JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



09 Jun 2017

CATATAN CIKGU ZUL : JANGAN JADI HAMBA HUTANG, ORANG NAK DEKAT PUN TAK SENANG


Kisah manusia dan hutang telah wujud sejak berzaman lamanya. Semua orang pernah berhutang. Kita berhutang disebabkan pelbagai tujuan yang hanya kita sendiri yang tahu akan jawapannya. Kita berhutang untuk membeli rumah, tujuannya adalah untuk menyediakan tempat tinggal yang selesa untuk keluarga kita. Kita berhutang untuk membeli kereta, tujuannya adalah untuk menyediakan pengangkutan bagi mempermudah urusan seharian kita. Kita buat pinjaman peribadi di bank, tujuannya adalah untuk membiayai pengajian atau mengatasi masalah kewangan akibat daripada keperluan yang mendesak seperti membiayai perbelanjaan perubatan yang mencecah ribuan ringgit. Oleh itu, pelbagai institusi kewangan ditubuhkan semata-mata untuk mempermudah urusan kita untuk berhutang. Konsep hutang ini amat mudah untuk difahami. Setelah kita berhutang, masalah kewangan kita dapat diselesaikan atau apa yang kita mahukan dapat kita peroleh, dan sebagai balasannya kita perlu membayar hutang pada setiap bulan berdasarkan jumlah yang telah dipersetujui. Jika kita melanggar perjanjian itu, sudah pasti masalah akan timbul antara kita dengan pihak tempat kita berhutang. Orang berhutang ini saya klasifikasikan kepada dua kelompok, iaitu orang yang berhutang untuk tujuan yang positif dan satu lagi kelompok ialah orang yang berhutang dengan tujuan yang negatif.  

Orang yang berhutang dengan tujuan positif biasanya tidak mendatangkan masalah kerana niat mereka berhutang amat jelas iaitu untuk kesejahteraan dan keselesaan hidup. Mereka berhutang berdasarkan kemampuan diri. Golongan ini berhutang untuk membeli rumah, kereta, dan beberapa keperluan lain tetapi tidak sampai mengikat perut atau menyusahkan diri sendiri dan orang lain. Mereka sedar akan kemampuan diri untuk membayar hutang pada setiap hujung bulan. Golongan ini turut mempunyai kad kredit tetapi bayaran bulanan tidak pernah tidak dilangsaikan justeru mereka memahami tujuan mereka menggunakannya atau dengan kata lain mereka tahu sebab mereka berhutang. Saya tidak mahu menyentuh dengan lebih lanjut kisah golongan yang berhutang positif ini kerana mereka tidak menyusahkan hidup orang lain. Saya ingin berbicara golongan yang berhutang tetapi mempunyai niat yang negatif. Golongan ini kian bertambah dalam masyarakat kita kerana mereka hidup di luar paras kemampuan diri sendiri. Mereka inginkan kemewahan tetapi bukan atas usaha gigih diri sendiri sebaliknya dengan menokok hutang sehingga sanggup menjadi hamba hutang. Apabila hutang bergayutan di kellling pinggang maka tercetuslah pelbagai kisah atau drama kehidupan yang melondehkan maruah diri. Hidup jadi berantakan. Mereka tidak sedar bahawa keseronokan hidup yang dinikmati dalam seminit dua itulah yang bakal menghancurleburkan kesejahteraan dan kebahagiaan yang didamba.

