17 November 2013

ISU SOSIAL : KEMBALINYA GERAKAN LGBT


Pada 7 Mac 2012, Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) telah menganjurkan suatu panel perbincangan berkenaan "Diskriminasi dan Keganasan berdasarkan Orientasi Seksual dan Identiti Gender" yang berlangsung sebagai sebahagian acara tahunan sesi ke 19 Majlis Hak Asasi Manusia di  Geneva, Switzerland. Panel tersebut telah mendapat bantahan daripada Kumpulan Negara OIC bagi Hak Asasi Manusia, yang telah mengirim sepucuk surat kepada Presiden Majlis Hak Asasi Manusia PBB, Laura Dupuy Lasserre bagi menyatakan kebimbangan negara-negara OIC terhadap usaha untuk memperkenalkan di dalam Deklarasi Universal Hak Asasi Manusia (UDHR) terma-terma serta standard-standard berkenaan Orientasi Seksual dan identiti Gender (SOGI) yang asing di dalam "bahasa" dan "penerimaan nilai-nilai sejagat" berkenaan hak Lesbian, Gay, Biseksual dan Transeksual, serta dengan jelas menolak sebarang usaha untuk menjadikan orientasi Lesbian, Gay, Biseksual dan Transeksual (LGBT) sebagai nilai yang sepatutnya diterima semua negara anggota PBB sebagai sebahagian dari hak-hak asasi manusia sejagat.

Percubaan panel tersebut banyak mendapat inspirasi awal dari Prinsip-prinsip Yogjakarta (Yogyakarta Principles), yang merupakan satu set prinsip  berhubung orientasi seksual  dan  identiti jantina yang diwujudkan dengan hasrat  untuk memohon  piawaian undang-undang hak asasi manusia antarabangsa  bagi menangani  penyalahgunaan kuasa hak asasi manusia  golongan LGBT, dan  isu-isu  antara seks (intersexuality). Prinsip-prinsip tersebut  telah dihasilkan pada  satu mesyuarat  antara Suruhanjaya Juri Antarabangsa , Perkhidmatan Antarabangsa bagi Hak Asasi Manusia dan  pakar-pakar hak asasi manusia  dari seluruh dunia  di Universiti Mada di Pulau Jawa  pada 6 hingga  9 November   2006. Dokumen penutup "mengandungi 29 prinsip yang didakwa diterima dengan sebulat suara oleh pakar-pakar bersama dengan  cadangan kepada kerajaan, institusi-institusi  antara kerajaan daerah,  masyarakat awam dan PBB sendiri" dinamakan sempena Yogyakarta,  wilayah  paling kecil Indonesia  (tidak termasuk  Jakarta)  yang terletak  di pulau Pulau Jawa.  Prinsip-prinsip  ini  belum diterima  oleh negara-negara dalam  satu perjanjian, maka  secara kendiri, ia bukan bahagian undang-undang hak asasi manusia  antarabangsa yang mengikat secara sah, walaupun  prinsip-prinsip tersebut bertujuan bertindak sebagai bantuan penafsiran terhadap perjanjian  hak asasi manusia.

Antara 29 penandatangan prinsip-prinsip adalah Mary Robinson,  Manfred Nowak, Martin Scheinin,  Elizabeth Evatt, Philip Alston,  Edwin Cameron, Asma Jahangir, yang kesemuanya berhasrat supaya prinsip-prinsip Yogyakarta harus diterima sebagai standard sejagat, mengesahkan standard undang-undang antarabangsa yang mengikat yang mana semua negara mesti patuhi. Walaubagaimanapun, beberapa negara anggota khususnya negara-negara OIC telah menyatakan keraguan mereka terhadap pandangan tersebut. Prinsip-prinsip tersebut, selain dari mencetuskan Resolusi 17/19 PBB berhubung hak-hak LGBT, telah menjadi sebahagian perkara yang dinyatakan di dalam Laporan Gabungan NGO Malaysia (COMANGO) bertarikh 11 Mac 2013 yang dijadikan asas semakan rekod Hak Asasi Manusia Malaysia pada 24 Oktober 2013 yang lalu. COMANGO telah secara khusus menuntut supaya seksyen 377A Kanun Keseksaan dihapuskan, selain mengesyorkan Malaysia menurut prinsip-prinsip Yogyakarta. Kesan jangka panjang tuntutan ini, yang berselindung di sebalik istilah 'diskriminasi minoriti', ialah untuk membolehkan perkahwinan sesama jenis dijalankan di Malaysia tanpa sebarang halangan undang-undang atau kawalan moral.

Berselindung

Ternyata prinsip-prinsip Yogyakarta ini merupakan satu agenda bahaya yang secara berterusan menjadi usaha yang berselindung di sebalik nama hak asasi manusia sejagat. Bagi negara-negara OIC khususnya, bantahan yang dinyatakan melalui surat bertarikh 14 Februari 2012 tersebut menggambarkan kegusaran yang mendalam terhadap usaha-usaha agresif untuk mengiktiraf secara terbuka hak-hak yang berlawanan dengan fitrah semulajadi manusia. Hal ini demikian oleh kerana negara-negara Islam sedar bahawa tuntutan terhadap hak-hak sedemikian melampaui garis normal kemanusiaan yang akhirnya akan membawa pada kebinasaan tamadun manusia. Amaran Qurani yang sangat jelas seperti pembalasan yang dikenakan terhadap kaum Nabi Luth a.s yang mengingkari panduan hubungan manusia secara sejahtera menjadi peringatan yang tetap relevan hingga ke akhir zaman.

