12 November 2010

GURU DIGALAKKAN MELANJUTKAN PELAJARAN

KEMUSYKILAN GURU

Saya seorang guru gred DGA29 yang sedang berkhidmat di sebuah sekolah kerajaan. Saya ingin mengetahui bagaimanakah caranya saya boleh melanjutkan pelajaran untuk mengambil ijazah pertama. Kita sedia maklum yang kebanyakan universiti tempatan menawarkan peluang untuk menyambung belajar secara sepenuh masa dan separa masa. Saya berhasrat melanjutkan pelajaran di Universiti Terbuka Malaysia (OUM) tetapi pegawai yang bertanggungjawab memberitahu bahawa saya tidak layak untuk mengikuti kursus itu kerana saya seorang guru. Beliau menyatakan saya boleh menyambung pelajaran di OUM tetapi tidak dijamin kenaikan pangkat sedangkan ramai guru yang melanjutkan pelajaran di OUM sudah pun mendapat kenaikan pangkat. Universiti manakah diiktiraf oleh Bahagian Pendidikan Guru (BPG) jika saya melanjutkan pelajaran secara separa masa?
GURU DGA29,
Kuala Lumpur.

JAWAPAN DARIPADA 
KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA

Kementerian Pelajaran ingin merujuk surat 'guru DGA29, Kuala Lumpur', bertarikh 21 Oktober lalu bertajuk 'Guru ingin maklumat pengajian'. Kementerian menggalakkan guru mengikuti pengajian ijazah pertama. Setiap program diikuti perlulah didahului permohonan dibuat oleh pemohon (guru) berdasarkan prosedur yang ditetapkan. Guru yang menamatkan pengajian perlu membuat permohonan kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP) untuk ditemuduga bagi tujuan kenaikan ke gred DG41. Guru layak mengikuti pengajian di mana-mana universiti yang mendapat pengiktirafan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) serta mengikuti pengajian yang relevan dalam bidang pendidikan.

UNIT KOMUNIKASI KORPORAT,
Kementerian Pelajaran.

KOMEN CIKGU ZUL

Kadang-kadang sedih dan terharu juga apabila melihat nasib guru-guru yang melanjutkan pelajaran ini. Pihak KPM memanglah memberikan galakkan tetapi dalam syarat kenaikan pangkat sebagai Guru Cemerlang atau Guru Akademik Tingkatan Enam, golongan ini tersisih dan diketepikan. Ada segelintir mereka yang mengajar Tingkatan Enam lebih daripada 10 tahun sehingga dilantik menjadi penyemak dan pakar rujuk bagi subjek yang diajar tetapi tidak dilantik sebagai Guru Akademik Tingkatan Enam disebabkan syarat yang ditetapkan oleh pihak KPM. 

Bagi guru-guru yang memiliki Sarjana dan PHD pula sehingga ke hari ini masih belum mendapat pengiktirafan sewajarnya daripada KPM. Pada suatu ketika memang ada janji untuk memberi kenaikan gred kepada guru-guru ini, namun sehingga ke hari ini masih belum dikeluarkan pekeliling berkaitan dengan perkara ini.
Catat Ulasan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts with Thumbnails