05 November 2012

BAHAGIAN B : PEMIKIRAN KRITIS DAN ANALITIS


SOALAN 1

Soalan yang biasanya ditanya berkaitan dengan maksud kata atau frasa. Calon digalakkan memberikan maksud frasa dan kata tersebut berdasarkan konteks bukan berdasarkan kamus atau dengan mencari perkataan yang sama erti sepatah demi sepatah perkataan tersebut. Maksud berdasarkan konteks bermakna maksud yang diberikan berdasarkan persepsi calon mengenai petikan tersebut. Dalam hal ini, kematangan dan pemahaman yang mendalam mengenai frasa atau kata yang terdapat dalam petikan amatlah penting.

Contoh :

Apakah maksud frasa “… membawa dimensi baharu kepada sektor pertanian di negara ini” dalam teks di atas?

Jawapan yang dicadangkan

Frasa “… membawa dimensi baharu kepada sektor pertanian di negara ini” bermaksud membawa perubahan atau pembaharuan yang lebih baik kepada sektor pertanian di negara kita.

Soalan 2

Soalan 2 biasanya difokuskan kepada mesej, pandangan, pendapat dan sebagainya yang berkaitan dengan petikan. Biasanya, soalan 2  memerlukan calon mendapatkan jawapan dengan membaca petikan tersebut dengan teliti.

Contoh :

Menurut penulis, bagaimanakah interaksi antara kaum dapat dipertingkatkan?

Berdasarkan petikan, apakah mesej yang ingin disampaikan oleh penulis?

Apakah fokus utama perbincangan petikan ini?

Jawapan yang dicadangkan

Calon perlu memberikan jawapan dengan merujuk kepada petikan. Berikan jawapan dalam lingkungan 3 hingga 4 isi bergantung kepada jumlah markah yang diberikan.


Soalan 3

Calon perlu menjawab soalan 3 atau soalan terakhir (Jika soalan melebihi daripada 3 soalan) dengan kepanjangan jawapan tidak melebihi 150 patah perkataan. Jika calon menulis jawapan melebihi 150 patah perkataan, bahagian yang selebihnya tidak akan disemak.

Perkara penting

1. Markah untuk soalan ini ialah 20 markah
2. Markah isi ialah 15 markah
3. Markah bahasa ialah 5 markah
4. Calon perlu memberikan 3 isi sahaja
5. 1 isi diperuntukan 5 markah.
6. Isi 2 markah + huraian 3 markah = 5 markah
7. Markah bahasa bergantung kepada kesalahan sintaksis

Cara menjawab

1. Tulis jawapan dalam tiga perenggan
2. Satu isi satu perenggan
3. Pendahuluan dan penutup tidak diperlukan
4. Satu isi perlu ada sekurang-kurangnya 3 huraian
5. Satu perenggan hendaklah dalam lingkungan 50 patah perkataan

Contoh Jawapan

Soalan

Bahasa penting dalam kehidupan manusia, masyarakat, dan negara.

Berikan huraian anda tentang penyataan di atas. Jawapan anda hendaklah tidak lebih daripada 150 patah perkataan.

        Pada pendapat saya, bahasa penting kepada manusia kerana manusia menggunakan bahasa untuk berkomunikasi. Umum mengetahui bahawa dengan adanya bahasa, urusan manusia akan menjadi lebih lancar dan mudah. Hal ini demikian kerana manusia menggunakan bahasa untuk apa-apa jua urusan termasuk hubungan dengan Tuhan. Jika tiada bahasa, urusan komunikasi seseorang akan menjadi sukar.

             Seterusnya, bahasa berperanan penting kepada masyarakat demi melahirkan masyarakat yang bersatu padu. Perpaduan merupakan asas kesejahteraan sesebuah negara. Negara yang dihuni oleh masyarakat pelbagai kaum seperti Malaysia memerlukan satu bahasa yang difahami oleh semua kaum. Dengan ini, secara tidak langsung perpaduan dalam kalangan rakyat dapat dipertingkatkan.

              Di samping itu, sebuah negara yang berdaulat dan merdeka haruslah mempunyai bahasa kebangsaan yang merupakan jati diri mereka. Oleh sebab itu, setiap negara mempunyai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaannya sendiri sebagai lambang jati diri yang unggul. Rakyat Malaysia harus faham bahawa bahasa Melayu merupakan lambang jati diri yang perlu dipertahankan.

[ 147 patah perkataan]
Catat Ulasan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts with Thumbnails