09 Oktober 2012

ISU PENDIDIKAN : PERLU SANGATKAH MURID BAWA TELEFON BIMBIT?


Rencana ini ditulis oleh :
Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom
Pengerusi Yayasan Guru Malaysia Berhad.


Nampaknya isu sama ada murid boleh atau tidak membawa telefon bimbit ke sekolah timbul semula. 
Kali ini persoalan itu dibangkitkan di Dewan Parlimen pada 3 Oktober lalu. Ahli Parlimen Simpang Renggam, Liang Teck Meng ingin tahu sama ada Kementerian Pelajaran membenarkan murid membawa 
telefon bimbit ke sekolah serta kesan sampingan sekiranya dasar itu dilaksanakan.

Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, menyatakan satu sesi perbincangan meja bulat telah diadakan pada 25 Ogos lalu melibatkan pihak berkepentingan antaranya pengetua, guru dan ibu bapa membincangkan keperluan serta cadangan berkaitan penggunaan peralatan komunikasi itu oleh murid. Kementerian Pelajaran sedang meneliti secara menyeluruh pendapat serta pandangan masyarakat termasuk tokoh akademik, pemimpin badan bukan kerajaan (NGO), guru, ibu bapa dan murid sebelum satu keputusan muktamad diumumkan,’ demikian dijelaskan beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri dalam jawapan bertulis kepada soalan Teck Meng itu.

Soalan itu mungkin ada kaitan dengan usul yang dikemukakan oleh pihak kementerian pada Julai lepas membenarkan murid membawa peralatan komunikasi seperti telefon bimbit dan iPad ke sekolah bermula pada tahun depan. Bagaimanapun cadangan itu mendapat bantahan terutama daripada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan guru yang rata-rata berpandangan langkah tersebut akan mengundang lebih banyak masalah selain menjejaskan pembelajaran murid. Sesungguhnya isu telefon bimbit ini dinyatakan dengan jelas melalui Surat Pekeliling Iktisas Bil. 11/2005 Garis Panduan Penggunaan Telefon Bimbit Oleh Murid Sekolah dan Surat Pekeliling Iktisas Bil. 2/2009 Penguatkuasaan Larangan Membawa Dan Mengguna Telefon Bimbit Oleh Murid Di Sekolah.

Kedua-dua Pekeliling ini tidak membenarkan telefon bimbit dibawa ke sekolah bertujuan mendidik murid menggunakan alat tersebut dengan cara yang betul dan larangan ini hanya berkuatkuasa dalam kawasan sekolah. Penggunaan alat itu tanpa kawalan boleh mengganggu kelancaran proses pengajaran dan pembelajaran. Selain itu boleh mendatangkan pelbagai masalah disiplin seperti kecurian, pergaduhan serta penyebaran bahan maklumat yang boleh mempengaruhi perlakuan negatif dalam kalangan murid. Membawa dan menggunakan telefon bimbit adalah melanggar peraturan dan boleh diambil tindakan disiplin dengan hukuman amaran bertulis dan dilarang menggunakan kemudahan sekolah atau mengambil bahagian dalam program atau aktiviti sekolah untuk satu tempoh tertentu.

Terdapat dua pandangan berhubung isu telefon bimbit ini. Pihak yang menyokong akan menggunakan premis era perkembangan dunia teknologi dan peredaran zaman moden. Bagi mereka penggunaan alat elektronik ini adalah suatu keperluan dan elok dilihat secara positif serta menekankan aspek kebaikan yang boleh didapati melaluinya. Dalam zaman IT ini kecanggihan alat telekomunikasi memang banyak keperluannya, bergantung kepada kebijaksanaan dan bagaimana alat itu digunakan dalam usaha meningkatkan kebolehan dan keupayaan murid. Telefon bimbit masa kini begitu canggih di mana penggunaannya boleh berfungsi sebagai sebuah komputer. Mempunyai kemudahan Internet dan boleh menyimpan beribu-ribu maklumat yang boleh digunakan pada bila-bila masa. Oleh itu sekiranya digunakan dengan cara yang betul, dapat membantu murid mendapatkan maklumat yang diperlukan dengan cepat dan berkesan. Dalam hal ini kerjasama dan bimbingan guru sangat diperlukan supaya penggunaan alat tersebut dapat dimanfaatkan sepenuhnya.

Telefon bimbit juga boleh digunakan sebagai alat penghubung yang mudah dan cepat. Murid dapat menghubungi ibu bapa apabila diperlukan seperti memaklumkan perubahan waktu balik sekolah atau makluman perubahan oleh ibu bapa sendiri. Ia juga boleh digunakan semasa kecemasan. Misalnya, boleh menghubungi segera guru atau ibu bapa jika berlaku perkara yang tidak diingini seperti kejadian buli, peras ugut atau culik. Namun demikian di pihak satu lagi adalah pandangan sebaliknya. Menurut mereka jika dibenarkan akan menimbulkan jurang perbezaan antara murid yang berada dengan yang tidak mampu. Sudah tentu murid yang datang dari keluarga yang berpendapatan tinggi dan menengah atas tiada masalah menyediakan alat itu untuk anak mereka. Tetapi murid daripada keluarga berpendapatan rendah telefon bimbit adalah suatu peralatan mewah.

Suasana ini boleh melebarkan jurang dan rasa 
rendah diri bagi mereka yang tidak mampu. Matlamat sekolah sebagai tempat untuk mendidik dan membangunkan diri murid yang datang dari pelbagai latar belakang akan terjejas.

Membawa telefon bimbit ke sekolah boleh menimbulkan masalah lain seperti kecurian dan pergaduhan. Bagi murid yang tidak memiliki alat itu mungkin akan mengambil kesempatan untuk mencuri telefon bimbit rakan mereka. Kejadian ini akan membawa kepada suasana tegang apabila timbul rasa syak wasangka dan tuduh menuduh akhirnya boleh mengakibatkan pergaduhan. Proses pengajaran dan pembelajaran boleh terganggu apabila murid sibuk menggunakan telefon bimbit mereka. Tumpuan murid akan terjejas dan tidak dapat mengikuti pengajaran guru sepenuhnya. Lebih malang murid lain yang tidak memiliki telefon akan turut terganggu. Ada kalanya alat ini boleh digunakan sebagai kamera video yang dapat merakam termasuk sesuatu yang lucah atau berbentuk negatif. Dikhuatiri juga akan menimbulkan perbuatan meniru dalam ujian dan peperiksaan kerana sesuatu cacatan dan maklumat boleh disimpan dan dilihat pada bila-bila masa.

Jika dibenarkan murid membawa alat itu ke sekolah maka tugas guru akan bertambah. Sudah tentu guru akan ditugaskan mengawal dan memantau penggunaannya agar tidak disalahguna. Cuba bayangkan jika terdapat seribu orang murid di sekolah itu dan semuanya membawa telefon bimbit sudah tentu sedikit sebanyak akan mengganggu ketenangan dan ketenteraman sekolah. Keputusan muktamad Kementerian Pelajaran sentiasa dinantikan sama ada kekal mematuhi arahan Surat Pekeliling sedia ada atau membuat perubahan sebaliknya. Atau opsyen ketiga dengan membenarkannya secara terhad maksudnya hanya kepada murid yang lebih senior. Sama-sama kita tunggu.

Sumber
Utusan Malaysia
9 Oktober 2012
Catat Ulasan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts with Thumbnails