09 Februari 2016

NYAMUK AEDES MEMBIAK CEPAT SEMASA CUACA PANAS

Oleh: Mohd Zin Ali, 4 Februari 2016, Berita Harian Online


Cuaca panas, kering dan suhu tinggi akibat fenomena El Nino yang melanda negara sehingga Mac ini dikatakan menyumbang kepada peningkatan kes demam denggi sehingga sebanyak 50 peratus. Kitaran hidup nyamuk aedes daripada telur ke peringkat nyamuk dewasa menjadi semakin singkat, iaitu kurang daripada tujuh hari menyebabkan populasi nyamuk meningkat. Cuaca panas turut menjadikan nyamuk lebih aktif dan meningkatkan frekuensinya untuk menggigit mangsa selain penyebaran virus denggi menjadi lebih luas. Kemarau akibat El Nino pula memaksa masyarakat menakung air bagi menampung bekalan air harian, sekali gus meningkatkan tempat pembiakan nyamuk aedes.

Salah faham punca kes meningkat Berikutan peningkatan kes demam denggi akhir-akhir ini, kerajaan dan masyarakat saling menyalahkan antara satu sama lain sebagai punca kes demam denggi meningkat di negara ini. Masyarakat dikatakan gagal menjaga kebersihan, enggan bergotong-royong memusnahkan tempat pembiakan nyamuk dan gagal memberi kerjasama ketika aktiviti semburan kabus, manakala kerajaan didakwa gagal melakukan semburan lebih kerap untuk mengawal nyamuk aedes. Bagaimanapun, salah faham itu sebenarnya berpunca daripada kurangnya pengetahuan masyarakat mengenai cara menangani nyamuk aedes.

Pensyarah Entemologi Perubatan di Fakulti Sains Kesihatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Hidayatulfathi Othman, berkata pengetahuan mengenai nyamuk aedes adalah sangat penting untuk orang ramai mencegah demam denggi. Beliau yang mempunyai kepakaran dalam bidang nyamuk aedes dan mobilisasi masyarakat terhadap denggi berkata, kajian mendapati hanya 50 peratus masyarakat mengetahui mengenai nyamuk aedes berbanding 75 peratus masyarakat tahu mengenai demam denggi. "Kita sedar mencegah adalah lebih baik daripada berubat. Oleh itu, untuk mencegah demam denggi, kita sepatutnya mengenali dengan lebih baik nyamuk aedes ini," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Dr Hidayatulfathi berkata, nyamuk aedes terdiri daripada dua jenis, iaitu aedes aegypti dan aedes albopictus yang sama kuat membawa virus denggi dengan kedua-duanya menggigit pada siang hari. Aedes aegypti sangat domestik kerana tinggal dalam rumah bersama manusia, membiak di bawah bumbung, anjung atau tempat letak kereta serta hinggap di celah langsir dan gantungan baju, manakala aedes albopictus tinggal di luar rumah dengan membiak di lubang pokok atau bekas sampah yang tidak diurus baik. Nyamuk aedes perlu menghisap darah untuk mendapatkan protein dan zat besi bagi menghasilkan telur dengan seekor nyamuk aedes aegypti boleh bertelur antara 80 dan 200 biji, manakala aedes albopictus boleh bertelur antara 40 dan 80 biji.

Kitar hidup nyamuk aedes dalam air adalah antara tujuh hingga lapan hari, manakala jangka hayat nyamuk dewasa ialah antara tiga dan empat minggu dengan seekor nyamuk mampu bertelur sebanyak lima atau enam kali. Sebenarnya, sukar untuk mengelak daripada digigit nyamuk aedes kerana ia menggigit pada siang hari berbanding nyamuk lain yang aktif pada waktu malam dengan orang ramai boleh berlindung hanya menggunakan kelambu. Dr Hidayatulfathi berkata, waktu aktif nyamuk aedes ialah antara jam 6.30 pagi hingga 8.30 pagi serta antara jam 5.30 petang dan 8.30 malam, tetapi ia juga boleh aktif menggigit pada waktu lain sekiranya cuaca persekitaran menyamai waktu aktifnya iaitu suhu kurang daripada 28 darjah Celsius. Boleh bertelur dalam bekas sebesar syiling 20 sen Beliau berkata, nyamuk aedes boleh bertelur dalam bekas sebesar syiling 20 sen yang mengandungi air bersih dengan telur akan melekat pada dinding bekas di sekeliling gigi air.

Untuk membersihkan bekas pembiakan nyamuk, kita tidak boleh hanya membuang airnya sahaja, tetapi perlu memberus dinding bekas untuk membuang telur atau menyiram dengan air panas yang suhunya lebih 80 darjah Celsius untuk membunuh telur. Tanpa memberus atau membunuhnya dengan air panas, telur yang kelihatan seperti bintik tahi lalat itu boleh hidup dalam keadaan kering selama enam hingga sembilan bulan dan boleh menetas menjadi jejentik hanya dalam masa setengah hingga satu jam apabila terkena air.


Selain itu, Dr Hidayatulfathi berkata, nyamuk aedes mempunyai kelebihan unik, iaitu boleh melakukan jangkitan secara transovarial selama lima keturunan. Ia adalah keadaan di mana nyamuk dewasa akan menyimpan virus denggi dalam ovari selepas menggigit pesakit denggi dengan setiap kali telur yang dihasilkan akan mempunyai virus di dalamnya. Apabila telur menetas, jejentik yang dihasilkan akan sedia ada dengan virus berkenaan dan apabila menjadi nyamuk dewasa, ia boleh menularkan virus kepada orang lain yang sihat tanpa perlu hisap darah orang berpenyakit dengan virus ini boleh bertahan sehingga lima keturunan.


Catat Ulasan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts with Thumbnails