JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



10 Mac 2015

BAHASA MELAYU PENGGAL 2 : KATA KERJA




Soalan 1

(a)  Apakah perbezaan antara kata kerja perbuatan dengan kata kerja keadaan? [2]

Jawapan
Kata kerja perbuatan dicirikan oleh adanya gerak atau perbuatan, manakala kata kerja keadaan dicirikan sebagai kata kerja yang tidak menampakkan adanya gerak laku secara jelas. 

(b)  Berikan 2 contoh kata kerja perbuatan.[2]

Jawapan:
      (i)    membaca 
      (ii)   berbual-bual

(c)  Buat 2 ayat menggunakan kata kerja keadaan. [2]

Jawapan:

      (i)   sakit - Emak saya sakit tenat.

      (ii)  hilang - Pen dia  hilang.



Soalan 2

(a)  Senaraikan 3 ciri kata kerja. [3]

Jawapan:

       (i) didahului oleh kata bantu

       (ii) didahului oleh kata nafi tidak

       (iii)  dapat dijadikan ayat perintah dalam ayat minimal.


(b)  Berikan 1 contoh bagi setiap ciri yang disenaraikan pada (a).

Jawapan:

       (i) didahului oleh kata bantu --- sudah minum

       (ii) didahului oleh kata nafi tidak --- tidak minum

       (iii)  dapat dijadikan ayat perintah dalam ayat minimal. --- Minum!


Soalan 3

Berikan 2 perbezaan antara penerang dan pelengkap [2]

Jawapan:


Penerang merupakan kata nama yang mengikuti kata kerja aktif tak transitif dalam ayat, manakala pelengkap merupakan unsur yang perlu digunakan selepas kata kerja tak transitif, jika tiada pelengkap sesuatu ayat itu boleh diangga ayat t



Soalan 4

Bina ayat berdasarkan perkara di bawah:

(a)  Kata kerja tak transitif berpelengkap kata nama atau frasa nama

Jawapan:
Mereka berjabat tangan.

(b)  Kata kerja tak transitif berpelengkap kata adjektif atau frasa adjektif

Jawapan:
Dia bertubuh sasa

(c)  Kata kerja tak transitif berpelengkap kata sendi nama

Jawapan
Dia tinggal di Kota Baharu.





PAKAIAN KASUAL SMART MAMPU LONJAK IMEJ TINGKATAN ENAM


Penjenamaan semula Tingkatan Enam menjadi lebih menjadi lebih bermakna melalui pengumuman rasmi daripada Kementerian Pendidikan yang mengesahkan bahawa pelajar yang akan menyambung pengajian ke Tingkatan Enam dibenarkan memakai pakaian tradisonal atau pakaian lain, sebagai sebahagian daripada kod pakaian baharu bermula musim persekolahan 2015. Mereka juga akan dibenarkan untuk memakai baju batik ke sekolah. Ini sejajar dengan langkah kementerian untuk "menjenamakan semula" Tingkatan Enam. Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Seri Dr Khair Mohamad Yusof berkata, sekolah tidak lagi boleh mengarahkan pelajar Tingkatan Enam supaya memakai pakaian mengikut standard.

Pelajar lelaki juga akan dibenarkan memakai baju dan seluar berwarna cerah dan seluar ke sekolah tetapi tidak boleh mempunyai corak bunga atau rekaan lain. Walaupun mereka bebas untuk memilih warna baju mereka, tetapi ia perlu pastikan tidak mempunyai corak. Namun begitu,  baju yang bercorak belang atau berpetak dibenarkan. Walaupun tidak dinyatakan di dalam arahan itu, pelajar masih lagi boleh memakai uniform. Panjang seluar yang dipakai juga perlu melebihi buku lali dan tidak ketat. Pelajar juga dibenarkan memakai tali pinggang tetapi saiz 'buckles' tidak boleh melebihi 5 sentimeter. Dr Khair berkata, walaupun kelonggaran di bawah peraturan baru, pelajar dilarang daripada memakai mana-mana pakaian yang diperbuat daripada bahan denim.


