08 Oktober 2010

ALIH BENTUK TEKS JENIS DIALOG

ARAHAN
Alih bentuk bahasa petikan di bawah ini kepada bentuk prosa biasa dengan memindahkan bentuk dialog ke dalam cakap pindah. Petikan yang terhasil mestilah memperlihatkan ciri-ciri keutuhan satu wacana.
[15 markah]

Ketika mereka sampai di hospital, ibu masih belum sedar. Mak Ani ada disebelahnya. Izza meluru mendapatkan Mak Ani.

“Apa yang terjadi kepada ibu?”

Izza menghampiri ibunya. Air matanya mengalir deras. Dalam sedu sedan dia memeluk ibunya.

“Ibu, bangun bu.”

Bagai anak kecil dia menangis dan menggoncang-goncang ibunya. Jururawat yang sedang bertugas di situ datang menarik Izza perlahan-lahan.

Izza tidak membantah. Dia sangat sedih, dia belum pernah melihat ibunya terlantar begitu. Dia menoleh ke arah Mak Ani.

“Cik Salwa mendengar warta berita tengah hari tadi, berita terkini, dia memanggil saya, katanya kapal terbang terhempas. Itu saja yang sempat diberitahu kepada saya, dia terus pengsan.”

“Kapal terbang terhempas? Ya Allah, adakah ....”

“Izza ...”

Izza mendengar suara yang perlahan dan amat lemah. Dia menoleh ke arah ibunya.

“Ibu...!” sambil mendekati ibunya dan memegang tangannya.

“Izza ... kapal terbang papamu terhempas ... terhempas ...”

(Dipadankan daripada Novel Bersiri
Biarkan Kupu-Kupu Itu Terbang (Bahagian Kesebelas)
oleh Siti Zeleha M. Hashim; Dewan Siswa, November 1997,
Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka).

JAWAPAN YANG DICADANGKAN
1. Ketika mereka sampai di hospital ibu mereka belum sedar. Dia ditemani oleh Mak Ani.

2. Izza bergegas mendapatkan Mak Ani dan bertanya hal yang terjadi kepada ibunya.

3. Izza menghampiri ibunya dan air matanya mengalir deras. Dalam tersedu-sedu, dia memeluk ibunya dan menyuruh ibunya bangun. Dia menggoncang-goncang ibunya sambil menangis seperti anak-anak kecil hingga seorang jururawat yang bertugas itu menariknya perlahan-lahan.

4. Izza tidak membantah. Dia amat sedih kerana belum pernah melihat ibunya terlantar begitu. Dia memandang Mak Ani.

5. Mak Ani memberitahu bahawa ibunya, Salwa, memanggilnya setelah mendengar berita terkini tengah hari itu dan mengatakan kapal terbang yang terhempas kepada Mak Ani. Kemudian dia terus pengsan.

6. Izza terkejut dan menyahut nama Allah. Dia terdengar namanya disahut dengan perlahan dan lemah dan dia menoleh ke arah ibunya.

7. Izza memanggil ibunya sambil mendekatkan dirinya dan memegang tangannya. Dengan perlahan dia memberitahu Izza yang kapal terbang ayahnya terhempas.

Catat Ulasan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...