02 Oktober 2012

ISU SOSIAL : WANITA PENCETUS EKONOMI BARU


FAUZIAH AROF


Semua mengakui apabila bercakap perihal kaum wanita yang kini membentuk separuh daripada penduduk di negara ini, peranannya sudah tentu bukan lagi terhad dalam menggalas tugas-tugas tradisi iaitu menjaga hal-hal keluarga dan rumah tangga. Selain pencapaian dalam pendidikan yang mendorong seseorang wanita itu membentuk kerjaya dalam bidang profesional, kebanyakan wanita kini tidak kira apa tahap pendidikannya berperanan mengukuhkan ekonomi keluarga. Mereka membantu suami atau keluarga, keluar bekerja dalam berbagai-bagai sektor di negara ini. Apa jua bidang kerja yang dulunya sinonim atau dikuasai oleh golongan lelaki tidak kira dalam kolar biru atau putih, kini wanita turut sama menyertainya. 

Bukan niat untuk bersaing dengan lelaki, tetapi memenuhi tuntutan untuk mencari rezeki membantu keluarga. Jangka masa bekerja juga tidak terbatas pada waktu pejabat, mereka turut bekerja siang dan malam. Kemampuan ini menyamai lelaki dan tiada apa lagi yang luar biasanya apabila membincangkan mengenai keupayaan wanita yang bekerja di negara ini. Pun begitu, penglibatan wanita dalam pekerjaan formal tidak pula membebaskan mereka daripada tanggungjawab terhadap keluarga. Betapa tinggi pun pangkat mereka di tempat kerja, wanita perlu menjalankan tanggungjawab hakiki mereka iaitu berperanan sebagai isteri kepada suaminya dan ibu kepada anak-anaknya

Sehubungan itu, penglibatan wanita dalam sektor pekerjaan swasta dan awam di negara ini semakin hari semakin bertambah. Kadar penyertaan tenaga kerja wanita di negara ini adalah 47.9 peratus (%). Sehingga Julai tahun ini, jumlah keseluruhan penjawat awam wanita ialah 591,195, manakala dalam sektor swasta pula sudah tentu melebihi bilangan itu.

Di Malaysia, walau apa jua peranan yang dimainkan oleh kaum wanita, tidak kira menjadi ibu, isteri dan seorang penjawat awam atau swasta, golongan ini tidak akan terlepas pandang oleh kerajaan malah berbagai dasar dan insentif dibuat sebagai pembuka jalan dan unit-unit serta undang-undang diwujudkan untuk melindungi hak dan kebajikan wanita. Pada kerajaan, golongan wanita bukan sekadar berperanan dalam mengukuhkan institusi sesebuah keluarga tetapi turut membantu menjana pertumbuhan ekonomi negara. Dalam pada itu, kerajaan juga membentuk dasar 30 peratus penyertaan wanita di peringkat pembuat keputusan dalam sektor awam. Pembentukan dasar ini menyaksikan bilangan wanita yang menyandang jawatan utama sektor awam (JUSA) meningkat daripada 18.8% pada 2004 kepada 31.7% pada 2011. Pun begitu, bilangan wanita yang memegang jawatan peringkat pengurusan tertinggi dalam badan berkanun menunjukkan penurunan daripada 17.8% pada 2004 kepada 13.6% pada Ogos 2012.

Sehingga Julai lalu, enam jawatan Ketua Setiausaha Kementerian disandang oleh wanita berbanding empat jawatan pada 2006 dan 2007. Dan, sebanyak 18 (30.5%) jawatan Timbalan Ketua Setiausaha (TKSU) serta 13 atau 11.9% jawatan Ketua Pengarah di jabatan / agensi kerajaan disandang oleh wanita. Sementara itu, bilangan wanita yang dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah di syarikat Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) meningkat daripada 11.0% pada 2005 kepada 14% pada 2012. Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat juga melaksanakan Program Pengarah Wanita iaitu program yang dirangka bagi meningkatkan pengetahuan serta kemahiran kritikal calon wanita yang berpotensi tinggi untuk melaksanakan peranan sebagai ahli lembaga pengarah syarikat. Setiap tahun, kerajaan mengadakan sambutan Hari Wanita Kebangsaan yang bertujuan memberikan pengiktirafan kepada wanita di atas sumbangan mereka dalam pembangunan dan kemajuan negara.

Sambutan ini juga memberi maklumat dan pengetahuan kepada masyarakat umum khususnya golongan wanita tentang peranan mereka yang semakin mencabar dalam bidang ekonomi, sosial dan politik untuk mengharumkan nama Malaysia. Bertepatan dengan peranan wanita yang semakin besar dan mencabar, tema sambutan Hari Wanita Kebangsaan 2012 yang disambut hari ini ialah "Wanita Pencetus Ekonomi Baru". Sempena sambutan kali ini, lima tokoh wanita pelbagai kaum dianugerahi penghargaan dan pengiktirafan. Menurut Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Dr. Noorul Ainur Mohd Noor, kehadiran lima tokoh berkenaan amat bermakna seiring dengan kejayaan dan kebangkitan golongan wanita hari ini. Kelima-lima tokoh wanita itu dipilih berdasarkan sumbangan dan jasa mereka kepada negara bermula sebelum merdeka hingga era sekarang. Sumbangan mereka wajar dijadikan pemangkin untuk generasi baru terus mengangkat martabat wanita Malaysia. Yang menjadikan sambutan Hari Wanita hari ini lebih istimewa ialah majlis itu dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga merangkap Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang akan diadakan di Sunway Pyramid Convention Centre (SPCC), Petaling Jaya, Selangor.

Sambutan Hari Wanita ini sudah tentunya memberi makna kepada wanita. Ini kerana peranan dan sumbangan mereka sentiasa diambil kira di mana sahaja mereka berada di pelosok negara ini, walaupun di ceruk pedalaman.

Sumber
Utusan Malaysia
2 Oktober 2012
Catat Ulasan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts with Thumbnails