22 Oktober 2009

KARANGAN PELAJAR TERPILIH

SOALAN

Anda telah diminta menyampaikan ceramah kepada persatuan ibu bapa dan guru sekolah anda tentang tanggungjawab dan peranan ibu bapa dalam menangani masalah ‘gangterisme’ dalam kalangan pelajar.
Sediakan teks ceramah tersebut.

JAWAPAN LENGKAP
Selamat pagi, saya selaku pengerusi majlis ucapkan kepada pengetua, Encik Vincent Liong Shuan Chuan, guru-guru, para ibu bapa, adik-adik pelajar, dan seterusnya hadirin dan hadirat sekalian. Gangterisme dalam kalangan pelajar boleh didefinisikan sebagai tindakan seseorang pelajar melanggar undang-undang dan peraturan sekolah dengan melakukan kesalahan jenayah dalam pelbagai bentuk. Menteri Pelajaran Malaysia iaitu Tan Seri Muhiddin Yassin menyatakan bahawa kemelut ini banyak melibatkan pelajar di sekolah menengah. Oleh itu, para ibu bapa diseru supaya dapat memainkan peranan dengan lebih aktif dalam menangani masalah ini. Dengan itu, pada pagi yang mulia lagi sejahtera ini, saya akan menyampaikan ceramah tentang tanggungjawab dan peranan ibu bapa dalam menangani masalah gangterisme dalam kalangan pelajar.

Hadirin sekalian,

Pada hemat saya, tanggungjawab dan peranan ibu bapa dalam mengatasi masalah ‘gangterisme’ adalah dengan memberi kasih sayang kepada anak-anak mereka. Sesungguhnya, kehidupan kini menyebabkan masyarakat diburu oleh pelbagai urusan kehidupan yang tidak pernah berakhir. Hal ini disebabkan mereka hanya mementingkan kekayaan dan materialistik. Hasilnya, anak mereka akan terlibat dalam gangterisme seperti merompak, mencuri dan sebagainya untuk menarik perhatian daripada ibu bapa mereka. Dengan itu, ibu bapa seharusnya meluangkan masa menemani dan memberi kasih sayang kepada anak-anak mereka. Hasilnya, mereka akan merasai kasih sayang daripada ibu bapa dan tidak akan terjebak dalam gejala gangterisme. Tuntasnya, kasih sayang daripada ibu bapa dapat membantu kita dalam menangani masalah gangterisme.

Selain itu, ibu bapa juga perlu memberi didikan agama kepada anak mereka untuk membendung masalah gangterisme. Memang tidak dapat dinafikan bahawa, agama merupakan benteng yang kukuh untuk menahan segala nafsu jahat. Lebih-lebih lagi, anak-anak mereka dapat membezakan baik dan buruk dengan adanya asuhan agama yang kukuh. Dengan itu, ibu bapa perlu memberi asuhan didikan agama kepada anak mereka sejak kecil lagi. Pepatah Melayu mengatakan “melentur buluh biarlah dari rebungnya” amat bertepatan dengan situasi ini. Hasilnya, anak mereka tidak akan terjebak dalam gejala seperti memeras ugut, mencuri dan membuli. Jelaslah bahawa, didikan agama dapat membendung masalah gangterisme dalam kalangan pelajar.

Sudah terang lagi bersuluh, ibu bapa seharusnya menunjukkan teladan yang baik kepada anak mereka. Sesungguhnya, ibu bapa yang terbabit dalam gejala gangterisme akan diikuti oleh anak mereka. Perkara ini dapat digambarkan dalam situasi peribahasa yang menyatakan “bapa borek, anak rintik”. Hal ini demikian kerana, anak-anak mereka dijaga, dibesar dan sentiasa bersama dengan ibu bapa mereka. Lantaran itu, ibu bapa harus mempunyai personaliti diri yang baik untuk dicontohi oleh anak-anak mereka. Hasilnya, anak-anak mereka akan membesar dalam keadaan yang sihat tanpa dicemari oleh unsur-unsur negatif yang dangkal dan bobrok. Nyatalah di sini, ibu bapa perlu menunjukkan teladan yang baik untuk mengatasi gejala gangterisme.