MEWAH DENGAN BERHUTANG

Orang yang berhutang dengan tujuan untuk mempertontonkan kemewahan dan kesenangan kepada orang lain sebenarnya bakal mengundang bala kepada masa depan diri sendiri. Kita selalu melihat orang yang bergaji kecil tetapi datang ke tempat kerja dengan memandu kereta yang berharga ratusan ribu. Bayaran bulannya bukan sedikit! Kita yang melihat pun tertanya-tanya tetapi kita hanya mampu menumpang bangga dengan kemampuannya itu. Tidak cukup dengan itu, pakaian yang membalut badan bukannya pakaian yang dibeli di pasar malam tetapi pakaian berjenama yang berharga ratusan ringgit yang dibeli di butik mewah di kota. Golongan ini suka menunjukkan kemewahan sehingga ada yang sanggup menghina dan mencaci orang lain yang konon-kononnya tidak setaraf dengan mereka. Bagi golongan ini, selagi ada jalan untuk berhutang mereka akan terus berhutang sehingga akhirnya mereka terperangkap sehingga berhutang dengan along atau rakan sekerja disebabkan had untuk berhutang melalui potongan gaji sudah mencapat tahap maksima. Jika membuat majlis perkahwinan mereka sanggup berhutang hingga ribuan ringgit semata-mata untuk menunjukkan bahawa mereka berkemampuan tetapi sebenarnya majlis perkahwinan itu ibarat jurang derita yang akan menerkam mereka sebaik sahaja majlis itu berakhir. Itulah tabiat orang suka berhutang. Mereka tahu kemampuan diri mereka tetapi disebabkan terdesak untuk mendapatkan pujian dan sanjungan mereka lupakan semuanya. Yang pasti, hidup mereka tidak pernah tenang kerana menjadi hamba hutang.

Sama ada mereka sedar atau tidak, hidup orang yang menjadi hamba hutang ini tiada keberkatan. Semua yang mereka lakukan selalu gagal walaupun pekerjaan itu mudah. Mereka sentiasa didatangi masalah. Habis satu, datang satu lagi, dan satu lagi. Mungkin kerana hutang yang tidak dibayar itulah mereka jadi sukar menempuhi perjalanan hidup seharian di bumi Allah ini.

Budaya hidup di luar kemampuan diri ini kian merebak dalam masyarakat kita apatah lagi kemudahan untuk berhutang ini mudah terdapat di mana-mana dan urusannya amat mudah. Golongan yang hidup mewah dengan adanya kemudahan perkhidmatan pinjaman peribadi ini biasanya tidak akan kekal bahagia selamanya kerana suatu ketika mereka akan rasa terhimpit dan tercekik kerana gaji bulanan hanya tinggal cukup-cukup makan. Hal ini demikian kerana orang yang ketagih meminjam ini drama helahnya akan berpanjangan kerana mereka akan gali lubang tutup lubang sehinggalah tidak ada lagi lubang yang boleh digali dan ditutup barulah mereka sedar bahawa mereka sudah terpenjara dalam perangkap orang berhutang. Jika tempoh bayaran hutang-hutang itu mencecah 20 tahun pula, yang kasihan bukan sahaja dia malahan anak isteri pun turut terkena juga. Tabiat suka berhutang ini baik jika nawaitu kita berhutang itu betul. Akan tetapi, jika kita berhutang semata-mata untuk berbelanja mewah, itu salah. Setelah pinjaman diluluskan kita beli barang perhiasan jenama antarabangsa yang harganya ratusan ringgit, kita harus sedar duit yang kita guna itu duit yang kita pinjam, bukannya hasil titik peluh kita bekerja dan menyimpan. Jika selepas pinjaman diluluskan kita ghairah mengadakan jamuan semata-mata untuk menunjukkan kemampuan kita kepada orang lain, sedarlah bahawa selepas habis jamuan itu kita menangis manakala orang lain akan ceria tertawa.

