08 Mac 2015

JOM, KATAKAN 'YA' UNTUK MENERUSKAN PENGAJIAN DI TINGKATAN ENAM


Senario yang selalu berulang selepas menerima keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ialah ke manakah arah yang harus saya pilih selepas ini?  Baik golongan yang berada mahupun golongan kurang berada, baik golongan yang tinggal di kawasan pedalaman mahupun yang tinggal di bandar, baik yang mendapat keputusan cemerlang mahupun yang mendapat keputusan kurang cemerlang, pilihan mereka sudah dijangka! Yang penting, daripada 100%, mungin yang menyebut untuk meneruskan pelajaran di Tingkatan 6 hanyalah 5% sahaja. Mengapakah situasi ini selalu berlaku? Mengapakah tidak ramai pelajar yang mahu meneruskan pengajian di Tingkatan 6? Susahkah belajar di Tingkatan 6?

Mengapa Tingkatan 6 bukan pilihan?

Jawapan bagi persoalan di atas amatlah mudah! Ibu bapa dan pelajar lepasan SPM tidak memahami konsep pembelajaran di Tingkatan 6. Mereka terlalu terpengaruh dengan humor-humor dari luar yang mengatakan bahawa belajar di kolej-kolej lebih glamour daripada belajar di Tingkatan 6. Pelajar Tingkatan 6 masih berada di sekolah. Ada dalam kalangan pelajar Tingkatan 6 yang masih memakai pakaian seragam sekolah. Jika kita melanjutkan pengajian ke kolej, kita bebas bergaya dengan pakaian yang kita suka. Belajar di bilik berhawa dingin. Itu yang difikirkan! Akan tetapi, tahukah anda, nilai sekeping Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia atau Malaysian Higher School Certificate (STPM) adalah setaraf dengan GCE A Level yang dikeluarkan di UK. Cuba anda belek catatan di belakang sekeping sijil STPM. Ini membuktikan bahawa sijil STPM itu bernilai dan diiktiraf jika dibandingkan dengan diploma yang anda peroleh daripada kolej atau universiti swasta.

Jika kita tanya dengan pensyarah-pensyarah yang mengajar di universiti, mereka berpendapat bahawa pelajar lulusan STPM lebih berkualiti dari segi ilmu pengetahuan dan sifat berdikari dalam pembelajaran di peringkat universiti. Hal ini dikatakan demikian kerana semasa di Tingkatan 6 mereka telah mempelajari semua perkara yang terdapat dalam sukatan pelajaran yang diambil di universiti. Bagi mereka, memasuki menara gading hanyalah masa untuk bergoyang kaki sahaja! Mungkin bagi sesetengah orang, skop pembelajaran di Tingkatan 6 amat luas dan sukar. Benarkah anggapan itu? Tahukah anda sejak tahun 2012, STPM Baharu yang mengamalkan konsep pembelajaran mengikut semester telah diperkenalkan. Setiap lima bulan pelajar akan menduduki peperiksaan Penggal 1, Penggal 2, dan Penggal 3. Sejak sistem baharu ini diperkenalkan, peluang dan ruang untuk masuk ke universiti amat luas terutamanya bagi pelajar-pelajar Bumiputera. Pelajar diberi peluang untuk memperbaik keputusan bagi mendapatkan keputusan penuh yang cemerlang pada akhir penggal 3.

Kewujudan STPM Baharu sama ada disedari atau tidak telah menaikkan lagi imej Tingkatan 6 agar setanding dengan kolej, matrikulasi, dan universiti. Guru-guru yang mengajar Tingkatan 6 diberi kenaikan pangkat dari DG44 hingga ke DG52. Mereka digelar Guru Akademik Tingkatan 6 atau Pensyarah Tingkatan 6. Pelajar-pelajar Tingkatan 6 pula diberikan kebebasan untuk memakai pakaian kasual smart ke sekolah, bergaya seperti cikgu-cikgu mereka! Majlis Pelajar Tingkatan 6 pula telah ditubuhkan dari peringkat sekolah hingga ke peringkat kebangsaan. Secara beransur-ansur sekolah-sekolah Tingkatan 6 Mod 1, Mod 2, dan Mod 3 mula ditubuhkan di seluruh negara. Perkara ini harus kita sedari sebelum kita memilih untuk meneruskan pengajian selepas mendapat sijil SPM.


Kos pengajian yang murah tetapi nilai sijil STPM tinggi

Kos pengajian di Tingkatan 6 amatlah murah. Pelajar tidak perlu membayar yuran peperiksaan dan pelbagai yuran yang lain. Malahan, buku pun tidak perlu dibeli kerana adanya Baucer Buku 1Malaysia. Pelajar-pelajar Tingkatan 6 dibimbing dan dibantu sepenuhnya oleh guru semasa pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. Mereka hanya perlu membayar jika mahu mengulang semula subjek bagi mata pelajaran tertentu yang kurang baik untuk membaiki keputusan di penghujung Penggal 3. Pelajar-pelajar Tingkatan 6 tidak perlu meminjam wang dari PTPTN untuk mendapatkan sijil setaraf dengan A level. Mereka hanya perlu fokus kepada pelajaran dan belajar bersungguh-sungguh dalam tempoh setahun dan seterusnya masuk ke menara gading.

Bertanyalah kepada yang tahu, jangan buat keputusan melulu.

Selepas mendapat sijil STPM, pilihlah untuk masuk ke Tingkatan 6. Jangan dengar khabar angin daripada orang lain. Dapatkan informasi daripada pihak-pihak yang berkenaan dan tahu tentang kemaslahatan belajar di Tingkatan 6. Jangan memperjudikan masa depan dengan memilih laluan yang salah. Fikir dengan betul-betul. Tengok kemampuan diri kita. Dalam hal yang berkaitan dengan pendidikan, tiada istilah glamour atau popular, kerana yang penting adalah nilai sijil yang akan kita dapat. Apa gunanya kita belajar di sebuah kolej yang glamour jika terpaksa membayar hutang pinjaman pendidikan PTPTN dan sebagainya selepas menamatkan pengajian. Sedarkah atau tidak, lulusan tingkatan 6 biasanya tidak pernah dibelenggu oleh masalah pengangguran! Mengapa? Tepuk dada tanya selera!

Cetusan hati,
Cikgu Zulkarnain Farihin
SMK Sacred Heart, Sibu

Sarawak. 
Catat Ulasan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts with Thumbnails