10 Oktober 2012

ISU SOSIAL : KEKANG BUDAYA HIDUP BERHUTANG


Rencana ini ditulis oleh :
DR ASYRAF WADJI DASUKI


Ahad lalu penulis berada di Doha, Qatar semalaman atas jemputan sebuah universiti di sana yang melantik penulis selaku Penilai Luar Antarabangsa bagi tesis sarjana seorang pelajar berbangsa Jerman yang sudah memeluk Islam. Beliau kini bekerja di sebuah institusi perbankan Islam di Qatar. Tesis beliau adalah berkenaan dengan penstrukturan produk kewangan Islam berpandukan suluhan Maqasid al-Syariah. Penulis tidak berhajat mengulas mengenai tesis beliau. Cuma penulis ingin berkongsi sebahagian daripada perbincangan kami mengenai fenomena berhutang yang kian membarah kalangan masyarakat di negara Barat yang kini merebak ke Timur Tengah. Malah Malaysia juga kini berhadapan dengan budaya berhutang kalangan masyarakat lantaran kecenderungan untuk hidup melebih kemampuan.

Sememangnya budaya berhutang terutamanya dalam penggunaan kad kredit mahupun melalui pembiayaan peribadi tampak menjadi wabak yang kian membiak dan memudaratkan dalam masyarakat ketika ini. Lebih mencemaskan rata-rata yang diisytiharkan muflis kad kredit adalah golongan muda yang menjadi aset penting negara masa depan. Sikap sesetengah institusi perbankan yang cuba mengaut keuntungan jangka pendek dengan menawarkan pelbagai insentif terhadap produk berupa pembiayaan peribadi turut menyumbang kepada gejala gaya hidup berhutang. Sering kali juga fokus pemasaran produk pembiayaan ini tertumpu kepada golongan penjawat awam yang mempunyai gaji tetap. Namun pembiayaan sebegini hanya menjurus kepada budaya berhutang bagi tujuan hidup mewah, melebih apa yang diperlukan.  

Ramai yang mulai menyuarakan kebimbangan terhadap fenomena sebegini hingga mencetuskan pelbagai cadangan termasuklah memperketat pengeluaran kad kredit dan syarat membolehkan individu mendapatkan pembiayaan peribadi daripada bank tempatan. Namun bagi penulis, isu ini perlu ditangani secara bersepadu yang tidak hanya bersifat penguatkuasaan mahupun sekatan. Apa yang juga mustahak ialah mengambil pendekatan mendidik generasi muda dan masyarakat amnya agar lebih berhemah dan bijak dalam menguruskan kewangan dan perbelanjaan hidup berasaskan prinsip dan nilai muamalah Islam yang sejati. Sememangnya aspek perbelanjaan dan pengurusan kewangan adalah antara sifat utama seorang mukmin.

Ini jelas dinukilkan ALLAH sebagaimana firman-Nya: "(Iaitu) mereka yang beriman kepada yang ghaib, yang mendirikan solat dan membelanjakan sebahagian rezeki yang Kami anugerahkan kepada mereka." 
(Surah Al-Baqarah : 3)

Setiap rezeki dan harta yang dimiliki adalah kurniaan ALLAH yang wajib dibelanjakan berasaskan prinsip dan nilai mengikut syariat. Prinsip Islam memperuntukkan agar pemilik harta membelanjakan hartanya secara berhemah untuk kepentingan dirinya, keluarganya dan untuk kepentingan perjuangan di jalan ALLAH bebas daripada kebakhilan dan kekikiran. Namun, dalam keadaan yang lain, manhaj Islam yang adil turut mengharamkan sikap membazir dan berlebih-lebihan. Setiap sen daripada harta yang diperoleh mahupun dibelanjakan akan dipertanggungjawabkan oleh ALLAH pada setiap insan : dari mana dia memperolehnya? Dan bagaimana pula dia membelanjakannya? Demikianlah ajaran dan tuntunan Nabi SAW kepada setiap umat manusia.

Begitulah hebatnya Islam berbanding agama lain yang membenarkan penganutnya untuk menikmati kehidupan di dunia. Malah Islam menentang keras gaya hidup seperti rahib atau pendeta dalam amalan agama Kristian, Manuisme, Sufisme, Hinduisme dan lain-lainnya yang membekukan kehidupan dan menghalangi perkembangan peradaban. Firman ALLAH SWT yang bermaksud: "Siapakah yang mengharamkan perhiasan daripada ALLAH yang telah dikeluarkan-Nya untuk hamba-Nya dan (siapa pula yang mengharamkan) rezeki yang baik." (Surah Al-A’raf : 32). Firman ALLAH SWT yang bermaksud: "Dan golongan kiri, siapakah golongan kiri itu? Dalam (seksaan) angin yang amat panas dan air panas yang mendidih, dan dalam naungan asap yang hitam, tidak sejuk dan tidak menyenangkan. Sesungguhnya mereka sebelum itu hidup bermewah-mewah. Dan mereka terus-menerus mengerjakan dosa yang besar. (Surah Al-Waqiah: 41-46)

Jika diselidiki secara rasional dan objektif, kita dapati keghairahan untuk memenuhi tuntutan gaya hidup bermewah jugalah yang sering menjerumuskan seseorang untuk berhutang melalui wahana kad kredit mahupun produk pembiayaan peribadi yang lain. Kedangkalan ilmu, kebobrokan nilai dan kegelojohan berbelanja akhirnya mengakibatkan umat terbelenggu dalam malapetaka hutang yang mampu menghakis jati diri, maruah dan menjahanamkan masa depan negara. Justeru pendidikan menguruskan kewangan dan perbelanjaan berhemah adalah keperluan mendesak untuk diperluas dan diperhebat dalam masyarakat ketika ini.

Umat harus dididik agar dalam keghairahan mereka berbelanja jangan sampai terjerat dalam kancah hutang yang membinasakan. Umat harus dipasakkan dalam pemikiran bahawa kad kredit hanya sekadar wahana untuk pembayaran dan bukannya untuk berlagak 
mewah atau berlebih-lebihan.

Sumber
Sinar Harian
10 Oktober 2012
Catat Ulasan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts with Thumbnails