01 Oktober 2012

ISU IPT : TERIMALAH HAKIKAT DENGAN HATI TERBUKA


Rencana ini ditulis oleh
Oleh Ruhaiza Rusmin dan Ihsan Noorzali
rencana@hmetro.com.my24 September 2012


Ternyata pilihan raya kampus yang berlangsung minggu lalu membuktikan kematangan dan kedewasaan sebahagian mahasiswa sebagai golongan terpelajar sekali gus membawa angin perubahan baru dalam politik kampus. Tanpa dicemari insiden tegang atau isu keterlaluan, golongan mahasiswa ternyata cukup tenang dan berdisiplin ketika menjalankan tanggungjawab masing-masing sebagai calon bertanding atau pengundi. Meskipun akur wujudnya isu terpencil, namun keseluruhan proses pilihan raya kampus yang berlangsung boleh disifatkan antara terbaik pernah diadakan. Pro-Aspirasi masih tetap unggul di hati mahasiswa di kebanyakan universiti sementara Pro-Mahasiswa juga tetap bertahan di beberapa kubu kuat.

Senario itu sekali gus menyangkal tanggapan segelintir pihak yang mengatakan sokongan terhadap calon prosspirasi sudah merudum. Kini persoalan utama pula adakah kedua pihak berpuas hati dan reda dengan keputusan diterima? Apakah mereka akur dengan pilihan dibuat pengundi serta apakah janji dibuat mampu ditunaikan? Calon umum Pro-Mahasiswa, Universiti Putra Malaysia, Ahmad Meseiry Abd Hakim Amir berkata, pengundi sudah membuat pilihan dan calon sama ada menang atau tewas perlu diterima dengan hati terbuka. Menurutnya, apa yang perlu dilaksanakan ketika ini adalah menunaikan janji serta mandat diperjuangkan dengan penuh dedikasi bagi membalas jasa pengundi.

“Mereka yakni pengundi membuat keputusan, kami sebagai calon yang bertanding perlu akur dan menerimanya dengan hati terbuka. Sama ada tewas atau menang, bukan pokok persoalan kerana lebih penting adalah memastikan manifesto dilunaskan. Pengundi sudah tentu mahu melihat hasilnya. Bagi saya, kekalahan Pro-Mahasiswa di universiti ini juga sebagai proses pembelajaran dan penambahbaikan strategi. Mungkin ada kekurangan yang perlu diperbaiki bagi menambat hati pengundi pada masa depan,”

Sepanjang tempoh kempen, manifesto menjaga kebajikan mahasiswa adalah paling popular diperjuangkan calon selain isu kebajikan asas seperti kemudahan kolej dan keselamatan. Berbanding tahun lalu yang hangat dengan pelbagai isu panas, pilihan raya tahun ini juga dikatakan sedikit hambar dan ‘lesu’ kecuali beberapa kes terpencil yang berlaku di beberapa institusi pengajian tinggi awam ( IPTA). Selain itu, kebangkitan calon yang berdiri atas tiket bebas juga semakin ketara sekali gus mengundang pertandingan tiga penjuru. Medium berbentuk maya turut digunakan sebagai alternatif kempen berbanding medium konservatif iaitu kempen secara nyata. Calon Pro-Aspirasi Universiti Pendidikan Sultan Idris, Ain Mawarnin Mohd Nadzir berkata, pilihan raya tahun ini juga menjadi penanda aras sejauh mana kemampuan Pro-Aspirasi dalam melaksanakan ‘serangan’ terhadap propaganda Pro-Mahasiswa.

“Ramai beranggapan kami (Pro-Aspirasi) sudah tidak mempunyai senjata ampuh dalam melaksanakan manifesto perjuangan. Namun itu semuanya adalah andaian semata-mata.Biar apa jua manifesto perjuangan, pengundilah paling berhak membuat keputusan dalam menentukan pilihan masing-masing. Justeru kemenangan besar Pro-Aspirasi di kebanyakan IPTA tidak perlu disangsi atau disensasikan kerana pengundi lebih tertarik dengan manifesto diperjuangkan sekali gus memberi kepercayaan kami untuk mengemudi,”

Bagaimanapun beliau mengakui kemenangan itu bukanlah untuk bermegah atau bersenang lenang kerana tanggungjawab yang dipikul berat untuk dilaksanakan. “Kami tidak boleh terlalu leka dengan kemenangan itu kerana ia datang dengan tanggungjawab. Justeru kami perlu pastikan segala kepercayaan pengundi dibalas dengan baik sekali gus mengukuhkan lagi sokongan,” katanya. Rakannya yang juga calon umum Pro-Aspirasi, Mohd Fadlillah Mukhatar, berkata kempen agresif yang dijalankan secara menyeluruh dan menepati kehendak pengundi adalah antara resipi kejayaan Pro-Aspirasi. Menurutnya, pengundi sudah semakin bijak membuat pilihan dan kurang selesa dengan agenda tertentu yang mahu memporak perandakan keharmonian kampus.

“Kami (calon Pro-Aspirasi) memang cukup berpuas hati dan berterima kasih dengan pilihan pengundi. Biarpun dihambat kontroversi, mereka akhirnya membuat pilihan secara matang. Ini membuktikan keamanan dan keharmonian masih menjadi keutamaan. Hakikatnya, sesiapa pun tidak suka disogokkan dengan berita palsu atau provokasi melampau. Saya berharap calon yang menang mampu melaksanakan tanggungjawab dengan baik selain menjadikannya sebagai medan melaksanakan amali sebelum berdepan situasi dunia pilihan raya sebenar,” katanya. Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar Universiti Teknologi Mara, Profesor Datuk Dr Abdullah Mohamad Said, berkata sama ada Pro-Aspirasi, Pro-Mahasiswa atau bebas, pilihan raya kampus adalah medan menilai keupayaan mahasiswa sebagai bakal pemimpin.

Menurutnya, tidak perlu menggembar-gemburkan atau mencipta isu sensasi semata-mata untuk meraih undi, sebaliknya perlu menunjukkan kematangan dalam menangani apa jua situasi. “Ramai pihak melihat mahasiswa dan pilihan raya kampus sebagai ‘isyarat’ terhadap perkembangan serta perjalanan politik negara. Ini satu tanggapan kurang tepat. Mahasiswa adalah kelompok tersendiri, jadi biarlah mereka membuat acuan terhadap pilihan diingini tanpa campur tangan orang luar yang seharusnya bertindak sebagai pemerhati saja. Pilihan raya kampus boleh menjadi landasan ilmu termasuk belajar berkenaan senario politik tanah air selain tanggungjawab sebagai warga negara. Tidaklah nanti mereka mengabaikannya,” katanya. Beliau juga beranggapan secara dasarnya parti diwakili sebagai label semata-mata dan bukan penanda aras terhadap kemenangan, kekalahan atau keupayaan calon. “Tidak perlu mempertikaikan keupayaan calon menerusi kemenangan atau kekalahan kerana ini hanya platform kepada mereka untuk belajar dan membina pengalaman dalam aspek demokrasi.

“Paling penting mereka berjaya mencorak dan menjayakan proses demokrasi di kampus sekali gus lebih matang dan berpengetahuan. Parti diwakili bukan jaminan kukuh mereka boleh mengemudi dengan baik, justeru tunjukkan kewibawaan sebenar sebagai seorang pemimpin yang dipercayai,”

Sumber
Harian Metro
1 Oktober 2012
Catat Ulasan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts with Thumbnails