17 Februari 2011

ISU SOSIAL : KIKIS TANGGAPAN NEGATIF TERHADAP POLIS

Masyarakat perlu membuang tanggapan negatif terhadap polis supaya usaha membanteras jenayah dapat dilakukan dengan lebih berkesan. Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye berkata, masyarakat harus mengubah persepsi negatif itu kerana polis berjaya menjalankan tugas dengan berkesan selama ini. Katanya, persepsi negatif sering dilontarkan kepada polis setiap kali berita mengenai kejadian jenayah dipaparkan di akhbar. Walaupun polis sentiasa memberikan perkhidmatan terbaik ketika menjalankan tugas terutama menangkap penjenayah namun masyarakat tidak pernah puas dengan perkara itu. Jadi perkara ini perlu ditangani segera dengan meruntuhkan tembok penghalang antara polis dengan masyarakat bagi menangani apa juga masalah yang wujud di persekitaran mereka.  Lam Thye berkata, setiap ketua polis daerah perlu melantik seorang penasihat di kalangan pihak swasta atau ahli akademik di daerah masing-masing sebagai pencetus idea atau pemberi cadangan.

Katanya, penasihat ini boleh memberi maklum balas kepada ketua polis daerah untuk sama-sama berganding bahu dengan penduduk setempat bagi membanteras jenayah. Beliau turut mencadangkan supaya polis mengadakan lebih banyak program pencegahan jenayah di kawasan penduduk. Kita wajar mewujudkan masyarakat kepolisan dan patut ada lebih banyak komunikasi serta interaksi antara polis dengan masyarakat dalam mengawal jenayah melalui program-program kesedaran. Orang ramai juga wajar memainkan peranan dengan tampil memberi idea kepada polis mengenai cara yang berkesan dalam mengawal jenayah di penempatan mereka. Untuk mencapai matlamat itu, MCPF di setiap negeri juga sedia bertindak sebagai penghubung antara masyarakat dengan polis.
Catat Ulasan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts with Thumbnails