Bukan itu sahaja, ibu bapa seharusnya sentiasa peka dan prihatin dengan latar belakang kawan anak mereka. Memang tidak dapat dinafikan bahawa, pelajar kini sering dipengaruhi oleh kawan sebaya mereka. Lebih-lebih lagi, mereka yang ingin menyahut cabaran kawan mereka untuk menyertai kumpulan gangter. Selain itu, mereka yang tidak mahu disish oleh rakan mereka akan terdorong untuk terjerumus ke pelbagai kancah permasalahan sosial seperti gengsterisme. Oleh itu, ibu bapa perlu mengenali semua kawan anak mereka. Lebih-lebih lagi, ibu bapa juga boleh menetapkan masa balik rumah anak-anak setelah keluar dengan rakan-rakan. Ibu bapa hendaklah selalau menghubungi anak-anak menggunakan telefon untuk mengetahui tempat mereka berada pada setiap masa. Dengan itu dapatlah dikatakan bahawa tabiat ibu bapa yang suka ambil tahu latarbelakang kawan anak mereka akan membantu kita untuk membendung masalah gangterisme.

Hadirin sekalian,

Selanjutnya, ibu bapa juga perlu menyelia dan menetapkan jenis rancangan televisyen yang sesuai untuk ditonton oleh anak mereka semasa berada di rumah. Pada hari ini, banyak rancangan televisyen yang ditayangkan berunsur negatif seperti memaparkan aksi bunuh-membunuh, meragut, mencuri, bergaduh dan sebagainya. Remaja pula sering terikut-ikut dengan aksi ditonton. Hal ini disebabkan, mereka mempunyai naluri yang tinggi untuk mencuba sesuatu. Dengan itu, ibu bapa perlu melarang anak-anak mereka menonton rancangan televisyen yang berunsur negatif. Hasilnya, minda anak-anak mereka tidak akan dicemari oleh unsur-unsur negatif negatif. Tegasnya, untuk menangani kemelut ini, ibu bapa perlu melarang anak mereka daripada menonton rancangan yang berunsur negatif.

Seterusnya, ibu bapa juga bertanggungjawab untuk mewujudkan institusi kekeluargaan yang harmoni. Sesungguhnya, suasana keluarga yang porak-peranda akan menyebabkan anak tidak suka berada di rumah. Hasilnya, mereka akan selalu keluar dan keadaan ini akan mendorong mereka terbabit dalam gejala gangterisme. Oleh itu, ibu bapa seharusnya mewujudkan suasana rumah yang sentiasa aman dan damai. Sementelahan itu, ibu bapa perlu menunjukkan kemesraan dan meluangkan masa untuk berkomunikasi dengan anak mereka. Dengan itu, hubungan antara ibu bapa dengan anak-anak mereka dapat dirapatkan. Berdasarkan kenyataan yang diberi, jelas mengatakan bahawa institusi kekeluargaan yang harmoni dapat mengatasi masalah gangterisme.

Intihanya, ibu bapa memainkan tanggungjawab dan peranan yang penting untuk menangani masalah gangterisme dalam kalangan pelajar. Analoginya mudah, gangsterisme umpama penyakit H1N1, pelajar pula ialah pengidapnya. Jika penyakit H1N1 ini dapat dikesan lebih awal mangsanya pasti dapat diselamatkan dengan kepakaran yang kita ada. Walau bagaimanapun, andai kita lambat bertindak sudah pasti mangsanya akan menderita sehingga ada yang menemui maut. Sesungguhnya, dalam konteks gejala gangsterisme di kalangan pelajar ini kita harus mengamalkan prinsip “mencegah lebih baik daripada mengubati”. Hal ini demikian kerana, merekalah merupakan generasi muda yang bakal memimpin negara, bak kata pepatah, “pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara”. Ingatlah seruan Perdana Menteri Malaysia keenam, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak dalam gagasan “Satu Malaysia”, yang berselogankan “ Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”. Sekian terima kasih.


KARANGAN INI DIHASILKAN OLEH :
Kong Mee Kiong, Tingkatan U6A1
JAWAPAN UNTUK SOALAN 1
PEPERIKSAAN PERCUBAAN 2
STPM 2009
Catat Ulasan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts with Thumbnails