11 Februari 2016

PESANAN CIKGU ZUL: CALON STPM, MENGULANGLAH SELAGI ADA PELUANG


Tanggal 1 Januari 2016, usia STPM baharu telah menjangkau 4 tahun. Alhamdulillah, penerimaan pelajar-pelajar dan guru-guru serta ibu bapa semakin baik. Semakin hari semakin ramai yang memahami dan mulai melihat peluang terindah apabila mengambil keputusan meneruskan pengajian di Tingkatan Enam atau Prauniversiti. Sesungguhnya, STPM Baharu membawa banyak kemaslahatan kepada para pelajar. Mereka bukan sahaja menduduki Peperiksaan STPM Penggal 1, 2, dan 3 secara percuma malahan tidak perlu membayar yuran yang mencecah angka ribuan ringgit seperti mana yang dihadapi oleh kawan-kawan yang meneruskan pengajian di kolej-kolej. Walau bagaimanapun, saya masih melihat tahap kesedaran pelajar untuk mengulang bagi membaiki keputusan masih rendah. 

KENAPA PERLU MENGULANG?

Semua pelajar yang menduduki peperiksaan STPM diberi peluang untuk memperbaiki keputusan. Sebagai contohnya, jika seseorang pelajar mendapat Gred C- atau F dalam mata pelajaran Bahasa Melayu Kertas 1 yang diduduki semasa Penggal 1, mereka boleh mengulang subjek tersebut untuk memperbaiki keputusan. Jika kertas yang diulang mendapat Gred A, B+, B, atau B-, maka pelajar tersebut telah berjaya! Secara tidak langsung, CGPA pelajar meningkat dan peluang untuk bersaing bagi mendapat tempat di universiti semakin cerah. 

BAYARAN SANGAT MAHAL?

Saya melihat pelajar-pelajar Tingkatan Enam sangat berkira jika diminta untuk mengulang. Alasan mereka bayaran berjumlah RM50.00 bagi satu mata pelajaran yang diulang amatlah mahal. Benarkah begitu? Tepuk dada tanya selera. Berdasarkan pengalaman dan pemerhatian, pelajar-pelajar sekarang lebih risau jika tidak cukup duit untuk menambah kredit telefon bimbit dan membeli kouta Internet. Mereka menghabiskan sekurang-kurangnya RM50.00 hingga RM200.00 sebulan untuk tujuan ini. Akan tetapi, apabila diminta membayar RM50.00 hingga RM200.00 untuk mengulang subjek yang keputusannya tidak begitu baik dalam Peperiksaan STPM mereka tidak mahu. 

CUKUPLAH CIKGU, MENGULANG NANTI GAGAL, RUGI! SAYANG DUIT

Konsep sayang duit antara mengulang subjek yang gagal dalam peperiksaan dan membeli telefon bimbit yang memiliki kemudahan 3G dan 4G, ternyata salah. Pelajar sanggup berlapar dan bekerja di luar waktu persekolahan sehingga tidak cukup tidur dan tidak menyiapkan tugasan yang diberikan oleh guru semata-mata untuk mengumpul duit bagi membeli telefon pintar idaman hati mereka. Perkara ini amatlah mengecewakan. Untuk mengulang, pelajar cuma perlu menyediakan wang antara RM50.00 hingga RM200.00 sahaja. Jumlah sebanyak itu amatlah sedikit jika dibandingkan dengan harga sebuah telefon pintar yang mencecah RM500.00 ke atas, pelajar mampu menyediakan wang sebanyak itu! Peribahasa Melayu yang berbunyi, hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih amatlah sesuai untuk golongan pelajar sebegini. 

GURU RISAU, PELAJAR TIDAK PEDULI

Ramai guru Prauniversiti mengeluh dengan kerenah pelajar yang mengulang. Cikgu sanggup korbankan masa bersama dengan keluarga demi mengadakan kelas tambahan untuk membimbing pelajar yang mengulang. Malangnya, jika ada 10 orang pelajar yang mengulang, hanya 2 orang sahaja yang hadir. Yang lain, tidak hadir. Hancur dan punah harapan guru. Apabila ditanya, pelbagai alasan diberikan oleh mereka. Kesungguhan dan pengorbanan Sang Guru langsung tidak dihargai, malah hanya di pandang sebelah mata sahaja. Bagi yang taat dan berkeinginan untuk berjaya, peluang ini digunakan sebaik-baiknya. Alhamdulillah, mereka berjaya. Mereka mendapat CGPA yang tinggi semasa keputusan keseluruhan diumumkan. Mereka berjaya mengikut kursus idaman mereka di universiti-universiti tempatan. 

MENGULANG SELAGI ADA PELUANG

Persaingan dalam dunia pekerjaan sekarang amat sengit. Pencapaian dalam bidang akademik masih lagi diambil kira oleh majikan walaupun faktor-faktor lain seperti pengalaman dan kebolehan berkomunikasi semakin dititikberatkan. Peringkat STPM merupakan peringkat persekolahan yang terakhir sebelum menjalani hidup sebagai siswa dan siswi di universiti. Semua orang berpeluang mendapat 4A. Peluang itu terbuka luas. Salah satu cara untuk meraih 4A dalam STPM adalah dengan mengulang. Kejayaan ini akan dikenang selama-lamanya sehingga ke anak cucu kita. Bukan semua orang mampu mendapat 4A dalam STPM. 

JANGAN CEPAT BERPUAS HATI

Pelajar-pelajar harus mengikis budaya "Sekadar Cukup Makan" kerana budaya ini tidak membawa apa-apa makna terhadap hidup kita. Kita harus berusaha untuk melakukan yang terbaik dan ada niat yang tinggi untuk mengatasi orang lain dengan usaha dan kemampuan diri kita sendiri. Sesungguhnya, hidup ini tidak terlalu mudah. Sekiranya mahu senang, kita kenalah berusaha. Korbankan sedikit keseronokan untuk mendapat nikmat hidup yang indah bagi tahun-tahun mendatang. 







Catat Ulasan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts with Thumbnails