05 Januari 2011

SURAT GURU : GURU SANDARAN MENGHARAP DISAMBUNG KHIDMAT


Bagi kebanyakan Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT), tahun 2011 merupakan tahun yang mendukacitakan. Ini kerana perkhidmatan guru GSTT telah ditamatkan pada akhir tahun 2010 dan tiada sebarang pelantikan baru pada tahun 2011. Saya selaku guru GSTT yang telah berkhidmat dua tahun terkilan teramat sangat kerana perkhidmatan saya sebagai guru GSTT tidak lagi disambung pada 2011. Bukan kerana tidak layak tetapi alasan yang diberikan oleh Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Larut Matang & Selama ialah tiada waran pelantikan untuk guru GSTT di Daerah Larut Matang & Selama pada tahun 2011. Saya dan seluruh guru GSTT di Malaysia menyedari situasi kami yang akan ditamatkan perkhidmatan pada bila-bila masa sekiranya guru tetap mula berkhidmat. Kami juga menyedari bahawa jawatan kami adalah sementara.

Namun kami mohon kepada kerajaan melalui Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengambil inisiatif untuk membantu nasib guru GSTT seperti saya, khusunya di Daerah Larut Matang & Selama yang tiada sebarang pelantikan pada tahun 2011. Untuk makluman, pihak sekolah sering memperakui kami sebagai tenaga pengajar yang dinamik, berkebolehan dan setara dengan guru tetap. Buktinya melalui beberapa jawatan penting yang diamanahkan kepada kami seperti Jurulatih Uniform, Guru Kelas dan beberapa jawatan penting yang lain. Apa yang membezakan kami dengan guru tetap ialah sekeping sijil yang dipanggil Diploma Perguruan. Daripada segi kebolehan, pengalaman, kerjasama serta hasil kerja, ada di antara kami yang lebih terserlah berbanding guru tetap. Oleh yang demikian, saya merayu kepada pihak yang berkaitan untuk menyelesaikan kemelut guru GSTT di Daerah Larut Matang & Selama khususnya. Saya yakin dan percaya dengan motto kerajaan 'Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan'.

ZULKIFLI
Taiping, Perak


KOMEN CIKGU ZUL

Cikgu Zul bersimpati dengan nasib yang menimpa guru-guru sandaran ini. Walau bagaimanapun, mereka  harus tahu bahawa perkhidmatan mereka hanyalah sementara. Dalam keadaan ekonomi negara yang sekejab baik, sekejap buru seperti sekarang ini, mungkin perkhidmatan guru sandaran akan dikurangkan. Kasihan memanglah kasihan, tetapi apakan daya? Hakikatnya, tidak ada seorang pun antara kita yang mahu berkhidmat secara sukarela tanpa gaji. Jika majikan tidak mampu membayar gaji, maka situasi inilah yang akan berlaku. Namun begitu, jauh di sudut hati ini mendoakan dan mengharapkan yang terbaik untuk golongan guru GSTT ini. 
Catat Ulasan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts with Thumbnails