JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



15 Februari 2012

ISU SOSIAL : BSKN SEMAI SIKAP BELIA BERMASYARAKAT

TAN SRI LEE LAM THYE
Bekas Pengerusi Majlis Latihan Khidmat Negara (MLKN)


Sebagai bekas Pengerusi Majlis Latihan Khidmat Negara (MLKN), saya mengalu-alukan penubuhan Briged Sukarelawan Khidmat Negara (BSKN) yang dilancarkan baru-baru ini. Penubuhannya bagi membolehkan bekas pelatih-pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) menyumbang bakti kepada masyarakat dengan menjalankan kerja-kerja sukarela. Sehingga kini kira-kira 650,000 belia dari seluruh negara telah menyertai PLKN sejak pelancarannya pada 2004. Sebelum saya bersara daripada PLKN, saya pernah menyuarakan keperluan untuk menggerakkan semua bekas pelatih untuk menggunakan pengetahuan yang mereka perolehi dari program itu untuk memanjangkan perkhidmatan secara sukarela kepada negara dan membantu dalam waktu yang amat memerlukan. Saya percaya penubuhan BSKN boleh membantu untuk mempromosi konsep sukarelawan di kalangan belia Malaysia dalam bidang khidmat kemasyarakatan.

Melalui briged ini kita boleh mengukuhkan semangat sukarelawan untuk berkhidmat kepada masyarakat dan negara dalam masa yang amat memerlukan. Sebagai contohnya briged tersebut boleh menghulurkan bantuan kepada mangsa bencana alam seperti banjir, kebakaran, tanah runtuh dan bencana yang lain. Sukarelawan ini boleh digerakkan bukan sahaja untuk membantu mangsa-mangsa bencana tetapi juga mengadakan program gotong-royong di tempat-tempat awam dan aktiviti-aktiviti membantu melindungi alam sekitar. Melalui pengukuhan semangat sukarelawan kita boleh membantu menggerakkan anak muda Malaysia untuk merealisasikan masyarakat penyayang yang sebenar di samping memupuk integrasi kaum demi perpaduan negara. Melalui briged ini, mereka boleh menganjurkan dan mengambil bahagian dalam aktiviti-aktiviti untuk memupuk kasih sayang dan semangat patriotik untuk negara ini dalam pelbagai cara.

Sebagai contoh, penanaman pokok atau mengambil langkah-langkah untuk membersihkan tempat-tempat awam adalah amalan yang patriotik untuk menunjukkan cinta sayang kita kepada negara. Apa yang saya ingin mencadangkan adalah BSKN perlu diberikan latihan dalam bantuan bencana dan pendedahan kepada semua aspek keselamatan serta kesihatan supaya tatkala menjalankan tugas murni ini, mereka akan lebih berpengetahuan demi menjamin keselamatan dan kesihatan mereka . Walaupun mereka telah didedahkan kepada modul latihan khidmat komuniti sebagai sebahagian daripada program Latihan Khidmatan Negara selama tiga bulan di Kem Khidmat Negara, ia masih menjadi keperluan bagi ahli-ahli briged untuk diberi pengetahuan tambahan dari semasa ke semasa dalam semua aspek kerja-kerja sukarela.

Kerajaan harus memantau dengan rapat aktiviti-aktiviti BSKN dan tidak perlu teragak-agak untuk memberikan sokongan untuk memastikan kejayaan briged tersebut dan mampu memberi sumbangan penting kepada Negara. Masa telah tiba bagi Malaysia menubuhkan satu angkatan sukarelawan nasional seperti "PEACE CORPS" di Amerika Syarikat untuk menjalankan aktiviti-aktiviti sukarelawan. Dalam hubungan ini saya mengalu-alukan cadangan untuk menubuhkan Kor 1 Malaysia untuk menggembleng dan menyatukan para sukarelawan badan kerajaan dan bukan Kerajaan yang terdiri daripada pelbagai kaum untuk melaksanakan aktiviti sukarela menurut semangat 1Malaysia demi kepentingan rakyat dan negara. Usaha seperti ini juga akan membantu memperkukuhkan hubungan antara kaum dan menyumbang kepada perpaduan negara.

Kejayaan untuk menjadi sebuah negara maju banyak bergantung kepada keupayaan kepimpinan generasi muda sekarang. Generasi muda merupakan aset terpenting yang akan mewarisi kepimpinan negara pada masa depan. Oleh itu, generasi muda hari perlu dibimbing dan dipersiapkan mengikut kehendak arus pembangunan negara. Kemajuan yang berteraskan kemajuan material perlu diselarikan dengan kemajuan kerohanian. Bagi mencapai hasrat ini, pembangunan insan yang menekankan penghayatan nilai-nilai murni wajar diterapkan dalam pembangunan generasi muda.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

Sumber
Utusan Malaysia
15 Februari 2012

ISU PENDIDIKAN : ISTILAH SAINS DAN TEKNOLOGI PERLU TEPAT

Oleh SHAIKH MOHD. SAIFUDDEEN SHAIKH MOHD SALLEH
PENULIS ialah Pengarah Eksekutif, Yayasan Ilmuwan.


