25 Januari 2013

ISU UMUM : PASTIKAN DASAR PERIKLANAN NEGARA DIGUBAL PADA TAHUN 2013


Rencana ini ditulis oleh :
Prof. Madya Mohamad MD Yusoff
Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Komunikasi, Universiti Sains Malaysia (USM)


Industri iklan negara semakin pesat berkembang dan menjana pendapatan hampir RM10 bilion pada 2012 dan menyumbang 1 peratus (%) kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK). Sejajar dengan kepesatan industri iklan dan media negara ini, agensi iklan menjadi pemangkin dan penggerak industri media dan sekali gus menjanakan pertumbuhan industri hiliran dan sokongan seperti penerbitan filem animasi. Bahkan dengan adanya Dasar Industri Kreatif, agensi iklan Melayu sewajarnya semakin lestari sifatnya dan semakin kukuh wawasan dan hala tujunya. Namun, isu besar yang dihadapi sekarang ialah sejauh manakah agensi iklan kita mampu bernafas dan melestarikan kelangsungan hidup mereka? Mampukah agensi iklan Melayu bersaing di persada global jika soal kelestarian pelanggan/klien yang 'kritikal' menghantui agensi iklan kita dan dihambat pula oleh hala tuju syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang kian kurang jelas ke arah membantu keusahawanan agensi iklan Melayu dan sekali gus media berbahasa Melayu khususnya industri persuratkhabaran.

Permasalahan industri iklan kita tanpa kementerian yang memayunginya juga menjadi cabaran besar pada 2013? Apakah Kementerian Penerangan, Kebudayaan dan Kesenian (KPKK) sudah cukup lagi mampu menangani isu dan cabaran industri iklan? Persoalan yang besar ialah industri iklan begitu luwes menerima kemasukan pemain luar dan asing sehingga kemelut MNCs (syarikat besar asing) mudah bertapak dalam industri yang sudah menjadi satu fait accompli. Industri iklan tidak dilindungi mahupun dikawal selia? Globalisasi sebagai satu wajah, wadah dan wahana mahupun instrumen perdagangan luar, seolah-olah memangkinkan industri iklan berkembang dan hidup segar. Dalam konteks ini, soal teknologi, kepakaran dan saiz pelanggan serta jaringan tidak menjadi masalah besar kepada MNCs selagi dasar liberalisasi dan pintu terbuka menjadi pegangan negara. Hal ini menjadi masalah kepada agensi iklan Melayu? Justeru, kementerian yang bertanggungjawab terhadap industri iklan keseluruhannya perlu memastikan satu Dasar Periklanan Negara digubal segera demi memelihara kepentingan Melayu dalam industri ini yang serba berpotensi menjana pendapatan yang besar.

Menerusi suruhanjaya industri periklanan negara, isu dan cabaran sistem teknikal dan sosial diharap mampu ditangani seperti:

1. Kemampuan modal.

2. Perlindungan berterusan dalam konteks affirmative action'.

3. Dasar sokongan lestari.

4. Keantarabangsaan dan kepakaran.

5. Pengiklan dan agensi penguat kuasa/pelaksana yang tidak tulus, ikhlas dan amanah.

6. Akauntabiliti dan etika.

7. Pendidikan periklanan dan IMC yang lemah dan tidak membantu jihad ekonomi Melayu-Islam.

8. Kegiatan tidak tersusun menjayakan dasar pembinaan nusa bangsa menerusi pengisian Wawasan 2020.

Sesungguhnya industri iklan merupakan industri strategik negara dalam membentuk identiti, budaya dan komunikasi berkiblatkan tempatan sepenuhnya. Sekali gus, ia menjadi instrumen dan wadah membantu perekonomian bumiputera yang sama rata sambil membina nusa bangsa menerusi pembangunan modal insan dan sosial dalam memupuk kelestarian budaya dan tamadun Malaysia yang holistik. Jika Dasar Periklanan Negara digubal pada 2013, maka industri iklan akan dapat mengukuhkan perpaduan bangsa dan negara menerusi kerancakan iklan pembangunan sambil mempertingkatkan kesejahteraan negara menerusi pengagihan sumber kekayaan negara secara saksama.

Amalan industri periklanan dengan pintu terbuka dapat diregulisasikan sesuai dengan sistem sokongan dan bantuan yang lestari ke arah penstrukturan semula industri iklan negara berpaksikan slogan, Act Local, Think Global. Yang penting Dasar Periklanan Negara mesti berpandukan prinsip Rukunegara, Dasar Kebudayaan Kebangsaan, Dasar Pendidikan Kebangsaan, Dasar Pembangunan Nasional dan Program Transformasi Negara dan Wawasan 2020. Tentunya, Dasar Periklanan Negara berpandukan aspirasi negara, keperluan dan cita rasa masyarakat, sumber kekayaan negara, dan Perlembagaan Negara yang menuntut kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara. Maka sudah sampai masanya Majlis Iklan Negara (MIN) atau Suruhanajaya Periklanan Negara (SPIN) dibentuk pada 2013 jika Wawasan 2020 mahu direalisasikan dengan jayanya.

Sumber
Utusan Malaysia
2 Januari 2012
Catat Ulasan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts with Thumbnails