DRAMA HIDUP AKAN BERMULA

Pernahkah anda berhadapan dengan kawan yang suka berhutang? Disebabkan dia tidak bayar duit yang dia hutang kita rasa malu hendak menagih hutang dengan dia? Jika kita meminta dia membayar hutang, dia akan memberikan bermacam-macam alasan atau dia pula akan memarahi kita seolah-olah kita yang memberikan wang untuk menolongnya waktu kesempitan itu pula yang bersalah!. Mengapakah mereka tergamak bersikap sedemikian? Mereka tahu mereka bersalah tetapi mereka malu untuk mengakui kesalahan itu? Mereka sentiasa melarikan diri daripada kita? Janji-janji manis yang ditabur semasa meminjam daripada kita cuma dusta belaka. Semasa hendak meminjam wang daripada kita, kata-katanya semanis madu. Kitalah dewa. Kitalah penyelamat. Kitalah segalanya. Puji-pujian ke atas kita melangit tingginya. Akan tetapi, yang terindah itu hanyalah sementara, seminggu, sebulan, atau setahun kemudian dia boleh bertukar menjadi sebaliknya. Lantaran ketidakmampuan membayar hutang, dia tergamak menyingkirkan kita atau lebih parah dia mereka-reka pelbagai cerita yang bukan-bukan tentang kita. Hatinya penuh dengan kejahatan lantaran ingin lari daripada hutang yang menghantui hidupnya. Dia tidak sedar bahawa Tuhan itu maha kaya. Dia mungkin menang di dunia tetapi dia tidak sedar nikmat hidupnya ditarik sedikit demi sedikit kerana setiap sen duit kita yang dihutang olehnya itu kita bagi dengan ikhlas tetapi dia tidak jujur dalam membalas. Oleh itu, setiap sen duit kita yang mendarahdaging dalam tubuhnya akan menjadi parasit yang akan menolak setiap rezekinya kepada kita.

Jangan mudah memberikan peluang kepada orang untuk berhutang dengan kita walaupun kawan rapat sendiri jika kita tidak mahu masalah seterusnya akan wujud di antara kita dengannya. Jangan lupa, kerana hutang manusia sanggup melakukan pelbagai penganiayaan dan kekejaman ke atas manusia lain yang tidak bersalah.

Orang yang sudah terkurung dalam sangkar suka berhutang ini tidak pernah sunyi daripada masalah hidup. Dia bukan sahaja berhutang dengan kita malah dengan sesiapa yang dikenali olehnya kerana koceknya sentiasa kosong manakala masalah tidak pernah berhenti daripada menjenguk hidupnya. Hal ini demikian kerana dia sanggup berbohong semata-mata untuk mendapatkan seratus dua daripada kawan-kawan. Duit-duit itu pula tidak terbalas olehnya kerana hutang keliling pinggang. Akibatnya, fikiran berserabut sehingga dia sanggup melakukan tindakan yang membelakangkan maruah dirinya. Rahsia hidup orang berhutang ini walau macam manapun ditutup pasti akan terbuka juga kerana pembalasan daripada Allah tidak pernah berhenti selagi mereka tidak jujur atau mengubah jalan hidup yang salah itu. Ramai juga yang diisytiharkan muflis dan dibuang kerja sebab tidak pandai menguruskan kewangan mereka sendiri, malahan ada yang masuk penjara disebabkan menipu, memperdaya, atau menggunakan orang lain untuk menyelesaikan masalah mereka. Untuk orang yang berhutang, kehidupan ini tidak mudah dan manis. Jalan hidup mereka akan terus bercelaru dan haru biru. Di sana hutang di sini hutang. Duduk di kedai makan pun dia tidak akan tenang kerana mindanya asyik teringatkan hutang atau dia duduk dikelilingi oleh pemberi hutang! 

