21 Oktober 2012

ISU GLOBAL : ANTARA BARACK OBAMA DAN MITT ROMNEY


Rencana ini ditulis oleh :
ZIN MAHMUD


Setelah debat kedua Rabu lalu antara presiden bertahan, Barack Obama dengan pencabarnya, Mitt Romney, maka dinilai bahawa 46 peratus memberi kemenangan pada Obama, sementara Romney meraih 39 peratus. ini adalah angka CNN/ORC International. Dalam debat pertama pada 3 Oktober lalu Romney meraih 60 peratus sokongan. Debat akhir akan berlangsung 22 Oktober ini dengan fokus pada dasar luar. Pilihan raya Presiden akan berlangsung pada 6 November di mana persaingan antara Obama dan Romney ini disifatkan sebagai sengit. Tiga debat ini bukanlah acara kempen pilihan raya yang muktamad menjangkakan siapa akan menang. Sebaik saja debat kedua ini, Obama pergi ke Iowa dan Ohio, dengan naibnya, Joe Biden pergi berkempen di Colorado dan Nevada. Romney pula pergi ke Virginia, sementara rakan regunya, calon naib presiden Paul Ryan berkempen di Ohio.

Tempat-tempat ini adalah kritikal bagi mereka dan secara keseluruhan boleh menentukan hasil pilihan raya. Seperti di mana-mana sistem politik di dunia, penyokong tegar wujud di kedua-dua belah pihak. Penyokong kuat Obama akan tetap memberi undi kepada presiden itu walau apa pun hasil kempen itu. Begitu juga dengan penyokong Romney. Obama dilihat sebagai seorang kulit hitam yang mewakili aspirasi golongan sederhana dan susah. Tetapi di pihak penentangnya, mereka gemar mengaitkan beliau sebagai orang yang mempunyai darah keturunan Muslim, walaupun beliau jelas taat mengamalkan Kristian. Di samping itu, beliau dikatakan mempunyai fahaman sosialisme, suatu tuduhan sinis di Amerika Syarikat yang tegas mengamalkan sistem kapitalisme.

Romney pula dilihat sebagai seorang kulit putih yang mewakili aspirasi golongan mewah dan kelas menengah. Beliau beragama Mormon dan bukannya Kristian. Tetapi Romney sebagai seorang yang kaya dan berjaya dalam perniagaan dilihat mampu memperbaiki keadaan ekonomi negara dengan dokongan golongan jutawan Amerika. Di sini dapatlah dilihat bahawa Obama dan Romney seperti dalam tradisi politik Amerika mewakili dua paksi ideologi di negara itu, iaitu liberalisme dan konservatif. Di Amerika, tidak seperti di Eropah, sayap kiri politik dipanggil liberal, tetapi yang kanan tetap disebut sebagai konservatif. Maka mereka yang berpegang teguh pada fahaman ini akan menyokong calon-calon yang mewakilinya tanpa mengira siapa.

Fahaman politik ini diwakili oleh dua parti utama Amerika iaitu Demokratik dan Republikan. Maka penyokong tegar kedua-dua parti tetap menyokong calon yang dipilih oleh parti masing-masing juga tanpa dikira siapa. Namun banyak pengundi Amerika, walaupun mempunyai fahaman tertentu atau menyokong mana-mana parti akan membuat penilaian tentang kemampuan calon presiden untuk memimpin negara dan menyelesaikan masalah mereka, terutamanya ekonomi. Memang ekonomi amat penting lebih-lebih ketika ini di mana Amerika menghadapi keadaan ekonomi yang tidak mantap. Justeru bukan dikira fahaman atau parti tetapi siapa yang mampu membuat dasar yang boleh menyelesaikan masalah ekonomi Amerika, paling jelas sekarang adalah soal pengangguran.

Memihak

Cara Obama memimpin dapat dinilai sejak empat tahun lalu. Prestasinya dianggap sederhana kalau tidakpun gagal. Tetapi banyak pihak tidak mahu menyalahkan Obama kerana sistem dan keadaan Amerika yang ada sekarang adalah warisan daripada presiden terdahulu, George W. Bush di samping penguasaan Parti Republikan di Kongres. kuasa yang dipegang oleh Obama bukannya mutlak. Sistem demokrasi Amerika yang menjadikannya demikian. Namun, kepimpinan dan dasar Obama boleh dilihat lebih berjaya daripada Bush. Lebih-lebih lagi masalah ekonomi yang melanda Amerika dilihat adalah warisan Bush. Walaupun pengangguran masih menjadi masalah tetapi banyak dasar Obama, seperti mana fahaman liberalisme dan Parti Demokratik adalah memihak kepada rakyat pertengahan dan bawah.

