JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



15 November 2013

ISU SOSIAL : PENYATUPADUAN NASIONAL PERLU KERJASAMA SEMUA

PENULIS RENCANA
Mior Kamarul Shahid


Usaha memupuk perpaduan rakyat di negara ini mula dianjak kepada satu tahap baru menerusi gagasan penyatupaduan nasional, dengan kaedah yang lebih berkesan. Ini tidak bermakna cara tradisi menyatupadukan rakyat seperti mengambil bahagian dalam kegiatan Rukun Tetangga (RT) gotong-royong, sukan perpaduan dan sebagainya tidak lagi sesuai pada zaman yang lebih terbuka hari ini.  Kegiatan tradisi yang terbukti memberi sumbangan ke arah menyatupadukan rakyat itu, sudah pun diterima sebagai sebahagian daripada budaya masyarakat. Cuma, konsep, falsafah dan cara menghadapi cabaran penyatupaduan nasional perlu dilihat menerusi perspektif baru.

Setiap rakyat perlu faham pengertian dan menghayati erti penyatupaduan rakyat terlebih dulu sebelum mereka berasakan ia adalah satu kemestian dalam kehidupan bermasyarakat di Malaysia. Dalam Kongres Majlis Profesor Negara Kedua yang diadakan selama dua hari hujung minggu lalu, menghasilkan tujuh resolusi untuk dijadikan asas dalam proses pembentukan penyatupaduan nasional.  Resolusi itu membabitkan Perlembagaan Persekutuan, konsep bangsa Malaysia, bahasa Melayu, kepentingan institusi pendidikan, prinsip keadilan ekonomi, mobiliti sosial dan kedaulatan negara. Rumusan itu dihasilkan daripada lima perbincangan panel dengan pelbagai tajuk yang dikaitkan dengan soal penyatupaduan nasional.

Antara tajuk perbincangan ialah mengenai konsep dan cabaran penyatupaduan nasional, keadilan dan sosioekonomi, begitu juga tajuk sains dan pendidikan, jati diri dan patriotisme serta globalisasi dan ketahanan nasional. Ahli panel yang membincangkan tajuk berkenaan mewakili pelbagai disiplin, selain profesor yang pakar dalam bidang masing-masing dan disertai pelbagai kaum.

Perspektif berbeza

Perbincangan dalam kongres itu menarik kerana isu penyatupaduan nasional tidak lagi dilihat secara stereotaip. Ia membuka minda dengan melihatnya dari perspektif yang berbeza. Selama ini isu penyatupaduan nasional yang dilihat dari segi pendidikan, budaya, bahasa, ekonomi dilakukan oleh mereka yang pakar dalam bidang berkenaan. Tetapi, jika isu penyatupaduan nasional dilihat dari perspektif seorang doktor perubatan, ahli matematik, saintis dan bidang lain yang jarang dibawa berbincang mengenai isu yang biasanya dikaji sarjana bidang sains sosial ini, ia berbeza daripada pandangan lumrah.

Doktor perubatan melihat isu penyatupaduan nasional dengan mengaitkannya dengan keadaan setiap anggota badan manusia. Jika salah satu daripadanya sakit, semua sistem anggota dan organ manusia akan cacat. Walaupun kesakitan mungkin pada jari tangan, ia boleh menjejaskan sistem seluruh badan. Jika gigi yang sakit, seluruh sistem badan akan lumpuh. Penyakit dan kuman penyakit tidak mengenal bangsa. Seekor nyamuk Aedes yang menghisap darah seorang kaum Cina yang berpenyakit boleh menyebabkan virus denggi merebak hingga menjadi wabak tidak mengira mangsanya orang Melayu, India, Sikh atau lain-lain. Ini bermakna setiap individu tanpa mengira bangsa perlu menjaga kesihatan dan kebersihan bersama. Seorang pakar matematik pula melihat isu penyatupaduan nasional ini ibarat mereka menyelesaikan masalah matematik. Dalam ilmu matematik, apabila ada masalah, ia perlu penyelesaian dan mendapatkan jawapannya.

Selesai masalah secara bersama

Begitu jugalah dengan masalah dalam masyarakat pelbagai kaum. Jika ada berlaku masalah, ia perlu diselesaikan segera secara bersama menggunakan formula tertentu seperti formula matematik. Dalam masyarakat, jika timbul sesuatu masalah, ia hendaklah diselesaikan bersama dengan semangat yang tulen. Dalam konteks globalisasi pula, isu penyatupaduan nasional ini dilihat dari perspektif bagaimana setiap rakyat perlu sama-sama menghadapi cabaran yang datangnya dari luar. Sama ada masalah politik, ekonomi, sosial dan sebagainya yang dibawa ke dalam negara ini tidak boleh diselesaikan secara berasingan kerana ia memberi kesan kepada kedaulatan bangsa dan negara. Jika budaya negatif dibawa masuk dari luar tidak diatasi bersama, kesannya akan dirasai oleh semua kaum. Kesan buruk globalisasi bukan dihadapi oleh sesuatu kaum saja tetapi oleh setiap kaum.

Ibu bapa yang membiarkan gejala buruk ini melanda negara tanpa ditentang secara bersama, ia boleh memberi kesan buruk kepada keluarga, masyarakat dan seluruh rakyat. Seorang ahli sains melihat bagaimana ciptaan sains boleh memberi faedah kepada setiap kaum. Ciptaan sains bukan dicipta untuk sesuatu kaum tertentu saja. Jika setiap ahli sains daripada pelbagai kaum bergabung tenaga menghasilkan ciptaan yang berguna untuk manusia, ia boleh menyebabkan kaum berkenaan bekerjasama untuk menghasilkan sesuatu yang berfaedah kepada umat manusia. Seorang arkitek pula melihat pembinaan sesebuah negara berasaskan kepada struktur bangunan yang kukuh. Jika struktur bangunan lemah, ia akan menyebabkan bangunan cacat, malah akan runtuh.

Oleh itu, untuk menjadi sebuah bangsa yang kuat, struktur masyarakat mestilah terlebih dulu kukuh. Isu penyatupaduan nasional ini boleh juga dilihat dari perspektif keselamatan. Jika negara ini sering diancam pelbagai masalah, semua kaum akan hidup tidak tenteram. Oleh itu, usaha menjamin keselamatan negara, perlu dijalankan secara bersama.

SUMBER : BERITA HARIAN ONLINE
TARIKH : 15 NOVEMBER 2013

HARI : JUMAAT