JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



15 Februari 2016

UNIVERSITI - INDUSTRI MEMPERKASA IPT

PROF. IR. DR. KAMAL NASHARUDDIN MUSTAPHA
Naib Canselor Universiti Tenaga Nasional (Uniten).
Utusan Malaysia Online, 13 Februari 2016


Pada 11 November 2015, satu sidang dialog bersama Datuk Seri Abdul Wahid Omar berhubung Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) telah diadakan. Fokus utamanya untuk meningkatkan kolaborasi di antara pihak universiti dan industri ke arah melahirkan graduan yang memenuhi keperluan industri serta menyelesaikan masalah graduan tidak mendapat pekerjaan. Universiti memainkan peranan signifikan sebagai tapak percambah­an ilmu menerusi pengajaran dan penyelidikan yang berasaskan keper­luan semasa dalam konteks pembangunan bangsa dan pembinaan negara. Fungsi utama institusi penga­jian tinggi (IPT) adalah menyediakan mo­dal insan yang kompeten bagi keperluan pelbagai sektor pekerjaan.

Seiring dengan pembangunan negara menuju Wawasan 2020, universiti perlu lebih agresif memastikan aspirasi murni ini tercapai. Bagaimana? Adakah cukup dengan melipatgandakan pengajaran dan penyelidikan semata-mata? Jawapan kepada persoalan ini amat berkait rapat de­ngan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) 2015-2025, yang akan mengubah landskap pengajian tinggi di Malaysia. Pelan ini te­lah mencetuskan gelombang transformasi yang turut melibatkan industri dalam memperkasakan kewibawaan universiti di negara ini. Isu jaringan universiti-industri yang hangat diperkatakan ke­be­la­kang­an ini adalah bertunjangkan kon­sep hubungan simbiotik di an­ta­ra kedua-dua entiti. Hubungan ini diperkukuh­kan menerusi kelahiran graduan serba lengkap serta mampu memacu inovasi produk dan perkhid­matan yang disediakan oleh industri. Menyedari hakikat ini, kerajaan sentiasa mengiktiraf kepenting­an universiti sebagai elemen strategik dalam pembangunan ekonomi.

Justeru, universiti tempatan perlu lebih proaktif mewujudkan kerjasama strategik bersama industri pada pe­ringkat kebangsaan, serantau dan antarabangsa. Tidak dapat disangkal lagi bahawa kolaborasi universiti-industri merangkumi konteks yang lebih luas bukan sahaja aktiviti pengkomersialan produk malah melibatkan aspek pembangunan kurikulum, kerjasama pintar, penempatan bersilang (cross-fertilization) dan sidang dialog universiti-industri. Pihak universiti boleh memperkukuhkan kerjasama dua hala menerusi pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) dan memo­randum perjanjian (MoA) dengan pelbagai pihak untuk membentuk satu jaringan strategik yang bukan sahaja membentuk satu kerjasama formal universiti-industri malah membuka laluan kepada ba­nyak kebaikan bagi kedua-dua pihak.

Universiti sebagai pusat kecemerlangan akademik amat bergantung kepada kerjasama strategik yang terjalin dengan industri dalam pembentukan kurikulum pengajaran dan pembelajaran yang relevan kepada keperluan industri. Ini akan me­ningkatkan kebolehpasaran graduan tempatan.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh pernah menyuarakan bahawa kolaborasi sebegini bukan sahaja akan memperkukuhkan program akademik yang ditawarkan malah memastikan mahasiswa tidak berdepan masalah mendapatkan pekerjaan sebaik sahaja menamatkan pengajian. Dalam penggubalan kurikulum mahupun semakan semula kurikulum program akademik yang ditawarkan, maklum balas pihak industri amat dititikberatkan.

Pihak universiti melantik Panel Penasihat Industri bagi menilai sejauh mana program yang ditawarkan memenuhi keperluan industri. Di Uniten misalnya, jemaah panel ini merangkumi nama-nama yang dise­gani dalam agensi kerajaan dan korporat di Malaysia. Dalam sidang penasihat yang diadakan dua kali setahun, ahli-ahli panel akan memberi input seperti penambahan elemen ilmu semasa yang perlu diterapkan kepada silibus kursus yang ditawarkan bagi sesuatu program akademik agar ilmu dan mentaliti bakal gradu­an yang dihasilkan dapat menepati citarasa bakal majikan.