Selain baju kurung, pelajar perempuan juga akan dibenarkan memakai seluar panjang. Mereka juga akan dibenarkan memakai blaus berlengan, gaun labuh, skirt yang melebihi paras lutut, manakala seluar jeans, seluar kargo, seluar pendek dan celana ketat tidak dibenarkan. Pelajar-pelajar tidak dibenarkan memakai kemeja-T apabila mereka datang ke kelas. Syarat tambahan lain ialah pelajar perempuan tidak dibenarkan memakai pakaian ketat. Pelajar lelaki dikehendaki memakai kasut dan stoking manakala perempuan hanya boleh memakai kasut yang menutupi kaki mereka. Selipar, terompah atau sandal tidak dibenarkan. Bagi aktiviti luar, pelajar digalakkan memakai seluar panjang atau seluar trek dan kemeja-T lengan panjang atau pendek. Kemeja-T yang dipakai tidak boleh mempunyai imej politik, ganas, kesat atau apa-apa yang dianggap negatif.

Selama ini, satu perkara yang mengekang kemasukan pelajar yang ramai ke pengajian tingkatan enam ialah isu pemakaian pakaian sekolah oleh pelajar tingkatan enam. Isu inilah sebenarnya yang menghalang ramai pelajar untuk tidak meneruskan pengajian ke tingkatan enam. Walaupun kurikulumnya mesra pelajar, sistem peperiksaan dirombak, kos pengajiannya murah, yurannya ditanggung oleh kerajaan, dan sebagainya soal berpakaian seragam sekolah kepada pelajar yang sudah memasuki usia 18 hingga 20 tahun dilihat sudah tidak relevan dengan perkembangan semasa. Remaja dalam usia sedemikian dari segi psikologinya merasa malu untuk memakai pakaian sekolah sama seperti adik-adiknya yang berusia 17 tahun ke bawah. Zaman ini bukan lagi seperti zaman dahulu. Dalam usia 18 hingga 20 tahun mereka merasa malu untuk dilihat seperti murid berusia 17 tahun ke bawah.


Rata-rata rakan seusianya yang belajar di tempat lain, seperti di kolej matrikulasi, politeknik dan universiti sudah tidak memakai pakaian seragam. Hal ini boleh menimbulkan rasa rendah diri di kalangan mereka. Jika pihak KPM berjaya mengubah dasar ini, diyakini ramai ibu bapa akan menyokongnya kerana mereka sedar pengajian tingkatan enam ialah pengajian yang paling murah sebenarnya berbanding dengan pengajian lain. Oleh yang demikian, pihak kerajaan khususnya Kementerian Pelajaran Malaysia sama ada melalui Bahagian Pengurusan Sekolah Harian atau Bahagian Kokurikulum (jika bahagian ini bertanggungjawab dalam menetapkan dasar pakaian sekolah) harus memahami aspek psikologi pelajar jika ingin melihat lebih ramai pelajar mengikuti pengajian di tingkatan enam.

Sejak Januari 2015, sambutan pelajar dan guru amatlah menggalakkan. Pemakaian pakaian kasual smart ke sekolah menjadikan pelajar nampak lebih yakin, bergaya, dan bermotivasi untuk meneruskan pengajian mereka. Mereka nampak matang dan rasa dihargai oleh warga sekolah sebagai pelajar tingkatan enam. Secara tidak langsung, pencapaian akademik mereka juga meningkat dari semasa ke semasa. Tingkatan enam bukan lagi aliran yang harus dipandang sebelah mata bagi pelajar-pelajar lepasan SPM. Laluan ini merupakan laluan terbaik untuk menjejakkan kaki ke menara gading dengan langkah yang bergaya dan bermakna. Jangan perjudikan masa hadapan dengan memasuki institusi yang akhirnya anda menjadi “penganggur terhormat”. Percayalah, dengan sijil STPM anda mampu memperoleh pekerjaan yang lebih baik dan masa depan lebih terjamin!

Cetusan minda seorang guru
Cikgu Zulkarnain Farihin
SMK Sacred Heart

Sibu, Sarawak