16 November 2012

ISU UMUM : RAKYAT PERLU INSAFI BEBAN PERDANA MENTERI


Rencana ini ditulis oleh :
DZULKARNAIN TAIB
Presiden Kelab Wartawan Muda Malaysia dan
bekas Ketua Pengarang Suara Keadilan.


Kerusi Perdana Menteri merupakan jawatan tertinggi dalam strata pentadbiran negara. Jawatan Perdana Menteri dalam konteks Malaysia adalah sangat unik kerana jawatan tersebut menuntut pertanggungjawaban dari seluruh pihak yang berbeza latar belakang agama, bangsa, budaya, sejarah, bahasa dan orientasi yang bersifat dinamik dan berubah-ubah. Jawatan yang penuh cabaran dan bebanan ini memerlukan seorang yang benar-benar mempunyai kemampuan dan kebijaksanaan untuk memenuhi tuntutan pelbagai pihak yang berbeza kepentingan dan keperluan mereka. Tidak sedikit negara yang meramalkan negara bangsa yang ditubuhkan pada 31 Ogos 1957 ini yang mempunyai struktur masyarakat yang begitu berkecamuk dan carca marba boleh bertahan.

Sebilangan sarjana seperti Profesor Emeritus Clive Kessler, seorang Profesor Kajian Sosiologi dan Antropologi dari Universiti New South Wales, Australia menyebut Malaysia adalah umpama sebutir bom jangka yang menunggu masa untuk meledak. Ini merujuk kepada konteks masyarakat majmuk pelbagai kaum, agama, bahasa, tradisi, budaya, sejarah serta ideologi dan hala tuju. Justeru jawatan Perdana Menteri di Malaysia tidak hanya perlu dilihat dari sudut politik demokrasi sepenuhnya dalam erti kata negara bangsa di Barat. Ini juga menggambarkan watak Bendahara - ingat watak Tun Perak dan seumpama - yang disayangi rakyat dan pada masa yang sama melindungi kepentingan tradisi kenegaraan. Selain memikul tanggungjawab legasi lampau yang diperturunkan oleh Perdana Menteri sebelumnya, Perdana Menteri sekarang juga terpaksa berhadapan dengan persekitaran sosio-politik dunia baru yang amat berbeza dan penuh hambatan.

Inilah senario yang dihadapi oleh Perdana Menteri sekarang, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak. Dengan mengambil kira semua faktor ini kita boleh merumuskan dengan mudah, bukan calang-galang orang yang mampu memikulnya. Dalam keadaan diasak oleh tanggungjawab semasa yang begitu rencam dan getir serta dihimpit dengan peranan lalu yang wajib juga diteruskan, Perdana Menteri sekarang masih menunjukkan watak yang tenang, mesra dan waras dalam persekitaran sosiopolitik yang membuak-buak. Apakah pemegang jawatan ini harus dibiarkan untuk terus dihambat, dihimpit dan diasak tanpa henti? Serangan dan desakan bertalu-talu yang dilakukan tanpa henti dan silih berganti oleh pihak-pihak berkepentingan di dalam dan di luar kerajaan khususnya kelompok pembangkang tanpa sebarang rasa simpati dan peduli, seharusnya dikendurkan.

Sehubungan itu, penulis berpandangan amanah dan ujian yang dihadapi oleh perdana menteri sekarang tidak terbayangkan duri dan ranjaunya. Adalah diharapkan semua pihak menginsafi suasana yang dihadapi oleh Perdana Menteri dan memberikan beliau, atas prinsip keadilan, kemanusiaan dan keagamaan sedikit masa dan ruang untuk bertafakur dan beristirehat daripada segala kerenah yang menghujaninya. Maka itu kumpulan-kumpulan yang berkepentingan seperti Hindraf, Suaram, Bersih, SIS (Sisters In Islam), PUM, kumpulan anti dan pro-Lynas serta kumpulan anti dan pro-AES perlu bermuhasabah diri dan tidak memilih tindakan kebudak-budakan yang hanya tahu merengek, menjerit, merampus, menunjuk laku dan saling mendesak. Ini juga termasuk pihak-pihak dan individu-individu yang melemparkan idea kontroversi yang mencetuskan ketegangan seperti Melayu boleh tukar agama, kebebasan individu lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), dan simpati melulu terhadap fahaman pluralisme agama.

Pandangan pelampau yang menuntut hak royalti minyak yang keterlaluan serta kumpulan minoriti yang mendahulukan kepentingan satu pihak, juga perlu melihat kepentingan kolektif dan nasional di atas segala-galanya. Mereka sebaliknya harus menjadi lebih dewasa dan matang untuk mengusulkan apakah bentuk pendekatan yang boleh dikongsi bersama bagi mencari jalan penyelesaian yang sebaik mungkin. Seandainya semua pihak ingin mendapatkan hak mereka masing-masing dengan mengabaikan keutamaan yang merentasi kepentingan semua pihak, nescaya apa yang kita nikmati sekarang akan berkecai. Sebagai Perdana Menteri, tanpa menafikan perlu dan sahnya segala tuntutan satu pihak tadi, beliau tentunya lebih memikirkan dan menumpukan kepada tanggungjawab kolektif yang jauh lebih besar demi mempertahankan dan melindungi kepentingan bersama yang menjadi asbabul wujud (sebab-sebab keberadaan) negara Malaysia.

Oleh itu adalah menjadi harapan besar agar semua pihak membina jiwa dan pemikiran yang lebih besar untuk meletakkan keutamaan permuafakatan bersama di atas segala-galanya dan mendokong Perdana Menteri dalam melaksanakan tanggungjawab ini.

Sumber
Utusan Malaysia
16 November 2012
Catat Ulasan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts with Thumbnails