kampus Bandar raya Johor Bahru
Catat Ulasan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts with Thumbnails