08 Oktober 2010

LATIHAN RUMUSAN KARANGAN

ARAHAN
Fahami petikan di bawah ini, dan kemudian rumuskan petikan ini dengan padat dan ringkas tanpa menjejaskan isi kandungannya. Rumusan hendaklah dibuat tidak lebih tiga perenggan dan panjangnya antara 160 hingga 170 patah perkataan.
[20 markah]
Pendedahan mengenai hospital swasta mencekik darah pelanggan dan mengaut keuntungan atas angin sehingga ada doktor mengenakan caj rundingan sehingga RM3,000 sehari mungkin sesuatu yang baru. Mereka yang pernah menjadi 'mangsa' sudah tentu serik untuk melangkah di hospital berkenaan. Kita tahu perkara ini sudah lama berlarutan. Cuma yang menghairankan pihak berkuasa seolah-olah baru sedar mengenai tindakan hospital swasta menipu pelanggan.


Terdapat aduan doktor mengenakan caj rundingan sehingga RM2,000 hingga RM3,000 sehari kepada pesakit mereka. Bukan saja caj rundingan, ada sebilangan doktor yang menakutkan pesakit dan meminta mereka menjalani pelbagai pemeriksaan yang tidak perlu. Kita terpaksa akur dengan apa saja dikenakan kerana tidak berani mengambil risiko. Pesakit biasanya meletakkan harapan dan kepercayaan tinggi terhadap kemuliaan profesion kedoktoran. Mereka seolah-olah 'menyerahkan' nyawa mereka kepada doktor yang merawat mereka.

Namun begitu, tindakan yang dilakukan oleh sebilangan kecil doktor khususnya di klinik dan hospital swasta amat memalukan, bukan saja terhadap hospital atau doktor itu tetapi juga profesion mereka. Sikap menipu oleh hospital swasta dan sebilangan doktornya boleh disifatkan seperti lintah darat. Ada hospital swasta mengenakan pelbagai caj tidak munasabah termasuk mengenakan RM400 hingga RM500 untuk sebuah bilik wad. Caj ini adalah dua kali ganda daripada caj bilik hotel lima bintang di Malaysia.

Terdapat sebilangan pesakit yang menjalani pembedahan di hospital swasta terpaksa melarikan diri disebabkan tidak mampu membayar kos rawatan yang mencecah ribuan ringgit. Hal ini menyebabkan pihak hospital terpaksa mengheret mereka ke mahkamah untuk meminta mereka membayar kos perubatan tersebut. Ada sebilangan pesakit pula yang terpaksa ditahan di wad oleh pihak hospital kerana gagal menjelaskan bayaran perubatan. Pihak hospital tidak mahu membekalkan ubat-ubatan kepada pesakit tersebut. Tindakan yang dilakukan oleh pihak hospital swasta ini membuktikan bahawa mereka hanya mengejar keuntungan sahaja daripada menyelamatkan nyawa pesakit.

Terdapat pandangan yang mengatakan bahawa doktor di hospital swasta terpaksa mengenakan caj tinggi kepada pesakit untuk menebus kos pembelajaran mereka yang tinggi. Secara puratanya mereka membelanjakan antara RM500,000 hingga RM1 juta sepanjang pengajian mereka. Jumlah kos pengajian tersebut adalah bergantung kepada universiti dan negara dipilih. Hasilnya, doktor swasta kini hidup mewah manakala pesakit mereka merana masih mencari wang untuk membayar bil mereka. Dengan keadaan ekonomi yang kukuh dan rakyat semakin mewah, perniagaan hospital swasta kini dilihat antara perniagaan yang amat menguntungkan.

Kabinet pula memandang serius soal bayaran dikenakan hospital swasta yang semakin hari semakin meningkat sehingga ada kes dianggap keterlaluan. Bagaimanapun, sehingga kini tidak ada penyelesaiannya kerana menteri sendiri tidak boleh campur tangan dan meminta orang ramai mengadu kepada Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) atau Majlis Perubatan Malaysia (MMC).

Kerajaan haruslah mengurangkan penindasan ini dengan memperkenalkan jadual untuk rawatan dan ubat-ubatan. Tindakan ini adalah sama seperti penjadualan harga makanan di restoran supaya orang ramai boleh membuat pilihan mengikut kadar diiklankan. Tindakan ini wajar memandangkan Peraturan Kemudahan Penjagaan Kesihatan dan Perkhidmatan Swasta 2006 yang menjamin hak pesakit berhubung maklumat dan jadual bayaran, tidak dikuatkuasakan sepenuhnya di hospital swasta.

 
JAWAPAN LATIHAN INI AKAN DIBERIKAN PADA HARI SELASA, 12 OKTOBER 2010.
HARAP MAKLUM.

Catat Ulasan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...