03 Mac 2011

SURAT GURU : GURU MESTI PROFESIONAL KETIKA BERTUGAS

Dua insiden yang didedahkan dalam media massa mengenai salah laku dua guru mendapat perhatian masyarakat.  Walaupun hanya membabitkan dua guru, ia dilihat sedikit sebanyak menjejaskan imej institusi perguruan kita yang sedang giat diperkasakan oleh pihak kementerian Insiden pertama membabitkan guru lelaki disiplin sebuah sekolah menengah di Ampang yang dilaporkan mencabul 11 pelajar perempuan Tingkatan Tiga ketika merotan mereka kerana tidak hadir perhimpunan. Mengikut laporan, guru lelaki itu didakwa meletakkan tangan pada dada pelajar kononnya bagi merasai denyutan jantung sebelum merotan punggung mereka.  Insiden kedua pula agak pelik dan jarang didengar di mana Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) kelmarin mendedahkan ada guru wanita didakwa ‘mengusik’ pelajar lelaki, terutama yang dikatakan memiliki paras rupa atau penampilan menarik di sekolah menengah.

Mengikut cerita pelajar lelaki Tingkatan Empat yang terbabit, pipinya selalu ‘dicubit-cubit manja’ oleh seorang guru wanita di kelas kerana meminati rupa parasnya yang menarik, bukan kerana hukuman disiplin. Apa yang pelik ia membabitkan guru wanita dan kes seperti ini jarang kita dengar sebelum ini. Saya berpendapat adalah tidak wajar untuk kita terus menuding jari dengan menyalahkan keseluruhan institusi perguruan itu sendiri hanya disebabkan beberapa kes terpencil seperti ini. Namun saya bersetuju dengan saranan Presiden NUTP, Hashim Adnan agar kes seperti ini dibendung segera bagi mengelak masyarakat semakin hilang kepercayaan terhadap integriti dan kredibiliti pendidik di sekolah. Katanya, semua guru mesti profesional ketika bertugas, termasuk ketika mengambil tindakan berbentuk fizikal terhadap pelajar.

NOOR MOHAMAD SHAKIL HAMEED,
Serdang, Selangor.
Catat Ulasan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts with Thumbnails