25 Januari 2013

ISU ALAM SEKITAR : TANGAN RAKUS MUSNAHKAN ALAM SEKITAR


Rencana ini ditulis oleh :
EZARUDDIN ABD. RAHMAN
PENULIS ialah Timbalan Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS).


Hutan di Kedah merintih dan menangis disebabkan kerakusan Kerajaan Negeri Kedah yang berterusan menggondolkan hutan untuk kepentingan pihak-pihak tertentu. Pembalakan hutan berhampiran dengan Tasik Pedu dan penerokaan hutan di Gunung Inas, Baling membuktikan bahawa kita semakin rakus memusnahkan khazanah hutan disebabkan ingin mengaut keuntungan dengan cepat. Kita mungkin beranggapan bahawa Malaysia ini dilindungi daripada malapetaka besar dan kejadian serta tragedi tanah runtuh seperti yang berlaku di Filipina sehingga mengakibatkan 1,400 penduduk kampung hilang di Pulau Leyte. Kita jangan lupa kejadian ribut Greg yang melanda Sabah pada 26 Disember 1996. Bencana alam itu dipercayai mengorbankan mangsa paling ramai dalam sejarah tragedi bencana alam di Malaysia; lebih 200 mangsa terkorban dan 102 lagi hilang dalam ribut yang berlaku selama kira-kira lima jam.

Di Keningau, kemusnahan dua kampung berhampiran Sungai Pampang iaitu Kampung Pampang dan Limbawan ibarat 'padang jarak padang tekukur' manakala sebuah kampung dikenali Batu Satu atau Kandang Ayam yang didiami kebanyakan warga Indonesia keturunan Tator, musnah sama sekali. Kejadian Tragedi Pos Dipang pada 9 Ogos 1996 yang mana banjir lumpur yang berlaku telah meragut 44 nyawa harus juga diingati sebagai satu peristiwa yang menunjukkan isyarat bahawa suara alam akan bertukar ganas apabila kita bersikap rakus. Daripada jumlah itu, 39 mayat ditemui manakala lima lagi gagal dikesan sehingga kini. Tiada siapa yang menyangka dan menduga sungai yang mengalir tenang, boleh bertukar menjadi teramat ganas. Sepatutnya di sebalik kejadian luar jangka itu, ia telah membuka mata banyak pihak tentang kerakusan manusia terhadap alam pasti akan membawa padah.

Namun demikian ramai juga pemimpin di negara ini masih belum belajar daripada kesilapan lampau. Pembangunan tidak terkawal boleh memberi kesan terhadap topografi sesuatu tempat. Ramai antara pemimpin kita dan orang ramai tidak sedar kegiatan pembersihan hutan dan meratakan bukit boleh mengancam aliran sungai dan jalan raya, malah struktur bangunan di sesebuah kawasan. Rakyat sudah muak dengan penjelasan politik yang bersifat sembunyikan fakta kerana di zaman ini rakyat Malaysia rata-rata mempunyai pendidikan tinggi yang tidak boleh diperbodohkan dengan mudah lagi. Penerokaan hutan yang tidak terancang dan bermotifkan keuntungan hanya merugikan rakyat Malaysia disebabkan kita hanya menyaksikan alam semula jadi terus terjejas. Rakyat Malaysia bosan dengan isu alam sekitar yang menyelubungi hidup mereka saban hari. Sudah banyak rencana ditulis, sudah banyak laporan khas di televisyen, rungutan dan aduan orang ramai tetapi tiada jaminan daripada pihak kementerian dan kerajaan negeri dan pihak berkuasa untuk mengotakan janji menyelamatkan alam sekitar kita.

Sebenarnya banjir dan kejadian tanah runtuh banyak disebabkan faktor hutan diteroka tanpa mengikut garis panduan. Kawasan tadahan hujan menjadi semakin mengecil dan kemudian memudahkan aliran air merebak ke kawasan lain. Sudah banyak kali pihak tertentu seperti pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bersuara dan kajian telah dibuat tetapi hanya dipandang sepi tanpa mengambil tindakan yang sewajarnya. Sedih melihat hutan di Pedu digondolkan, dengan traktor dan buldozer, lori-lori pengangkut kayu keluar masuk. Satu lagi episod sedih mengenai alam sekitar terpaksa dikorbankan. Namun saya melihat pembalakkan berleluasa di Kedah dan Kelantan lebih kepada memenuhi tuntutan nafsu politik untuk menjana keuntungan semata-mata tanpa memikirkan kesan kepada alam sekitar. Pembalakkan di Kedah dan Kelantan membuktikan pemimpin mereka tidak kreatif dan terlalu bergantung kepada hasil hutan. Mereka sepatutnya mencari penjanaan ekonomi lain dalam memacu ekonomi di negeri mereka .

Apa gunanya kita sibuk mengadakan solat-solat hajat di stadium dengan puluhan ribuan orang hadir dan berceramah agama namun di antara mereka ada yang masih tidak berusaha memelihara alam sekitar. Pada hal ini juga adalah sebahagian daripada kewajipan orang beriman. Kita juga menuntut agar Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar lebih bertaring dalam menangani isu berkaitan kemusnahan hutan di negeri tertentu kononnya untuk pembukaan ladang buahan-buahan. Pihak Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar seolah-olah takut dan bimbang bertindak dan mengambil masa yang lama sehingga kemusnahan hutan dilaporkan oleh media. Jabatan Perhutanan seolah-olah lemah dan menutup mata dan sekadar membuat rondaan rutin. Ada sesuatu yang tidak kena pembalakan berhampiran di Tasik Pedu- bagaimanakah Kerajaan Negeri Kedah boleh meluluskan projek pembangunan yang begitu besar di sekitar kawasan tersebut, sedangkan ia merupakan sebuah kawasan yang perlu dilindungi ekologinya. Hentikanlah usaha untuk terus mengondolkan hutan di negara ini. Kalau sudah tersilap dan terlanjur, akuilah kesilapan jangan berdolak dalih untuk mengaburi mata rakyat. Rakyat sudah muak dengan kenyataan akhbar membuat penafian dan sebagainya .

Kita pastinya risau pada suatu hari nanti, pada tahun 2020 hutan di negara ini sudah bertukar menjadi ladang anggur dan pokok pisang semata-mata. Itu pun jika projek tersebut berjaya, dan jika tidak kita hanya lihat pokok renek dan semak belukar merimbun. Menteri Besar Kedah bertanggungjawab terhadap masalah pembangunan ketidakseimbangan ekologi di sekitar Tasik Pedu akibat pembangunan yang tidak dikawal. Keadaan itu memberi gambaran sebenar tentang kelemahan dan penyelewengan pentadbiran kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Azizan Abdul Razak. Tasik Pedu yang menjadi sumber bekalan air kepada rakyat Kedah pada suatu nanti pastinya akan surut dan kotor akibat kerakusan tersebut. Kepada penduduk Kuala Tekai, Kampung Bani , Pekan Kuala Nerang dan Kuala Janing mungkin selepas ini perlu bersiap sedia membeli sampan atau bot sebagai persiapan untuk menghadapi banjir lumpur jika hutan di sekitar Tasik Pedu terus dibotakkan. Jangan sampai alam bersuara dan membenci manusia yang rakus. Bila-bila masa alam sekitar yang termusnah akan menjadi bom jangka kepada bencana yang besar kepada rakyat Malaysia.

Sumber :
Utusan Malaysia
Tarikh : 01 Januari 2013
Catat Ulasan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts with Thumbnails