Pelantikan Profesor Adjung dalam kalangan tokoh tersohor bidang pentadbiran awam dan korporat turut meluaskan perspektif mahasiswa dan warga kerja akademik terhadap keperluan semasa dunia luar menerusi sidang dialog, forum dan syarahan perdana. Usaha sebegini akan meningkatkan kredibiliti program akademik yang ditawarkan kerana pandangan pemegang taruh (stakeholders) sentiasa diberi perhatian utama oleh pihak universiti. Dari sudut penyelidikan pula, kerjasama strategik universiti-industri bertitik tolak daripada perubahan ekonomi global yang memerlukan syarikat-syarikat korporat bergerak seiring dengan penemuan terbaru dalam setiap jurusan ilmu. Hakikatnya, peningkatan ilmu dan pembangunan teknologi bergantung kepada kelengkapan infrastruktur dan kepakaran penyelidikan yang terdapat di universiti.

Kerjasama dalam bidang penyelidikan boleh dilihat dari dua perspektif utama. Pertama, pihak industri memerlukan platform untuk penyelidikan bersama bagi menghasilkan sesuatu produk berteknologi tinggi. Jika diperhalusi perkara ini, kita juga boleh menyimpulkan bahawa penglibatan industri akan menjana pendapatan universiti menerusi ganjaran yang diperoleh daripada pemindah­an hak milik paten hasil pengko­mersialan produk penyelidikan. Ini sudah pasti akan mengurangkan kebergantungan pihak universiti terhadap pemegang taruh dalam membiayai operasi dan penyelenggaraan makmal-makmal penyelidikan. Sebagai contoh, Uniten dengan kerjasama TNB Research Sdn. Bhd. telah menjalankan kajian untuk mempertingkatkan keupayaan opera­si TNB dari segi pengurangan impak stesen janakuasa terhadap alam sekitar, kualiti tenaga yang dihasilkan serta kaedah peningkatan produktiviti stesen janakuasa.

Kedua, pihak industri kadangkala mempunyai makmal termaju yang tersendiri tetapi tidak mempunyai kepakaran dalaman. Justeru, industri bergantung kepada kepakaran penyelidik di universiti bagi inovasi produk mereka manakala pihak universiti pula meraih reputasi tinggi menerusi peningkatan jumlah dana penyelidikan. Ini bertepatan dengan model kerjasama strategik di antara universiti, industri dan agensi-agensi kerajaan iaitu Public-Private Research Network (PPRN) yang dilancarkan kerajaan pada awal 2015. Tenaga pakar di universiti boleh menawarkan jalan penyelesaian atau kaedah penambahbaikan industri berdasarkan pendekatan yang sesuai dengan konteks perniagaan semasa. Secara tidak langsung, pihak industri mengurangkan kebergantung­an terhadap pakar runding asing dan sekali gus menjimatkan kos bagi khidmat runding tersebut. Kolaborasi universiti-industri juga membolehkan mobiliti kerjaya di antara kedua-dua pihak. Para pelajar boleh ditempatkan di syarikat-syarikat yang telah dikenal pasti bagi latihan industri mengikut bidang yang dikehendaki. Sebagai contoh, TNB menawarkan tempat bagi latihan industri untuk para pelajar Uniten menerusi program Better Brighter.


Begitu juga dengan warga kerja akademik dan industri boleh menjalani penempatan bersilang bagi mendalami kepakaran, mempertingkatkan keberhasilan dan mencontohi budaya prestasi tinggi. Kolaborasi universiti-industri ada­­lah elemen yang tidak boleh dipisahkan daripada dunia pengajian tinggi di Malaysia. Kerjasama strategik ini bukan sahaja memanfaatkan kedua-dua pihak bahkan masyarakat amnya menerusi inovasi produk serta teknologi. Menyedari perubahan pantas dalam industri di era globalisasi ini, program akademik yang ditawarkan oleh universiti haruslah relevan dengan keperluan semasa dan perubahan dalam sesuatu lapangan industri. Hanya menerusi jalinan kerjasama yang utuh di antara universiti dan industri akan memastikan keles­tarian kedua-dua pihak di zaman yang serba kompetitif ini.


BM STPM PENGGAL 2: MORFOLOGI, KATA KERJA