08 Oktober 2010

RUMUSAN KARANGAN

BAHAGIAN B

5. Fahami petikan di bawah ini, dan kemudian rumuskan petikan ini dengan padat dan ringkas tanpa menjejaskan isi kandungannya. Rumusan hendaklah dibuat tidak lebih daripada tiga perenggan dan panjangnya antara 180 hingga 190 patah perkataan.
[20 markah]

Misi Nasional antara lain menggariskan pembentukan ‘masyarakat’ berminda kelas pertama iaitu masyarakat yang berpengetahuan, mampu berdaya saing, berbudaya kerja cemerlang, berintegriti dan memiliki kekuatan moral. Masyarakat tersebut juga tahu menghayati dan menghargai budaya, kesenian dan warisan serta sejarah negara, bangsa dan agamanya. Identiti nasionalnya kekal terserlah melalui pembinaan jati diri yang kukuh dan tidak mudah dihanyutkan oleh arus globalisasi.

Salah satu daripada perkara pokok yang terkandung dalam Misi Nasional ialah membangun dan membentuk pemikiran kelas pertama dalam kalangan rakyat Malaysia. Tafsiran kasar terhadap teras ini meliputi dua aspek iaitu meminda insan yang berakhlak baik dan kepentingan perhatian yang lebih berat diambil oleh kerajaan bagi membangunkan modal insan untuk menjadi penjana kepada pembangunan negara. Aspek pertama merupakan teguran terhadap sesetengah kakitangan perkhidmatan awam terutama yang berkhidmat di kaunter-kaunter khidmat pelanggan yang masih tidak memberi layanan yang baik kepada pelanggan. Walaupun bukanlah keseluruhan agensi kerajaan yang berorientasikan perkhidmatan kaunter yang teruk. Isunya lebih berkaitan apakah kakitangan yang ditempatkan di kaunter pelanggan itu benar-benar tepat? Mereka ini sebenarnya tidak dilatih secara formal bagaimana perlu berurusan dengan pelanggan. Sehubungan itu, kerajaan dijangka turut menyediakan program latihan khusus bagi kakitangan awam yang mengendalikan kaunter-kaunter awam.

Daripada aspek kedua pula, pembangunan aspek modal insan sangat penting bagi menjadikan negara lebih kompetitif. Ia sememangnya merupakan cabaran utama bagi menjayakan Wawasan 2020. Ketika ini, Malaysia sudah mempunyai prasarana lebih baik berbanding negara-negara lain tetapi masih kekurangan pekerja mahir. Sudah sampai masanya kerajaan memberi lebih banyak perhatian untuk membangunkan modal insan dengan menumpukan kepada pelaburan dalam program pendidikan dan latihan. Negara memerlukan pekerja mahir untuk aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D). Langkah kerajaan untuk meneroka bidang lain seperti nanoteknologi dan bioteknologi memerlukan tenaga kerja mahir. Guna tenaga dijangka bertambah pada kadar purata 1.9 peratus setahun dan menyumbang kepada penyediaan 1.1 juta pekerjaan dalam RMK-9, terutamanya pekerjaan yang memerlukan kelayakan di peringkat tinggi. Sebagai perbandingan, dalam tempoh RMK-8, tahap guna tenaga penuh telah dapat dikekalkan dan produktiviti pekerja meningkat. Guna tenaga berkembang selaras dengan pertumbuhan ekonomi yang disumbangkan terutamanya oleh sektor perkhidmatan dan pembuatan. Kualiti tenaga buruh meningkat berikutan peningkatan penawaran sumber manusia mahir dan berpendidikan. Pelbagai inisiatif diambil termasuk melaksanakan beberapa program latihan dan latihan semula bagi mengurangkan ketidaksepadanan kemahiran dan meningkatkan keupayaan sumber manusia mendapatkan pekerjaan terutamanya siswazah.

