JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



09 Februari 2016

KES BUNUH DIRI DI MALAYSIA, LELAKI LEBIH BANYAK DARIPADA WANITA

Sumber : Sinar Harian, 22 Disember 2015


Seramai 65 peratus daripada jumlah kes kejadian bunuh diri atau cubaan bunuh diri di kalangan penduduk tempatan atau warganegara asing di negara ini melibatkan golongan lelaki.   Timbalan Menteri Dalam Negeri, Masir Anak Kujat berkata sehingga Oktober 2015, sebanyak 130 kes direkodkan di mana 84 kes membabitkan lelaki dan 46 adalah wanita. Jumlah ini merangkumi 34 orang dari bangsa Melayu, 42 kaum India, 47 dari kaum Cina dan selebihnya (tujuh) terdiri daripada pelbagai kaum dan etnik. Beliau menjawab soalan Senator S. Bagiam Ayem Perumal yang ingin tahu sama ada kementerian mempunyai pangkalan data cubaan bunuh diri mengikut kaum, jantina dan umur serta apakah tindakan susulan dalam membantu mereka ini agar tidak mengulangi perbuatan cuba bunuh diri seterusnya kembali ke jalan yang benar.   

Menurut beliau lagi, sebanyak 178 kes kejadian bunuh diri atau cubaan untuk membunuh diri dicatatkan pada 2013 manakala 191 kes pada 2014.   Jelasnya, kejadian bunuh diri yang berlaku di negara ini disebabkan oleh pelbagai faktor seperti masalah kewangan, tekanan jiwa, kecewa dalam percintaan dan masalah keluarga. Bagi mengatasi kes bunuh diri, Masir berkata pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam sesi perjumpaan, ceramah dan dialog telah memberikan langkah-langkah kesedaran seperti bimbingan kaunseling dan perkhidmatan psikoterapi bagi individu yang memerlukannya. PDRM juga telah meminta ahli keluarga yang rapat untuk sentiasa memperhatikan tingkah laku ahli keluarga mereka bagi mengelakkan daripada sebarang perkara yang tidak diingini.   


Pihak keluarga dinasihatkan jika terdapat perubahan atas tingkah laku seperti diam diri dan gelisah untuk segera mendapatkan khidmat kaunseling dan psikoterapi yang bertauliah di hospital ataupun di sekolah.  Jelasnya, dalam sesi perjumpaan sedemikian, pihak kaunselor akan memberikan nasihat bagi membantu individu tersebut dalam menyelesaikan masalah dan memberikan ruang untuk meluahkankan isi hati mereka. Dalam pada itu, beliau menekankan ibu bapa memberi pendidikan agama dan moral kepada anak-anak mereka sejak kecil lagi kerana pengajaran agama dipandang sebagai usul penting bagi menanam ciri-ciri kemanusiaan yang mulia. Pendidikan agama dan moral yang diterap oleh ibu bapa akan menjadi benteng utama menghalang seseorang dalam mengambil tindakan yang boleh memudaratkan diri sendiri dan mampu mengawal hawa nafsu mereka di samping dapat mengatasi masalah jiwa yang kosong.

Bunuh diri bukan jalan terbaik 
untuk lari dari masalah. 

Tiada ulasan: