29 Oktober 2012

ISU UMUM : JANGAN LUPA ASAS HUKUMAN MATI MANDATORI KESALAHAN MENGEDAR DADAH


Rencana ini ditulis oleh
Azman Anuar


Saya terkejut membaca laporan berita mengatakan kerajaan sedang menimbang cadangan menangguhkan pelaksanaan hukuman mati terhadap pesalah dadah di negara ini. Keputusan itu akan bergantung pada hasil kajian semula yang dijalankan Pejabat Peguam Negara. Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, jika dipersetujui, satu inisiatif akan dilakukan bagi mewujudkan moratorium (penangguhan) terhadap hukuman mati terhadap mereka yang didapati bersalah memiliki dadah. Permohonan penangguhan itu dikatakan wajar atas alasan sebahagian daripada 900 orang yang sedang menunggu hukuman mati ketika ini adalah pesalah dadah.

Satu lagi sebab kajian semula hukuman itu dilakukan, sebagaimana kata Mohamed Nazri bertujuan menyelamatkan nyawa rakyat Malaysia di luar negara seperti China, Columbia, Peru dan Venezuela yang berdepan hukuman mati akibat menjadi keldai dadah. Cuba kita renung dan fikirkan nasib keldai dadah kita di penjara negara asing itu. Adakah disebabkan untuk menyelamatkan nyawa mereka, perundangan negara perlu diubah? Dalam hal melibatkan dasar negara, maka kita mengharapkan sangat agar pihak Jabatan Peguam Negara dan Kabinet membuat keputusan yang bijak supaya keputusan yang bakal diambil itu tidak mengecewakan masyarakat.

Dalam ingatan saya, asas pelaksanaan hukuman mati mandatori atas kesalahan edar dadah adalah untuk memerangi serta sebagai peringatan keras kepada pengedar dadah. Hukuman mati terhadap pesalah dadah diperkenalkan di negara ini pada tahun 1975. Hampir semua agensi, pertubuhan bukan kerajaan dan masyarakat digerakkan untuk membanteras masalah penyalahgunaan dadah ke arah menjadikan Malaysia negara bebas dadah pada 2015. Adakah kita sudah lupa asas-asas ini? Kita pernah dicemuh kerana dasar hukuman yang dianggap kejam tetapi pemimpin kita mempertahankannya dengan memberi hujah yang bernas. Rakyat negara kita dan masyarakat antarabangsa pun akhirnya menerima ketegasan undang-undang dadah negara kita ini.

Pada saya jika terlalu sayangkan nyawa beberapa orang keldai dadah yang fikir seronok sahaja dapat melancong ke luar negara dan mudah diperdaya sindiket dadah antarabangsa, maka elok kerajaan lantik dan upah peguam yang hebat. Dan bukan ubah dasar undang-undang negara. Jika asas mahu mengubah perundangan negara ini ada kaitan dengan kesalahan keldai dadah, ada pihak mencadangkan kita memasukkan klausa khusus mengenai keldai dadah agar membuka ruang kepada pihak kehakiman untuk menentukan hukuman. Jangan disebabkan kita mempunyai undang-undang yang ketat, kita beranggapan pihak lain tidak akan memberi kelonggaran hukuman kepada rakyat kita di penjara luar negara.

Bayangkan jika keldai dadah dan pengedar antarabangsa tidak ditahan oleh mana-mana pihak berkuasa negara ini atau negara asing, apa jadi kepada rakyat dan generasi dunia. Ketagihan dadah bukan seperti rokok. Malah dadah sekarang dalam pelbagai bentuk dan pil. Banyak kesan negatif dibawa bersamanya. Selain padah kepada diri penagih, dadah juga 'mencipta' jenayah-jenayah sosial yang sehingga hari ini belum berjaya kita tangani sebenar-benarnya. Kita sudah lama memberi mesej jelas kepada rakyat dan masyarakat antarabangsa, hukuman terhadap pesalah dadah di Malaysia amat berat sehingga hukuman mati mandatori. Jika negara lain pun mempunyai undang-undang yang ketat terhadap jenayah dadah, kita patut hormati dan bersama-sama mereka memerangi jenayah antarabangsa ini.

Masalah penyalahgunaan dadah ini merupakan gejala sejagat dan usaha pembanterasannya memerlukan kerjasama di peringkat serantau dan antarabangsa. Jangan beri kemenangan kepada ketua sindiket dadah. Memang dalam perang memerangi dadah, akan ada yang menjadi korban. Keldai dadah sudah direkrut menjadi tentera sindiket dadah, maka kita terpaksa menawan dan menghukum mereka walaupun jeneral mereka masih bebas. Khabarnya seramai 900 pesalah dadah kini menunggu hukuman mati di negara ini. Daripada jumlah itu, 75 warga Indonesia menjadi banduan 'bilik akhir' kerana kesalahan dadah tersebut.

Hidup mati mereka kini bergantung pada cadangan penangguhan hukuman gantung mandatori yang mana Pejabat Peguam Negara sedang melakukan kajian semula untuk menghapuskan hukuman mati di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. Khabarnya inisiatif untuk 'memansuhkan' hukuman mati juga akan membantu rayuan terhadap keldai dadah warga Malaysia yang berdepan hukuman mati di negara asing termasuk seorang yang kini berdepan hukuman itu di Indonesia. Pada saya, jika pada 17 Oktober 2011, hasil surat rayuan Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono terhadap 17 banduan bilik akhir warga Indonesia di negara ini, empat daripadanya diringankan kepada hukuman penjara seumur hidup manakala seorang diringankan kepada hukuman penjara sepanjang hayat, mengapa pendekatan timbal balik ini tidak diusahakan?

Apa pun terserah kepada bijak pandai di Jabatan Peguam Negara serta anggota Kabinet yang dipilih oleh rakyat memutuskan hukuman terbaik bagi menggantikan hukuman mati mandatori bagi pesalah dadah. Pada masa ini kita berpegang pada kata-kata Mohamed Nazri yang "percaya hukuman (baharu) kelak tidak akan bertambah atau berkurang tetapi bersifat adil."

Sumber
Utusan Malaysia
27 Oktober 2012
Catat Ulasan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts with Thumbnails