02 April 2015

ROTAN SEBAGAI ALAT PENCEGAHAN

OLEH SITI AIRUNNISA ALAUI
Utusan Malaysia Online, 2 April 2015

Satu masa dahulu, jika gagal menyiapkan kerja sekolah, pasti tapak tangan merah dirotan guru, di rumah pula, jika culas bersolat, punggung atau betis pasti disinggah sebatan sama ada menggunakan rotan, penyangkut baju, tali pinggang dan dawai sebagai satu cara guru dan ibu bapa memberi pengajaran atas kesalahan yang dilakukan. Namun begitu, pada era ini, soal hak asasi manusia pula hebat diperdebatkan bukan sahaja di negara yang sangat mengutamakan hak asasi manusia seperti Sweeden, malah turut memberi tempias kepada negara ini. Ini kerana, baru-baru ini, tatkala isu pasangan suami isteri rakyat Malaysia, Azizul Raheem Awalludin dan Shalwati Norshal yang telah dihadapkan ke mahkamah di Sweden kerana merotan anak mereka yang tidak menunaikan sembahyang hangat diperkatakan.


Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim memaklumkan kementerian itu pula mahu tindakan merotan anak oleh ibu bapa dianggap menjadi satu kesalahan jenayah. Natijahnya, kementerian itu dikritik pelbagai pihak, malah cadangan itu seolah-olah menyimbah api pada minyak apabila masyarakat pula memberi komen dan pandangan negatif. Hakikatnya, masyarakat tidak sedar bahawa telah termaktub peruntukan sedia ada, iaitu di bawah seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 menjadikan memukul dan merotan itu satu kesalahan. Jika menilai dari pandangan dan sudut agama Islam pula, tidak salah merotan anak-anak untuk tujuan mendidik atau sebagai memberi pengajaran.

Namun, ada beberapa perkara yang perlu dititikberatkan pada istilah merotan kerana dibimbangi ada ibu bapa mengambil kesempatan menggunakan rotan sebagai alat untuk mendera. Hakikatnya, fungsi sebenar merotan adalah sangat pelbagai, tetapi dalam konteks mendidik, rotan hanya merupakan satu alat pencegahan, peringatan dan pengajaran kepada pesalah dan keberkesanannya bergantung kepada si perotan. Mengulas perkara itu, Ketua Jabatan Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti, Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Zuria Mahmud beranggapan, dalam konteks kekeluargaan, tiada salah menggunakan rotan dalam mendidik anak-anak bagi mengelakkan mereka melakukan kesalahan.

Namun, mekanisme terbaik adalah melalui interaksi dua hala yang berkesan antara ibu bapa dan anak-anak. Katanya, pendekatan merotan tidak harus menjadi kaedah pertama dalam mendidik anak-anak kerana dikhuatiri memberi kesan psikologi kepada mereka pada masa depan. Pun begitu, beliau tidak menolak merotan mampu mendidik anak-anak untuk peringkat awal seperti mana yang disarankan agama Islam. Hakikatnya, pendidikan terbaik 12 tahun pertama anak-anak ialah melalui contoh yang baik dan didikan yang betul ibu bapa di rumah kerana ketika itu kanak-kanak seusia berkenaan akan mencontohi apa sahaja perlakuan ibu bapa mereka. Jadi, jika didikan dan pembentukan sahsiah diri yang diterapkan ibu bapa pada jalan yang betul, adalah mustahil anak-anak akan berperangai buruk dan penggunaan rotan perlu dalam mendidik anak-anak.