Pembohongan berantai yang dilakukan oleh orang yang suka berhutang ini kadang kala amat melucukan kerana dia sendiri boleh terlupa dengan apa yang terkeluar daripada mulutnya sendiri. Apabila nafsu untuk berhutang ini mengatasi pertimbangan akal, maka cerita-cerita yang diungkapkan daripada bibirnya memang tidak boleh dipercayai. Hutang-hutangnya itu akan melenyapkan sedikit demi sedikit kebahagiaan hidup yang dia kecapi sehingga suatu ketika dia mula bertindak untuk berhutang dengan Along yang mengenakan kadar faedah yang bukan sedikit kepadanya. Hidupnya ibarat jatuh ditimpa tangga. Apabila sudah sampai ke tahap ini, yang menjadi mangsa bukan hanya dia sendiri malahan seluruh ahli keluarganya turut menjadi mangsa. Kisah-kisah sedih golongan ini akibat along tidak perlu saya ceritakan kerana di laman media sosial amat banyak. Mereka tahu jalan itu boleh membunuh tetapi mereka terus juga memilih jalan itu untuk dilalui kerana mereka tiada jalan lain yang boleh diikuti. Mereka bukannya tidak bijak tetapi segala kebijaksanaan itu telah lenyap dari minda bestari lantaran sudah menjadi hamba hutang. Mereka jadi tidak keruan kerana sentiasa melihat masa hadapan yang kelam dan hitam sebab telah dikelambui hutang-hutang mereka.

HUTANG MESTI BAYAR

Jika kita berhutang, kita harus sedar siapakah diri kita? Kenali kemampuan kita. Kita harus berjimat cermat dalam berbelanja. Yang paling penting, kita tidak boleh lari daripada membayar hutang kerana sekali tertunggak maka bajet bulanan kita akan lari sebab hutang itu akan berganda. Jika niat kita berhutang itu tidak membawa kepada kemaslahatan hidup kita pada masa depan, moleklah dihentikan niat itu kerana hutang ini sebenarnya membuka jalan untuk kita melakukan pelbagai dosa setelah terdesak dan terhimpit nanti. Rezeki orang berhutang ini sebenarnya tidak akan kekal kerana tanpa mereka sedari rezeki mereka diambil dengan pelbagai cara oleh Yang Maha Berkuasa. Orang berhutang ini boleh menghabiskan RM1000 dalam masa sejam atau kurang daripada itu kerana dia sentiasa dihasut untuk berbelanja dan terus berbelanja selagi wang masih memenuhi kantung dompetnya. Dia mungkin tidak sedar kena duniawi telah mengaburi matanya tetapi Allah sentiasa memerhati dan menghukum setiap perlakuan silapnya itu. Jika dia sentiasa ingat akan hutangnya dan membayar hutangnya secara tersusun dan sistematik, insyallah Allah akan memudahkan urusannya dan menggandakan lagi rezekinya. Seandainya dia memilih laluan ingkar, percayalah jalan itu tidak mudah untuk dia lalui. Dia mungkin berjaya melarikan diri daripada kita (tempat dia berhutang) tetapi dia tidak boleh melarikan diri daripada takdir yang akan menghukum dirinya.

Semakin banyak nilai hutang yang tidak dilangsaikan maka semakin banyaklah masalah akan muncul dalam kehidupannya. Semakin jauh dia lari daripada hutangnya itu, maka semakin sukarlah perjalanan hidupnya di kemudian hari. Hutang-hutannya itu tidak akan melepaskannya untuk mengecapi nikmat hidup di dunia tanpa masalah. Dia mungkin tertawa dan bekerja seperti biasa tetapi jiwanya akan berkecamuk dengan pelbagai masalah yang menerpa. Itulah azab hidup orang yang menjadi hamba hutang. Oleh itu, jika kita berhutang walaupun dengan keluarga sendiri, kita perlu berusaha membayarnya sehingga habis. Walaupun nilai hutang kita itu hanyalah RM1.00 sahaja, jika kita tidak membayarnya mungkin secara tidak sedar rezeki kita akan berkurang RM100.00 sebagai balasannya. Hutang tetap hutang. Orang yang berhutang harus faham konsep hutang dan pemberian ikhlas. Mereka harus faham konsep halal dan haram setiap rezeki yang diraih saban hari. Kegagalan kita memahami diri sendiri dan makna hutang mungkin akan menjadikan hidup kita selalu berliku dan bercelaru selepas itu nanti. Orang mungkin tidak menagih hutang daripada kita kerana rasa hormat dan simpati tetapi kita tidak boleh mengambil kesempatan di atas kebaikan orang lain semata-mata untuk melarikan diri daripada hutang.

