29 September 2010

ALIH BENTUK TEKS JENIS PROSA MODEN

ARAHAN
Alih bentuk bahasa yang berikut kepada bentuk prosa Melayu Moden.

PETIKAN ASAL
"Kenapa kau mahu jadi cikgu? Banyak lagi profesion lain. Keputusan STPM engkau sangat bagus. Mahu jadi lawyer pun boleh," Pak Majid menduga anaknya, Khatijah.

"Saya mahu jadi guru sebab saya memang mahu jadi guru. Tiada siapa sokong saya. Saya yang mahu sendiri. Saya tidak mahu jadi  macam guru saya dahulu. Saya nak jadi guru yang lain dari yang lain. Dahulu ada guru pilih kasih. Pelajar yang ibu bapanya ahli PIBG selalu dilayan dengan baik. Kalau budak kelas corot, dia pandang kita macam cencorot. Sebab itu saya mahu jadi cikgu. Saya mahu sayang anak murid saya."

JAWAPAN YANG DICADANGKAN
Pak Majid menduga anaknya, Khadijah dengan mempersoalkan kemahuan anaknya yang ingin menjadi guru. Menurutnya, banyak profesion lain lagi yang boleh dipilihnya. Memandangkan keputusan peperiksaan STPM anaknya yang sangat baik, dia berpendapat bahawa sekiranya anaknya mahu menjadi peguam sekalipun, pasti dapat.

Khadijah menjelaskan bahawa dia mahu menjadi guru disebabkan oleh kemahuannya sendiri. Tiada sesiapa yang menyokongnya dalam hal itu kerana dia sendiri yang mahu berbuat demikian. Khadijah kemudiannya menegaskan bahawa dia tidak mahu menjadi guru seperti gurunya dahulu. Menurutnya, dia mahu menjadi guru yang lain daripada yang lain. Tambahnya lagi, pada masa dahulu, ada guru yang bersikap pilih kasih. Sekiranya seseorang pelajar itu mempunyai ibu bapa yang menjadi ahli PIBG, pelajar tersebut akan dilayan dengan baik. Sebaliknya, kalau pelajar itu tidak pandai atau berada di kelas yang terakhir, guru memandang pelajar sedemikian secara acuh tidak acuh sahaja. Oleh sebab itu, dia mahu menjadi guru. Khadijah menyatakan bahawa dia mahu menyayangi anak-anak muridnya.
Catat Ulasan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts with Thumbnails