10 Disember 2012

ISU IPT : MAHASISWA MALU BERTANYA


Rencana ini ditulis oleh :
Ruhaiza Rusmin
ruhaizarusmin@hmetro.com.my


Sunggutan mengenai tahap pencapaian mahasiswa kita yang sentiasa sederhana sudah lama kedengaran malah graduan yang naik ke pentas dengan keputusan cemerlang juga boleh dibilang jari. Biarpun berjaya menjejakkan kaki ke pusat pengajian tinggi dengan peluang sama rata, tidak semua menggunakan kesempatan itu untuk mengubah pencapaian diri. Tambah menyedihkan lagi, biarpun memasuki alam pengajian tinggi, mereka masih dikongkong dengan sikap pasif seperti di alam persekolahan. Adakah sikap itu menjadi punca mereka gagal mencapai kecemerlangan? Dan, benarkah tanggapan yang dilemparkan masyarakat bahawa mahasiswa kita sukar diubah?

Pensyarah Pusat Pengajian Psikologi dan Pembangunan Manusia Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr Salina Nen berkata, memang ada kebenarannya apabila masyarakat melabelkan sikap mahasiswa kita masih di takuk lama dan sukar diubah. Beliau berkata, tanggapan itu bukan dibuat secara suka-suka namun didorong perasaan tidak yakin apabila melihat sikap mahasiswa hari ini. “Saya percaya masyarakat tidak mudah membuat persepsi itu, tapi mereka membuat penilaian berdasarkan senario semasa. Cuba lihat bagaimana reaksi dan sikap sebahagian besar mahasiswa kita sewaktu di menara gading? Mereka malu bertanya, jarang berkomunikasi secara ilmiah serta mengamalkan sikap serba tahu biarpun sebenarnya tidak tahu. Apa yang berlaku itu sudah pasti mempengaruhi pemerhatian masyarakat kerana mereka sendiri yang membenarkan diri dinilai sebegitu. Cuba mahasiswa menunjukkan sikap sebaliknya, sudah tentu penilaian masyarakat juga berbeza,” katanya.

Biarpun dalam setiap majlis konvokesyen, masih ada graduan memperoleh keputusan cemerlang peratusannya masih kecil berbanding keputusan sederhana. Pencapaian itu mencerminkan bagaimana lewa dan cuai mahasiswa memanfaatkan peluang di depan mata dengan tidak belajar bersungguh-sungguh. Lebih memeritkan, sikap pasif yang hanya mengharapkan belas ihsan pensyarah atau rakan lain menjadikan mereka mudah berpuas hati. Beliau berkata, mahasiswa di menara gading seharusnya akur mereka sudah memasuki satu frasa baru yang mengkehendaki mereka berubah sikap. “Di sini (menara gading) semuanya perlu dilakukan sendiri, usah bermimpi adanya bantuan dari orang lain untuk mencapai sesuatu. Universiti adalah frasa peralihan alam persekolahan, justeru warganya perlu bijak berdikari, lebih matang, rasional serta memandang jauh ke depan, bukan mengambil jalan mudah.”

“Mahasiswa perlu mengemudi arah masa depan mengikut perancangan sendiri,” katanya mengakui kebanyakan tenaga pengajar juga berasa tertekan dan kecewa dengan sikap ditonjolkan itu. Kami (tenaga pengajar) sentiasa mengharapkan sesi pembelajaran berlangsung dalam komunikasi dua hala, wujudnya interaksi bagi mencambah pengetahuan baru dan kritis. Malangnya, ia tidak berlaku kerana kebanyakan mahasiswa seperti ‘tidur’ dan tidak mahu memberi reaksi memberangsangkan. Berbanding mahasiswa asing, reaksi mereka berbeza. Berani bertanya, suka berdebat, mampu memberi buah fikiran biarpun salah dan sebagainya. Kami tertanya-tanya mengapa mahasiswa kita tidak begini. Dalam ribuan mahasiswa, hanya sekelumit yang aktif manakala lain hanya membatu,” katanya.

Bukan mahu menidakkan kemampuan mahasiswa kerana yakin mereka yang terpilih adalah dari golongan bijak. Bagaimanapun, beliau berpendapat sikap pasif itu berpunca dari keengganan diri menerima keadaan baru dan selesa dengan persekitaran lama. “Mahasiswa kita boleh berubah dan melakukan kejutan namun mereka kebanyakannya malas selain selesa dengan persekitaran sedia ada. Mereka berpendapat, aktif dalam kuliah tidak boleh membantu untuk memperoleh keputusan baik berbanding sesi mengulang kaji. Memang merugikan kerana berdasarkan kajian, aktif bertanya dalam kuliah juga mampu menyumbang kepada peningkatan pemahaman dan pencapaian mahasiswa dalam peperiksaan,” katanya.

Mahasiswa yang aktif dalam kuliah mahupun aktiviti, juga katanya mempunyai banyak kelebihan tersembunyi. “Antaranya lebih kenali pensyarah yang boleh membantu mereka memperoleh sedikit kelebihan berbanding tidak dikenali. Hubungan mesra boleh terjalin selain pemahaman mengenai sesuatu subjek juga lebih mendalam. Malangnya kelebihan ini jarang mahu direbut kerana beranggapan jika banyak bertanya, bermakna mereka kurang bijak atau khuatir mengganggu perjalanan kelas. Dan, berdasarkan pemerhatian, mereka yang pasif ini memang akan bermasalah dari segi membina pemahaman, pembinaan jati diri selain sukar memperoleh keputusan baik,” katanya.

Mengulas tanggapan sikap itu ada kaitan dengan sistem pendidikan sekolah, beliau tidak meletakkan kesalahan seratus peratus padanya. “Sebagai mahasiswa, mereka harus tahu alam pengajian di universiti cukup berbeza. Perlu ada keinginan sendiri, bijak menyesuai diri dengan persekitaran dan sebagainya. Tiada lagi istilah ‘manja’ atau perlu ditatang sentiasa. Universiti tempat persediaan untuk melangkah alam dewasa. Jika dalam tempoh itu mereka masih sama dan terus mengekalkan sikap keanak-anakan, apakah mereka mampu berdepan cabaran lebih hebat selepas itu,” soalnya.

Pensyarah juga diharap dapat menggunakan pendekatan berbeza bagi menarik perhatian mahasiswa supaya lebih proaktif dalam dewan kuliah. “Ada kalanya cara pembelajaran pensyarah yang pasif juga gagal memikat perhatian mahasiswa menjadikan mereka kurang berminat. Untuk itu, kedua-dua pihak perlu peka dan saling berusaha menghidupkan suasana supaya proses pembelajaran menjadi lebih seronok dan memberi manfaat bersama,” katanya. Begitupun masih belum terlambat untuk memperbetulkan keadaan dan berharap mahasiswa alaf baru mesti berani bangkit melakukan anjakan minda dan keluar dari kepompong keselesaan. “Biarpun senario mahasiswa pasif sudah lama, mereka boleh mengubah keadaan dengan berani memulakan langkah pertama. Setiap orang boleh berubah kecuali mereka yang mahu gagal saja tidak mahu melakukannya,” katanya.

Sumber
Harian Metro
10 Disember 2012
Catat Ulasan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts with Thumbnails