PILIH KAWAN ATAU HUTANG

Orang yang suka berhutang ini akan kehilangan ramai kawan-kawan yang amat menghormati dan menyayanginya, Mereka menyisihkan dirinya kerana dia telah mengkhianti ikatan silaturrahim yang terbina antara mereka. Yang akan kekal bersamanya hanyalah rakan-rakan yang hanya bersama ketika gembira tetapi angkat kaki apabila dia berduka. Bagi orang yang sebegini, niat dia berkawan dengan semua orang bukannya iklhas tetapi hanya untuk mengambil kesempatan iaitu meminta hutang. Dia berkawan dengan kita hanyalah sementara. Selepas mendapat hutang (tujuannya hanya untuk berhutang) dia akan pelahan-lahan bersembunyi atau menyisihkan diri daripada kita. Dia tidak sedar perbuatannya itu salah kerana syaitan dan iblis telah beraja di hatinya. Orang seperti ini tidak tahu makna pengorbanan dan keihlasan orang yang membantunya kerana niatnya hanya untuk melunaskan keinginan hati untuk berhutang. Mereka tidak mementingkan persahabatan dan persaudaraan kerana terlalu terdesak untuk mengecapi nikmat hidup yang tidak berpanjangan. Mereka ibarat embun, hanya membasah rumput di pagi hari tetapi lenyap dan kering menjelang tengah hari. Jika ditanya, mereka pilih kawan atau hutang? Orang berhutang ini akan pilih hutang kerana tanpa hutang hidupnya akan kontang dan gersang. Kawan bagi mereka ini tidak penting.

Saya menulis artikel ini bukan atas pengalaman diri sendiri tetapi bersumberkan pengalaman yang diperoleh daripada pembacaan di laman-laman sosial tentang keluhan dan luahan hati orang yang selalu menjadi tempat orang berhutang ini berhutang. Saya bersimpati apabila terbaca, pada zaman ini bukan orang yang berhutang itu malu tetapi orang yang menjadi tempat dia berhutang malu menagih hutangnya sendiri. Jika orang yang memberikan hutang itu kaya dan banyak duit, mungkin tidak mengapalah jika hutang itu tidak dibayar. Dia mungkin halalkan atau tidak kisahpun sebab dia memang membantu kita dengan ikhlas. Akan tetapi, sekiranya kita berhutang dengan kawan-kawan yang hidupnya sederhana atau kurang berkemampuan maka kita perlulah membayar wangnya dengan kadar segera. Dia membantu kita dengan ikhlas walaupun dia tahu dirinya tidak mampu. Oleh itu, jika kita manusia yang punya akal yang waras, kita harus membayar hutangnya itu. Jika orang sanggup berkorban untuk kita maka kita janganlah malu-malu atau pura-pura tak tahu untuk berkorban bagi membalas jasanya itu. Kita harus ingat, hutang tetap hutang. Jika orang yang memberi hutang tidak menghalalkan hutang yang tidak dibayar itu, di akhirat nanti kita akan tanggung azabnya sendirian. Jika tidak mampu membayar hutang, jangan berhutang! Hidup ikut kemampuan sendiri. Hutang tiada. Masalah lari. Hidup ceria selamanya. Lebih baik tidur di pondok buruk berbantalkan lengan atau bertilamkan papan daripada tidur di katil empuk tetapi tidur berbantalkan hutang, bertilamkan hutang, dan berselimutkan hutang. Semuanya hutang dan hutang belaka! Amboiiiii ….

Cetusan Pendidik Bestari
Cikgu Zulkarnain

Sibu Sarawak.

Tiada ulasan: