20 Julai 2013

ISU SOSIAL : KEKANG TREND PEMBUNUH UPAHAN


Oleh NURUL ANUAR KARI
anuar.kari@utusan.com.my

Menyebut tentang pembunuh upahan, mungkin tidak ramai menyangka trend kerjaya lumayan itu sudah mula menapak di Malaysia yang selama ini aman damai berbanding jiran-jirannya. Mereka yang pernah menonton filem ikonik, Kill Bill tentang hidup seorang pembunuh upahan mungkin berasa kagum dengan 'prinsip dan maruah' yang diamalkan golongan pembunuh profesional di peringkat antarabangsa. Namun, pembunuh upahan di Malaysia dikhuatiri terdiri daripada golongan amatur tanpa prinsip dalam memilih 'tugasan' mahupun maruah dalam melaksanakan 'hukuman' mangsa mereka. Ini khususnya bagi golongan muda yang baharu berjinak dengan dunia jenayah dan hanya memikirkan upah, kecil atau besar, tanpa ambil peduli alasan seseorang mengupah mereka membunuh asalkan ada bayaran.

Tidak kurang juga penjenayah muda yang membunuh demi kuasa dalam sesebuah kumpulan mahupun untuk menaikkan nama dalam kalangan kumpulan gengster dan samseng yang berebut kawasan atau semata-mata atas faktor dendam. Lebih membimbangkan, sementara mendapat 'tugasan baharu' pembunuh upahan juga terlibat dalam jenayah seperti rompak, ragut, culik dan sebagainya, meningkatkan kebarangkalian mereka menggunakan senjata api ke atas mangsa dan orang awam. Orang ramai semakin bimbang apabila kejadian pembunuhan dengan senjata api semakin banyak berlaku tetapi tangkapan dan penyelesaian kes tidak begitu menonjol. Adakah faktor manusia yang 'hati kering' menjadi punca peningkatan trend pembunuh upahan ini ataupun masalah senjata api yang semakin mudah diperolehi di negara ini?

Bagi Penasihat Persatuan Pegawai-Pegawai Kanan Polis Bersara Malaysia (Respa), Datuk Mohd. Jamil Mohd. Hassan, kejadian pembunuhan bersenjata kini berlainan dengan zaman dahulu yang rata-ratanya dilakukan pengganas komunis. "Dahulu komunis pilih sasaran yang menghalang agenda dan rancangan mereka sahaja tetapi sekarang lain pula, golongan pembunuh ini semua datang daripada kumpulan-kumpulan muda. Mereka juga terdiri daripada banyak bangsa, mungkin Cina, India mahupun Melayu, sukar untuk tentukan bangsanya. Mungkin juga kerja warga asing khususnya dalam kes-kes berhampiran sempadan negara," katanya. Beliau melihat mangsa dalam beberapa kes di Pantai Timur melibatkan golongan peniaga yang mungkin terlibat dengan perniagaan mencurigakan, serta mereka yang terlibat dalam penguatkuasaan.

Jelas Mohd. Jamil, mangsa terdiri pelbagai peringkat daripada golongan kaya kepada pemandu lori yang mungkin dibunuh warga asing upahan atas faktor dendam ataupun persaingan perniagaan seperti judi dan pelacuran. "Pembunuh mungkin tidak fikirkan keuntungan dalam menerima tugasan membunuh ini. Mungkin melibatkan satu geng yang bermaharajalela ataupun lebih daripada satu geng tetapi rasanya kematian dalam kes rompakan bersenjata tidak melibatkan pembunuh upahan. "Saya tiada maklumat terkini tetapi polis mungkin tidak mahu dedahkan lagi maklumat atau bukti terhad tentang pembunuhan yang dilakukan kerana siasatan masih berterusan," ujarnya. Dalam soal penyeludupan senjata api, beliau berpendapat pihak yang mahu membawa masuk senjata mampu melakukannya dengan mudah walaupun telah banyak langkah pencegahan diambil pihak berkuasa di sempadan negara.

Tegas Mohd. Jamil, pergolakan dan penggunaan senjata api yang berleluasa tanpa kawalan di negara jiran memudahkan penyeludup mencuba pelbagai cara membawa masuk senjata ke Malaysia. "Kita lebih tegas dalam pemilikan senjata api di negara ini berbanding negara jiran. Mereka yang ditangkap membawa senjata api tanpa lesen (tetapi tidak digunakan) boleh didakwa, membawa kepada denda atau penjara. Mereka yang menggunakan senjata api tanpa lesen itu pula, khususnya dalam kegiatan jenayah seperti rompak dan ragut, boleh dikenakan hukuman penjara seumur hidup," jelasnya. Mohd. Jamil bagaimanapun melihat masalah pembunuh upahan banyak bergantung kepada faktor manusia kerana bukan mudah untuk seseorang membunuh manusia lain. "Untuk jadi pembunuh kena berani dan hati kena keras, bukan main tembak sahaja. Tidak semestinya ada senjata sudah boleh bunuh orang jika tiada kekuatan. Jika ada ketakutan dalam diri, tembak pun mungkin tidak kena. Itulah yang terjadi dalam kes tembak berkali-kali tetapi tidak kena pun pada sasaran," dakwanya.

Bekas Panglima Medan Tentera Darat, Leftenan Jeneral (B) Datuk Seri Zaini Mohd. Said pula menyifatkan trend baharu menjadikan rakyat Malaysia sasaran pembunuh upahan adalah sesuatu yang amat menakutkan. "Ini perlu dijadikan keutamaan pihak berkuasa untuk halangnya daripada berleluasa jika mahu sebuah masyarakat yang aman dan selamat. Jika peras ugut, curi, rampas, orang tidak begitu gerun berbanding ketakutan mangsa pembunuh upahan. Walaupun ada kes-kes melibatkan pembunuh individu, saya fikir punca utama adalah sindiket atau gengster tertentu yang meningkatkan kaedah mereka menakutkan sasaran dengan mengupah pembunuh upahan," ujarnya. Tambahnya, dahulu ramai yang berpendapat pembunuh upahan datang dari negara-negara jiran tetapi bagi beliau, kini pembunuh upahan ada dalam kalangan orang kita sendiri, lebih-lebih lagi senjata api begitu mudah diperolehi melalui sempadan negara jiran yang tidak stabil.

Menurut Zaini lagi, rakyat kita perlu ada kesedaran untuk tidak terlibat dengan aktiviti jenayah termasuk meminjam daripada pihak tidak berlesen. "Peminjam haram semakin cenderung gunakan kekerasan jika hutang tidak dibayar," katanya. Beliau turut mengesyaki terdapat kumpulan tertentu yang menyumbang kepada trend tersebut dengan menyediakan perkhidmatan menyewa senjata api untuk tempoh singkat. Zaini berharap pihak polis dapat menambah pasukan risikan untuk mencari orang yang terlibat dan menghalang mereka sementara pasukan-pasukan tindakan pula menangkap pembunuh upahan terbabit dengan segera. "Saya percaya polis kita mampu menangkap mereka jika cukup sumber risikan, tambahan pula penjenayah itu juga manusia biasa yang pasti akan tersilap langkah. Tingkatkan juga pengawasan keselamatan awam dan nasihati golongan berisiko tinggi menjadi mangsa. Saya sendiri bimbang dengan trend ini apatah lagi ia turut menjejaskan imej negara kita di mata dunia," tegas Zaini.

SUMBER :
UTUSAN MALAYSIA
17 JULAI 2013
Catat Ulasan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts with Thumbnails