Modal insan negara yang berkualiti merupakan elemen paling kritikal dalam mencapai Misi Nasional. Oleh itu, pembangunan modal insan akan menjadi teras utama pembangunan dalam tempoh RMK-9 ini. Kerajaan telah menyatakan komitmen untuk melaksanakan pembangunan modal insan secara holistik merangkumi pemerolehan pengetahuan dan kemahiran atau modal intelek termasuk keupayaan keusahawanan dan pengetahuan sains dan teknologi (S&T) serta memiliki sikap, nilai dan etika positif serta progresif melalui pendidikan, latihan dan pembelajaran sepanjang hayat. Bina upaya akan diperkukuh bagi membangunkan modal insan yang berpengetahuan, berkemahiran dan inovatif bagi memacu ekonomi berasaskan pengetahuan. Penekanan juga akan diberikan kepada pembangunan modal insan yang mempunyai sikap dan pemikiran progresif serta memiliki etika dan nilai universal yang kukuh seperti digariskan dalam Islam Hadhari.

Pelaksanaan program pembelajaran sepanjang hayat akan terus dipergiat bagi menggalakkan peningkatan kemahiran di kalangan semua lapisan masyarakat. Sistem pendidikan dan latihan akan diperluas dan dipertingkatkan terutamanya dalam bidang teknikal dan vokasional. Sekolah kebangsaan akan diperkasa supaya menjadi sekolah pilihan utama rakyat Malaysia. Usaha akan diambil untuk meningkatkan kualiti pendidikan dan latihan supaya setanding dengan amalan terbaik di peringkat antarabangsa. Program akan dilaksanakan bagi membangunkan modal insan yang inovatif dan memiliki keupayaan dalam bidang Sains dan Teknologi serta kemahiran keusahawanan yang tinggi.

Kesimpulannya, generasi RMK-9 pasti akan berhati lapang dengan semua gagasan yang ditekankan oleh kerajaan seperti di atas. Sepanjang tempoh rancangan iaitu sekarang hingga tahun 2010, yang perlu diperhatikan secara teliti ialah kaedah pelaksanaannya sama ada ia sekadar indah di atas kertas, atau benar-benar mencapai matlamat serta hasrat yang dicita-citakan.

JAWAPAN YANG DICADANGKAN
ISU UTAMA
1. Masyarakat berminda kelas pertama merupakan masyarakat yang berilmu, berdaya saing, berintegriti dan bermoral.
2. Mereka tahu menghargai budaya, kesenian dan sejarah negara.
3. Mereka juga mempunyai jati diri yang kukuh.

ISI SAMPINGAN
1. Misi Nasional bermatlamat untuk melahirkan rakyat Malaysia yang berminda kelas pertama. Modal insan yang dihasilkan hendaklah berakhlak baik dan menjadi penjana kepada pembangunan negara.

2. Sikap kakitangan awam yang berkhidmat di kaunter masih tidak memuaskan walaupun tidak keseluruhannya. Program latihan khusus akan disediakan bagi kakitangan awam yang terlibat.

3. Pembangunan modal insan akan menjadikan negara lebih kompetitif yang merupakan cabaran utama Wawasan 2020. Kita masih kekurangan pekerja mahir dan pembangunan modal insan harus difokuskan kepada program pendidikan dan latihan.

4. Pekerja mahir diperlukan untuk aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D). Bidang nanoteknologi dan bioteknologi memerlukan pekerja berkelayakan peringkat tinggi selaras dengan pertumbuhan ekonomi yang berteraskan sektor perkhidmatan dan pembuatan.

5. Modal insan berkualiti merupakan elemen kritikal Misi Nasional sekali gus menjadi teras utama RMK-9. Kerajaan berkomitmen tinggi untuk melahirkan modal insan yang holistik, progresif, beretika dan bernilai universal selaras dengan Islam Hadhari.

6. Program pembelajaran sepanjang hayat akan dipergiat untuk tujuan ini. Bidang teknikal dan vokasional serta sekolah kebangsaan akan terus diperkasakan bagi melahirkan modal insan yang berinovatif, berkeupayaan sains dan teknologi serta keusahawanan yang tinggi.

ISI PENUTUP

1. Generasi RMK-9 pasti berpuas hati dengan semua gagasan yang ditekankan oleh kerajaan ini.
2. Kaedah pelaksanaan hendaklah betul agar matlamat dan hasrat yang dicita-citakan akan tercapai.


Catat Ulasan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...