09 Februari 2011

IKHTIBAR DAN PENGAJARAN BUAT RENUNGAN KITA BERSAMA

Guru tipu diculik minta RM1,000
Oleh Irwan Shafrizan Ismail

KUANTAN: Gara-gara terdesak mendapatkan duit untuk membeli dadah, seorang guru sekolah rendah berpakat dengan dua rakannya menipu isterinya dengan mendakwa bahawa beliau diculik dan meminta wang tebusan RM1,000 bagi membebaskannya.  Dalam kejadian di Temerloh, Sabtu lalu, guru berusia 30 tahun itu mengarahkan seorang daripada rakannya menyamar dan menghubungi isterinya bagi memaklumkan suaminya ‘diculik’ sejak Jumaat lalu. Rakan guru terbabit juga meminta wanita berusia 30 tahun itu menyediakan wang tebusan jika mahu suaminya dibebaskan. Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Md Nor Mansor, berkata mangsa yang ketakutan kemudian menghubungi Balai Polis Temerloh memaklumkan kejadian berlaku sebelum polis menyusun strategi dengan meminta mangsa menuruti arahan suspek.  Sebaik mangsa meninggalkan wang tebusan di tepi tong sampah seperti diarahkan, sepasukan anggota polis membuat intipan melihat seorang lelaki mengambil bungkusan itu.  Lelaki terbabit kemudian ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), Temerloh untuk siasatan sebelum suspek mendedahkan dua lagi rakannya sedang menunggu dalam kereta, tidak jauh dari bangunan berkenaan.  Siasatan awal mendapati, suami mangsa mengaku melakukan perbuatan terbabit kerana terdesak untuk mendapatkan wang RM1,000 dipercayai untuk membeli ganja.

SUMBER
BERITA HARIAN
09 FEBRUARI 2011

KOMEN CIKGU ZUL

Satu lagi kisah duka yang melibatkan guru. Walaupun bukan semua guru seperti dia namun berita ini seolah-olah mencalarkan kerjaya perguruan. Cikgu Zul doakan agar mereka yang terlibat akan segera insaf dan kembali ke pangkal jalan untuk menikmati keindahan hidup tanpa ganja dan dadah yang merupakan musuh durjana bagi setiap insan yang bernama manusia. Dadah dan ganja tidak mengenal mangsa namun kita berkemampuan untuk menjauhkan diri daripadanya. Jika tidak kita akan terus terpenjara di sangkar ketagihan yang akan menelanjangi maruah diri kita satu persatu. 
Catat Ulasan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...