03 Februari 2013

ISU SOSIAL : IKHTIBAR INSIDEN KEHILANGAN KANAK-KANAK


DR. JESSICA ONG HAI LIAW
Timbalan Pengarah Pusat Penerbitan dan Pensyarah Kanan, 
Universiti Pertahanan Nasional Malaysia.

Trauma dengan pelbagai berita dalam beberapa minggu ini melibatkan kehilangan kanak-kanak yang ditinggalkan dalam kereta untuk seketika menjadi satu fenomena yang dapat dirasai oleh semua rakyat Malaysia. Beberapa insiden yang berlaku pada hari ini sudah jadi fobia dan macam berangkai pula kanak-kanak hilang dan yang nyaris hilang. Situasi ini memberi amaran kepada kita bahawa komuniti di Malaysia sekarang dalam zon kurang selamat kerana masyarakat kurang peka dan mula alpa. Di mana sahaja kita berada kini, kita perlu berwaspada dan berhati-hati sepanjang masa kerana sebenarnya ada banyak ekor mata yang mengekori pergerakan dan sentiasa memerhatikan kita. Golongan ini hanya tunggu masa untuk bertindak. Bertindak bukan sahaja melarikan kanak-kanak malah merompak, meragut merangkumi segala jenayah yang kita tidak pernah terfikir mereka tergamak melakukan tanpa memikirkan soal kemanusiaan. Di mana hati nurani manusia dan di mana silapnya?

Pada pandangan saya, sebagai rakyat Malaysia, kita perlu tegur-menegur jika kita ternampak insiden yang tidak kena seperti kanak-kanak yang ditinggalkan dalam keadaan yang bahaya kepada ibu bapanya. Namun, dalam situasi ini, ibu bapa juga harus sedia menerima teguran. Jangan pula yang salah faham dan kecil hati bila ditegur dan dikatakan menyibuk dan jaga tepi kain orang. Itulah keluhan yang saya sering dengar dan akhirnya mereka yang berniat baik ini menjawab biarlah memang itu bukan urusan kita. Jika semua memberikan jawapan yang sama nanti, bagaimana kita dapat mencari penyelesaiannya. Kita memahami perasaan ibu bapa yang kehilangan anak mereka walaupun beberapa minit, kita sudah tidak keruan dan jadi tidak tentu hala, apatah lagi kehilangan dah masuk berminggu-minggu.

Sebagai ibu bapa kadang-kadang kita tidak terkecuali daripada melakukan kesilapan dan alpa seketika kerana memikirkan hanya sekejap sahaja ditinggalkan tidak akan berlaku apa-apa, akhirnya kerana beberapa minit itu kita menjadi sengsara. Jika boleh diputar waktunya, semestinya semua kejadian ini kita tidak mahu berlaku seperti kes yang pernah berlaku kepada Sharlinie dan Nurin Jazmin. Kealpaan kita dikejutkan kembali dengan beberapa insiden tahun ini yang mula memberi amaran kepada kita dan tidak perlulah pada waktu begini kita salah menyalahi lagi di atas kecuaian ibu bapa kerana mereka sudah cukup derita menanggung segala cubaan ini. Apa yang penting ialah kita perlu ingat-mengingati antara satu sama lain supaya jangan tinggalkan anak-anak walaupun seketika.

Kehilangan anak dalam sekelip mata menyentuh jiwa setiap ibu bapa tanpa mengira kaum, bangsa dan agama. Kesepakatan kita bersama turun padang membantu dan mencari seorang kanak-kanak yang hilang iaitu WilliamYau Zhen Zhong berusia 6 tahun dan akhirnya segalanya terjawab dengan penemuan mayat William di Jeti Sungai Sireh di Pelabuhan Klang. Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul dan hati saya terdetik dan sayu apabila mendapat berita kematian William sedangkan pada waktu itu saya sedang menaip dalam ruangan ini supaya menyeru semua pihak turun padang mencari William. Saya terbayang wajah William setelah melihat ramai kanak-kanak berbangsa Cina di kompleks beli-belah begitu sibuk bergembira menanti perayaan Tahun Baharu Cina yang akan tiba tidak lama lagi. Bagaimana dengan perasaan ibu bapa William yang sepanjang masa menunggu panggilan telefon yang mengharap khabar gembira dengan penemuan William yang dapat menyambut Tahun Baharu Cina bersama-sama keluarga akhirnya punah.

Kes Tin Song Sheng yang berlaku 17 tahun lalu juga berlaku sebelum Tahun Baharu Cina juga dan belum Song Seng ditemui hingga kini. Penantian itu sememangnya satu penyiksaan yang menyakitkan, apatah lagi jika yang disampaikan berita buruk? Namun ada pihak yang tidak bertanggungjawab menjadikan kes William sebagai main-main. Pengerusi Wanita MCA Selangor, Chew Lee Giok berharap pihak berkuasa memberi peluang dan tidak mencaci ibu bapa William yang menyesal dan menyedari kecuaian mereka. Semua pihak yang telah berganding bahu membantu mencari William tanpa mengira bangsa dan agama mencerminkan negara Malaysia sememangnya mempunyai semangat 1Malaysia.

Kita dikejutkan lagi dengan insiden di Kemaman kerana sangkaan kita pada waktu malam sahaja yang berbahaya namun di waktu pagi dalam pukul 10:30 pagi, sepasang suami isteri yang berhenti di stesen minyak kerana anaknya yang masih tidur di dalam kereta untuk ke tandas dilarikan oleh suspek. Nasib baik ada insan bernama Saufi Sukardi yang mengejar suspek. Sikap Saufi perlu dipuji. Itulah peranan sebagai rakyat yang sama-sama membantu memerangi jenayah. Insiden sebegini kita jadikan iktibar bersama dengan dijadikan garis panduan supaya kita lebih berhati-hati. Beberapa minggu ini, kita berkesempatan bercuti dengan beberapa perayaan penting terutama bersama-sama anak-anak kita. Tidak kira ke mana sahaja, kita perlu berwaspada dan jangan biarkan kanak-kanak keseorangan walaupun hanya sesaat. Ayuh! selagi kita mampu, kita luangkan sedikit masa untuk sama-sama memikirkan cara-cara menangani masalah jenayah yang semakin menjadi-jadi. Kita sentiasa beringat "Pelanduk selalu melupakan jerat tetapi jerat tidak pernah melupakan pelanduk".

Sumber : Utusan Malaysia
Tarikh : 29 Januari 2013
Catat Ulasan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts with Thumbnails