06 Oktober 2010

PROFESOR EMERITUS DARUK DR. ASMAH OMAR MENERIMA ANUGERAH TOKOH ILMUAN BAHASA KEBANGSAAN 2010


Felo Penyelidik Kanan, Akademi Pengajian Melayu serta Fakulti Bahasa dan Linguistik Universiti Malaya (UM), Prof. Emeritus Datuk Dr. Asmah Omar menerima Anugerah Tokoh Ilmuwan Bahasa Kebangsaan yang julung kalinya diperkenalkan sempena Bulan Bahasa Kebangsaan 2010. Beliau merupakan wanita Melayu pertama yang menerima doktor falsafah dalam bidang linguistik am daripada University of London pada tahun 1969, diberikan pengiktirafan tersebut atas kesungguhan beliau memartabatkan bahasa kebangsaan sebagai bahasa ilmu, kemajuan dan pengucapan budaya tinggi.

Ratusan penerbitannya termasuk ensiklopedia, buku, artikel, karya terjemahan, kertas kerja, serta temu ramah di radio dan televisyen sebahagian besarnya telah dihasilkan dalam bahasa Melayu sementara selebihnya dalam bahasa Inggeris. Beliau yang turut menguasai bahasa Perancis juga pernah dipertanggungjawabkan sebagai pegawai khas untuk melaksanakan agenda penukaran bahasa pengantar pengajian di UM daripada bahasa Inggeris kepada bahasa Melayu.

Menurut beliau bahasa Melayu seharusnya diangkat menjadi bahasa ilmu melalui penulisan dan penyampaian, bukan sahaja dalam kesusasteraan tetapi juga merangkumi bidang sains dan teknologi. Penggunaan bahasa Melayu perlu diperluas secara rasmi di media selain para pemimpin harus menunjukkan contoh tauladan dengan menuturkannya secara baik di semua peringkat. Pada masa sama, beliau menolak tanggapan bahawa penggunaan bahasa asing sebagai sumber mendapatkan rujukan sebagai sesuatu yang 'menderhakakan' bahasa kebangsaan. Kalau tidak merujuk pada bahasa lain, sebenarnya kita memundurkan bangsa dan oleh sebab itu, kita harus menguasai pelbagai bahasa. Yang penting, harus buktikan bahawa kita setaraf dengan pakar antarabangsa lain melalui komunikasi dan kerjasama dengan pelbagai negara kerana martabat bangsa itu terletak pada bahasa.
 
Catat Ulasan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts with Thumbnails