Melalui Kumpulan Negara-negara OIC bagi Hak Asasi Manusia, Malaysia telah pun menyatakan undian bantahan terhadap Resolusi 17/19 berkenaan hak-hak LGBT. Malaysia sendiri menghadapi arus kempen yang kuat di dalam negara yang menunjukkan bibit-bibit sokongan terhadap hak-hak LGBT ini telah pun dipengaruhi prinsip-prinsip Yogyakarta. Sebagai contoh, susulan pengaruh prinsip-prinsip Yogyakarta tersebut juga, sebuah pertubuhan hak asasi manusia yang berpengaruh di Amerika Syarikat, Human Rights Watch (HRW) berhujah undang-undang anti-liwat yang berkuatkuasa di Malaysia sudah ketinggalan zaman (archaic) kerana bertentangan dengan hak asasi manusia. Oleh itu, badan hak asasi antarabangsa itu menggesa Malaysia menghapuskan undang-undang anti-liwat yang kononnya melanggar hak privasi dan berbentuk diskriminasi serta perlu diganti dengan undang-undang baru yang membenarkan aktiviti liwat. Menurutnya, undang-undang baru itu mestilah selaras dengan prinsip-prinsip Yogyakarta, laporan Pesuruhjaya Hak Asasi Manusia.

Bangsa-Bangsa Bersatu dan Deklarasi Vienna yang mengiktiraf hak-hak asasi manusia termasuk melakukan aktiviti seks luar tabie atas dasar suka sama suka. Prinsip-prinsip tersebut juga telah mula mendapat tempat dalam kalangan segelintir NGO Hak Asasi Manusia dan beberapa parti politik di Malaysia. Penganjuran Seksualiti Merdeka misalnya, jelas mendapat inspirasi dari usaha-usaha di peringkat global untuk mendapatkan "hak dan pengiktirafan" bagi golongan LGBT, atas dasar kononnya teguran atau tindakan untuk memandu golongan ini disifatkan sebagai "diskriminasi" dan "tekanan sosial' terhadap mereka. Mereka juga merasakan sepatutnya dibenarkan untuk bebas memilih orientasi seks, meskipun orientasi tersebut berlawanan dengan fitrah keagamaan dan kacamata ketamadunan manusia.
Malaysia seharusnya memimpin usaha menentang perkembangan yang sangat berbahaya ini. Sehingga kini, sebanyak 14 negara di dunia yang telah mengiktiraf dan mempunyai undang-undang perkahwinan sejenis. Seperti yang dilaporkan agensi Reuters, 13 November baru-baru ini menyaksikan Hawaii menjadi negeri terkini di dalam Amerika Syarikat yang mengiktiraf perkahwinan sejenis apabila gabenornya Neil Abercrombie menandatangani rang undang-undang untuk mengesahkan keizinan tersebut. Ternyata Amerika Syarikat sedang berhadapan dengan masalah yang sangat serius yang bakal menghancurkan sisa-sisa kemanusiaan yang masih ada padanya.

Sebagai sebuah negara yang menjadikan Islam sebagai agama persekutuan, Malaysia perlu terus mengekalkan kedaulatannya dengan tidak tunduk terhadap tekanan antarabangsa melalui penerimaan terhadap prinsip-prinsip Yogyakarta dan lain-lain instrumen yang digunakan untuk menerbitkan hak-hak songsang mereka yang berjuang di sebalik gagasan hak asasi manusia sejagat. Peranan Islam sebagai agama negara dan tugas Yang di-Pertuan Agong untuk memelihara Islam berdasarkan sumpah jawatan pada Jadual Keempat, Perkara 37 Perlembagaan Persekutuan, ditambah dengan penerimaan prinsip-prinsip Rukun Negara yang jauh sekali menerima hak dan aktiviti songsang seperti yang dituntut golongan LGBT ini, sepatutnya menzahirkan keunikan dan kemampuan Malaysia untuk mematuhi prinsip hak asasi manusia sejagat tanpa mengorbankan nilai agama, budaya setempat dan realiti negara. Malah hal ini adalah seperti mana yang telah dipersetujui bersama melalui Persidangan Hak Asasi Manusia 1993 di Vienna berkenaan kepentingan mengambil kira faktor-faktor tersebut di dalam menuntut sesebuah negara untuk patuh dengan hak-hak asasi manusia sejagat.

Secara khususnya, pada bulan Mac depan, kerajaan Malaysia perlu tegas menolak beberapa syor negara-negara seperti Jerman, Belanda dan Austria yang mahukan Malaysia menghapuskan undang-undang anti-liwat dan mengiktiraf hak-hak LGBT, sebagaimana yang dizahirkan di antara 232 syor-syor pada sesi UPR baru-baru ini. Malaysia perlu meneruskan sikap dan pendirian konsisten menolak pengiktirafan hak-hak LGBT sebagaimana yang telah ditegaskan ketika menolak Resolusi 17/19 PBB dan ketika menandatangani Deklarasi Hak Asasi Manusia ASEAN pada November tahun lepas. Selain itu, wujud keperluan segera untuk Malaysia memulakan gerakan menghapuskan prinsip-prinsip Yogyakarta 2006 yang sangat berbahaya terhadap kelangsungan tamadun kemanusiaan. Malah, gerakan ini sangat mendesak oleh kerana prinsip sedemikian, tanpa ramai yang menyedari, telah dimaktubkan di negara Islam terbesar di dunia, Indonesia yang juga merupakan jiran terdekat rumpun melayu-Islam dan negara anggota OIC.

SUMBER
MINGGUAN MALAYSIA
TARIKH : 17 NOVEMBER 2013

HARI : AHAD
Catat Ulasan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts with Thumbnails