04 November 2012

PESANAN CIKGU ZUL


Assalamualaikum dan salam 1Malaysia,


Debaran calon-calon yang akan menduduki Peperiksaan STPM Modular buat kali pertama bagi Semester 1 Tahun 2012 akan bermula esok dengan kertas Pengajian Am. Saya percaya debaran ini bukan sahaja dirasai oleh pelajar-pelajar Tingkatan Enam Bawah malahan guru-guru yang mengajar mereka sepanjang 5 bulan yang lalu. Sudah menjadi lumrah, sesuatu yang baharu memang menimbulkan pelbagai persoalan dan teka-teki yang tidak terjawab. Walau bagaimanapun, suka atau pun tidak kita harus menerima hakikat perubahan kurikulum Tingkatan Enam yang bermula pada tahun 2012 harus diteruskan dan diterima baik oleh semua pihak.

BAHASA MELAYU 910/1

Bagi calon-calon yang akan menduduki Bahasa Melayu 910/1, perkara utama yang menjadi perdebatan sekarang ialah kekangan masa. Guru-guru yang prihatin selalu menyuarakan bahawa pelajar tidak cukup masa untuk menjawab kerana masa yang diberikan hanyalah 2 jam sahaja. Berdasarkan laporan, rata-rata pelajar gagal menyiapkan salah satu bahagian terutamanya Bahagian C iaitu Penulisan Esei Tidak Berformat. Saya percaya, setiap komen dan keluhan para guru dan pelajar-pelajar sekalian sudah sampai kepada pihak yang bertanggungjawab. Walau bagaimanapun, ketetapan masa 2 jam itu tidak boleh diubah dan kita kena akur. Yang penting, perancangan masa harus betul. Itulah maknanya peperiksaan!

Walau bagaimanapun, setelah berbincang dengan beberapa guru pakar, pembahagian masa menjawab amatlah penting. Pelajar harus bersedia dari segi mental dan fizikal sepanjang masa peperiksaan berlangsung. Masalah peribadi dan masalah kesihatan yang datang tanpa diduga boleh menjejaskan prestasi dan pencapaian. Oleh sebab itu, cubalah bertenang dalam tempoh masa ini. Jangan bebankan minda muda anda dengan pelbagai permasalahan yang boleh menghancurleburkan masa depan. Perjalanan meniti tangga kejayaan bukannya semudah memasang angan dan melayan mimpi di malam hari, tanpa usaha dan pengorbanan daripada diri sendiri, adalah sukar untuk mara kerana banyak liku-liku dan cabaran yang perlu dilalui.

Bahasa Melayu 910/1 terbahagi kepada 3 bahagian iaitu :

BAHAGIAN A 
Soalan objektif
Markah : 20 %
Cadangan Masa : 20 minit sahaja

BAHAGIAN B 
Soalan struktur
Pemikiran Kritis dan Analitis
Markah : 30 %
Cadangan Masa : 30 minit sahaja

BAHAGIAN C
Penulisan Esei Tidak Berformat
Markah : 50%
Cadangan Masa : 1 jam 10 minit

Secara peribadi, saya mencadangkan pelajar-pelajar sekalian menjawab ketiga-tiga bahagian tersebut mengikut keutamaan markah iaitu Bahagian C, B, dan akhir sekali barulah menjawab bahagian A.  Walau bagaimanapun, sukacita saya mengingatkan bahawa anda haruslah menjawab kesemua soalan kerana semua bahagian adalah penting. Hal ini demikian kerana jika calon tidak menjawab salah satu bahagian, maka mereka akan kehilangan markah untuk bahagian tersebut. Sebagai contohnya, jika seseorang calon tidak menjawab bahagian B, maka calon tersebut akan kehilangan 30 markah.

Apabila kita menduduki peperiksaan tujuan utama kita adalah untuk mendapat markah yang tinggi dalam subjek tersebut. Oleh sebab itu, calon harus menjawab kesemua soalan seperti yang diarahkan. Jangan berputus asa. Selagi masih ada masa, teruskan berfikir dan menulis jawapan. Jangan sesekali berhenti sebelum tiba masanya. Jika masa yang diberikan selama 2 jam maka gunakanlah masa itu dengan sebaik-baiknya. Jangan sesekali membazir masa dengan duduk termanggu-manggu tanpa melakukan apa-apa. Sebagai pelajar Tingkatan Enam, saya percaya anda tidak mahu kegagalan kerana semua mempunyai keinginan untuk menjejakkan kaki ke menara gading. Jadi, amalkanlah prinsip, “genggam bara api, biar sampai jadi arang”. Anda boleh jika yakin pada diri sendiri.

Anda semua sudah mencatat sejarah kerana andalah calon pertama yang memulakan sistem modular di Tingkatan Enam. Oleh itu, berazamlah untuk mencatat sejarah peribadi dengan keputusan yang cemerlang. Percayalah, anda mampu melakukannya. William J. siegal pernah mengatakan “Manusia tidak merancang untuk gagal, mereka gagal untuk merancang”. Ingatlah, kejayaan itu hak milik setiap insan yang gigih berusaha. Jika anda sayangkan diri anda maka berusahalah untuk mencapai kejayaan. 

SELAMAT MENJAWAB

Daripada :
Cikgu Zulkarnain Farihin
SMK Sacred Heart, Sibu
Catat Ulasan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts with Thumbnails