Satu cabaran dalam bidang berkaitan sains dan teknologi adalah menggunakan istilah yang tepat, apa lagi jika istilah itu dipinjam daripada bahasa asing. Inisiatif memperkenalkan istilah-istilah bahasa Melayu dalam bidang sains dan teknologi sudah berjalan sejak sekian lama dengan usaha awal dilihat berlaku semasa penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 1970. Cabaran menjalankan program sains dan teknologi dalam bahasa kebangsaan turut merangkumi aspek pengistilahan. Hari ini kita boleh merujuk pelbagai bahan rujukan berhubung istilah sains dan teknologi di dalam kamus dan glosari seperti yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Malah portal Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM) yang dikelolakan oleh DBP juga menjadi rujukan popular dewasa ini bagi memastikan istilah yang digunakan tepat.

Dengan pelbagai platform yang boleh dicapai oleh sesiapa sahaja (baik bahan elektronik atau cetak), masih ada pihak yang nampaknya mengambil mudah soal penggunaan istilah yang tepat. Ramai daripada kita yang pastinya masih ingat isu penterjemahan kandungan portal Kementerian Pertahanan yang menterjemahkan frasa bahasa Melayu ke bahasa Inggeris secara harfiah. Jika dalam isu itu, banyak pihak yang cepat melenting kerana penggunaan bahasa Inggeris yang salah, saya melihat tidak banyak pihak pula yang prihatin dan peka terhadap kesalahan penggunaan bahasa Melayu yang amat berleluasa. Ini memberikan gambaran yang penggunaan bahasa Melayu yang tepat seolah-olah tidak penting. Saya terpanggil memberikan pandangan mengenai isu ini apabila terbaca di dalam portal sebuah akhbar tempatan (bukan Utusan Malaysia) bertarikh 11 Februari 2012 yang melaporkan mengenai kempen yang dilancarkan oleh Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ).

Kempen MPSJ ini yang dipanggil "Kempen Penggunaan Plastik Mampan" mahu menggalakkan masyarakat menggunakan plastik biodegradable yang diistilahkan oleh MPSJ sebagai 'plastik mampan'.Istilah 'mampan' itu, menurut Portal PRPM, membawa maksud 'mampu terus berkembang dan mencapai tahap prestasi yang baik'. Saya yakin MPSJ tidak maksudkan plastik yang mampu terus berkembang atau plastik yang boleh mencapai tahap prestasi yang baik apabila melancarkan kempen ini. Seandainya MPSJ maksudkan mampan, istilah ini membawa makna 'tidak berubah-ubah dan sudah diterima umum'. Saya juga yakin bukan ini yang dimaksudkan oleh MPSJ. Jika dilihat kepada mesej yang hendak disampaikan adalah mengenai penggunaan plastik biodegradable. Sepatutnya istilah yang digunakan adalah "plastik biorosot" atau "plastik terbiodegradasi". Memang tidak dinafikan bahawa istilah yang lebih tepat ini nampak asing dan mungkin janggal bagi sesetengah orang.

Walau bagaimanapun, sekiranya kita tidak membiasakan diri dengan menggunakan istilah yang tepat, maka kita akan selama-lamanya terbiasa dengan istilah-istilah yang salah. Bagi saya, tanggungjawab menggunakan istilah yang tepat adalah tanggungjawab semua pihak. Kita sebagai pengguna bahasa seharusnya lebih peka dengan istilah-istilah yang kita gunakan. Hari ini sebenarnya tiada alasan bagi kita untuk tidak menggunakan istilah yang betul. Ini kerana capaian kepada rujukan istilah boleh diperolehi dengan mudah apa lagi dengan kepelbagaian fungsi telefon pintar sedia ada. Ramai yang sudah boleh mencapai Internet sama ada menggunakan telefon pintar atau komputer. Keluasan capaian Internet juga sudah semakin baik di negara kita. Jadi, apabila berhadapan dengan situasi untuk memilih istilah yang tepat, kita dengan mudah boleh mencapai Portal PRPM bagi membuat rujukan. Alternatif lain sudah tentulah dengan merujuk kepada kamus dan glosari yang sepatutnya dijadikan rujukan dalam memilih istilah yang sesuai dan tepat.

Pastinya cabaran yang berat digalas oleh DBP dalam aspek pemantauan bahasa. Namun, sekiranya semua pihak boleh berganding bahu, pastinya tugas memastikan penggunaan istilah dan bahasa yang baik, betul dan tepat dapat direalisasikan. Jika ramai yang prihatin dengan penggunaan bahasa Inggeris yang tepat, saya berpandangan kita juga perlu prihatin dengan penggunaan bahasa Melayu yang bukan sahaja baik tetapi tepat. Perhatian yang lebih perlu diberikan kepada istilah sains dan teknologi dalam bahasa Melayu supaya tidak berlaku penggunaan istilah yang salah. Memang merugikan apabila niat kempen itu baik dan murni tetapi istilah yang digunakan tidak melambangkan mesej sebenar yang hendak disampaikan menerusi kempen tersebut.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

Sumber
Utusan Malaysia
15 Februari 2012