08 Disember 2012

ISU GLOBAL : SAMPAI BILA ISREAL DIBIAR MENYEMBELIH PALESTIN?


Rencana ini ditulis oleh :
NURUL ANUAR KARI
anuar.kari@utusan.com.my


Konflik berterusan antara dunia Arab, khususnya warga Palestin dan bangsa Yahudi yang menubuhkan negara haram Israel di atas tanah mereka nampaknya tidak akan berakhir dalam hayat generasi yang hidup kini. Sejak penjajahan yang meragut jutaan nyawa demi penubuhan Israel pada 1948 di tengah-tengah dunia Arab, orang Yahudi tidak dapat diusir lagi mahupun disabitkan atas sebarang jenayah dan kekejaman terhadap penduduk Palestin. Bukannya kerana tiada kerajaan Arab yang mahu bertindak tetapi jajahan Zionis itu dilindungi oleh kuasa-kuasa besar dunia. Warga Palestin sebenarnya terdiri daripada pelbagai puak yang beragama Islam, Kristian, Yahudi dan agama-agama lain sementara pendokong fahaman Zionisme pula rata-ratanya dilihat adalah bangsa Yahudi yang lari daripada penindasan di Barat.

Sejak perang Arab-Israel 1948, banyak siri serangan balas antara kedua belah pihak berterusan sebelum reda untuk seketika dan bermula semula. Antaranya krisis Suez 1956 yang menyaksikan Israel menduduki Semenanjung Gaza dan menghalau kerajaan Palestin ketika itu. Penubuhan Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) pada 1964 oleh Allahyarham Yasser Arafat menerima sokongan kuat negara-negara Arab tetapi perang enam hari pada 1967 membantutkan usaha nasionalisme PLO. Israel sekali lagi menawan Semenanjung Gaza dan Tebing Barat, sekali gus menyekat PLO daripada membentuk sistem pentadbiran sendiri di bumi Palestin, sekali gus memaksa anggota pertubuhan itu melarikan diri ke Jordan sebelum berpindah ke selatan Lebanon. PLO meneruskan tentangan dari Lebanon menyebabkan serangan balas dan penjajahan penuh negara itu oleh Israel pada 1978.

Selepas berundur, Israel menyokong pihak lawan PLO di Lebanon menyebabkan bermulanya perang saudara 1982 sehingga memaksa PLO berpindah ke Tunisia tetapi langkah itu turut memulakan konflik antara rejim zionis itu dengan Syria. Walaupun Israel berundur ke 10 kilometer sempadan Lebanon yang dijajah pada 1985, serangan daripada kumpulan Syiah yang disokong Iran mula meningkat seterusnya membawa kepada kebangkitan rakyat Palestin melalui Intifada pertama antara 1987 hingga 1993. Intifada pertama itu menyaksikan penentangan besar-besaran terhadap penjajahan Israel serta 'pembersihan' perisik Yahudi dalam kalangan penduduk Palestin. Selepas 1,100 warga Palestin dibunuh tentera Zionis, 1,000 rakyat Palestin yang dilabel pengintip terbunuh dan 164 warga Israel terkorban, Perjanjian Oslo ditandatangani kedua belah pihak pada 1993 yang akhirnya membolehkan PLO membentuk kerajaan sendiri di Tebing Barat dan Semenanjung Gaza.

Namun, penentangan usaha damai menyaksikan kumpulan seperti Hamas meneruskan serangan kecil ke penempatan Yahudi sementara di Israel, Presiden Yitzhak Rabin dibunuh seorang fanatik Yahudi menyebabkan kerajaan Zionis menarik diri daripada rundingan damai pada 1996. Tanpa rundingan yang berjaya, Intifada kedua bermula pada September 2000 dan berlanjutan sehingga 2005, menyaksikan lebih 7,000 nyawa terkorban termasuk lebih 6,000 warga Palestin, kira-kira 1,000 Yahudi dan lebih 60 orang warga asing. Konflik terbuka antara pihak berkuasa Palestin dan tentera Israel itu menyebabkan penduduk Yahudi di Gaza dipindahkan ke wilayah lebih selamat pada 2005 tetapi Israel tetap enggan melepaskan Gaza daripada genggamannya. 

Setahun selepas itu, Hamas memenangi pilihan raya di Gaza dan memulakan pergeseran baru dengan Israel yang memulakan sekatan laut ke wilayah tersebut sementara sekatan darat dibuat dengan kerjasama Mesir di pintu masuk ke Gaza. Konflik berterusan antara Israel dan Hamas yang menerima bantuan serta sokongan Iran memuncak dalam Perang Gaza pada 2008 yang berlanjutan sehingga Februari 2009, meragut 2,000 nyawa penduduk awam. Usaha pihak berkuasa Palestin untuk menjadi ahli Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 2011 gagal tetapi usaha tersebut diteruskan pada 2012 dan kini dipercayai menjadi punca Israel melancarkan serangan besar-besaran terbaru ke Genting Gaza.

Sumber
Utusan Malaysia
1 Disember 2012
Catat Ulasan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts with Thumbnails