Ibu bapa harus menyelami jiwa dan perasaan anak-anak agar melalui perkongsian itu mereka dapat mengetahui keinginan atau perasaan anak mereka,” katanya dalam Bicara Persada bertajuk Rotan: Mendidik atau Mendera? di UKM, Bangi, baru-baru ini. Antara ahli panel lain yang terlibat ialah Pengerusi Pertubuhan Sukarelawan Peguam Malaysia (SukaGuam), Datuk Khairul Anwar Rahmat dan pengasas Kompleks Darul Thibbun Nabawi, Ahmad Dusuki Abdul Rani. Tambah Dr. Zuria, setiap peraturan termasuk penggunaan rotan perlu dilaksanakan selepas melalui fasa perbincangan bersama-sama anak-anak agar setiap hukuman yang dilaksanakan itu akan difahami anak-anak bagi mengelakkan salah faham dan fobia kepada mereka. “Jika perlu rotan, ibu bapa harus menerangkan kepada anak-anak mengapa mereka perlu dirotan, barulah anak-anak tidak salah faham dan tindakan merotan atau sebarang hukuman yang dikenakan perlu adil iaitu dilaksanakan kepada semua anak-anak dan bukan memilih bulu,” ujarnya.

Dalam pada itu, Khairul Anwar menyifatkan penggunaan rotan perlu dikekalkan sebagai bentuk pengajaran kepada anak-anak dalam proses mendidik kerana merupakan satu elemen penting untuk mendisiplinkan anak-anak. Katanya, penggunaan rotan sebagai mendisiplinkan diri telah menjadi tradisi dalam mendidik anak-anak sejak dahulu lagi dan tiada salahnya elemen itu dikekalkan pada era ini. “Pada saya, merotan tidak perlu dibicarakan atas nama hak asasi kemanusiaan seperti mana yang dilaksanakan di sesetengah negara kerana apa yang penting ibu bapa perlu bijak dan tahu bila masa untuk menggunakan rotan pada anak-anak. “Penggunaan juga rotan tidak boleh digunakan ketika penuh emosi dan amarah. Seharusnya rotan hanya sebagai alat untuk mendidik kerana jika merotan tidak membantu, ibu bapa tidak lagi boleh terus-menerus merotan sehingga anak-anak itu cedera kerana itu adalah salah dari sudut undang-undang dan agama,” jelasnya.

Dalam konteks agama Islam pula, merotan merupakan satu kaedah dalam mendidik anak-anak yang disarankan, malah riwayat Abu Daud menyatakan, Rasulullah bersabda: “Ajar anak kamu solat ketika umurnya 7 tahun, dan (sekiranya mereka enggan) pukul mereka apabila mencecah 10 tahun.” Menurut Ahmad Dusuki, setiap apa yang disarankan Islam, sudah pasti ada hikmah di sebalik pelaksanaannya, namun setiap tindakan yang dilaksanakan perlu ada batas dan perkiraannya. Katanya, keberkesanan penggunaan rotan bergantung kepada siapa yang memegang rotan itu. Jika yang memegangnya adalah pendidik, maka alat itu digunakan dengan betul, namun jika yang memegangnya adalah pendera, maka sebaliknya berlaku.


Ketika ini, terlalu banyak pertembungan berlaku di antara perintah syariat dan kehendak manusia yang menyebabkan masyarakat mula mendidik anak-anak tidak berdasarkan atur cara yang dikehendaki agama Islam tetapi lebih gemar merujuk kepada pandangan orang. “Sebagai hamba, kita perlu akur dengan perintah Allah, jika Allah minta kita rotan anak-anak pada usia tertentu, maka kita kena buat kerana kesannya dapat kita lihat selepas kita laksanakannya. Selagi mana kita tidak buat, maka tidak ada kesan yang dapat dilihat. “Hukuman rotan bukan disarankan untuk anak-anak sahaja kerana suami boleh merotan isteri yang berbuat dosa. “Rotan adalah perkara sunnah dan sebagai umat Nabi Muhammad kita perlu laksanakannya, malah menggantung rotan dalam rumah juga mendapat pahala. Begitu indah ajaran Islam pada manusia dan paling penting bagaimana kita melaksanakannya. “Biarlah dengan merotan itu kita mendapat ganjaran pahala dan jangan pula menyebabkan kita ke neraka,” jelas beliau.
Catat Ulasan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts with Thumbnails