Tetapi Romney berhujahkan mengenai keberkesanan kepimpinan dan dasar Obama. Dalam debat kedua itu, Romney kata Obama pandai berkata-kata tetapi dasarnya tidak berkesan. Menurutnya, kalau rakyat Amerika hanya menghendaki yang seperti selama empat tahun lalu, maka pilihlah Obama. Tetapi rakyat Amerika tidak perlu terus menerima keadaan sederhana itu. Mereka boleh memilih cara lain. Untuk itu Romney menawarkan caranya untuk memperbaiki pertumbuhan ekonomi Amerika. Dasarnya ialah mengutamakan pertumbuhan kelas menengah. Di sinilah perbezaan pendirian Obama dengan Romney yang tercermin daripada ideologi liberal dan konservatif mereka. Obama, para liberal dan ahli Demokratik mahu pekerja-pekerja biasa diperkasakan. Apabila mereka berjaya, maka negara juga akan meningkatkan prestasi ekonomi.

Di sebalik dasar ini ialah mengenakan cukai tinggi pada golongan berpendapatan lebih tinggi. Dana yang diperoleh inilah yang hendak digunakan untuk memperkasakan golongan sederhana dan rendah supaya mendapat pekerjaan atau berdikari di samping kehidupan mereka terlindung, termasuk dari segi kesihatan dan peluang pendidikan. Tetapi bagi Romney, golongan konservatif dan Parti Republikan, cara ini tidak akan berkesan. Bagi mereka, mengenakan cukai tinggi kepada golongan kaya akan menjejaskan pertumbuhan ekonomi. Ini kerana golongan kaya yang memimpin syarikat dan perusahaan akan terjejas dana mereka untuk berkembang akibat cukai ini. Jika perusahaan kurang berkembang, maka peluang pekerjaan tidak akan bertambah dan pastinya pengangguran pun berterusan. Apa yang diperjuangkan oleh Romney pasti disukai oleh golongan kaya. Mereka pasti tidak gemar pendapatan mereka dicukai oleh negara.

Romney sememangnya calon bagi orang tersangat kaya. Tetapi golongan tersangat kaya hanyalah satu peratus daripada penduduk. Sedangkan 99 peratus adalah golongan sederhana dan rendah. Jika ini diterjemahkan kepada undi, Romney pasti kalah. Tetapi realitinya tidak begitu. Golongan sederhana dan rendah terutama yang ekonominya kesempitan, tambahan pula kalangan para penganggur mengharapkan suatu perubahan mendadak terhadap Amerika supaya hidup mereka terbela. Maknanya, yang menganggur akan dapat pekerjaan sementara yang kurang pendapatan boleh menambahkannya. Jika cara Romney boleh berkesan walaupun ia akan lebih menyenangkan golongan kaya, maka apa salahnya. Biarlah orang kaya bertambah mewah asalkan orang sederhana dan bawah dapat menaikkan taraf kehidupannya. Maknanya jika air pasang, mereka yang dalam kapal sama akan turut terapung tinggi. Walaupun orang kaya tentulah hidup dalam bilik mewah sementara yang sederhana dalam bilik biasa. Tetapi mereka semua, satu negara dapat menaiki kapal dan sampai kepada pelabuhan.

Inilah yang membuat Romney mempunyai peluang cerah. Tetapi mungkinkah ini semua tipu daya golongan kaya untuk bertambah kaya dengan tidak perlu membayar cukai banyak? Justeru, ia hanya teori dan ideologi semata-mata dan bukannya suatu program yang boleh menyelesaikan masalah pengangguran. Mungkin benar seperti kata Peter Coy dalam Bloomberg Businessweek: "Benda besar sukar untuk dipandu dan tidak ada yang lebih besar daripada ekonomi AS. Selalunya, ia tumbuh, tetapi apabila ia terhenti, presiden-presiden memiliki kuasa yang amat kecil untuk memandunya ke arah yang betul. Reagan mengharungi kemelesetan; Clinton tidak. Itu tidak bermakna Clinton adalah presiden yang lebih baik daripada Reagan. Presiden Howard Taft seratus tahun lalu pernah berkata: "Orang fikir presiden boleh membuat rumput tumbuh dan langit menjadi biru, Ia sebenarnya di luar jangkauan presiden."

Jika dilihat graf ekonomi Amerika sejak tahun 1947, pertumbuhan meningkat dengan berlaku kitaran turun dan naik. Ia berlaku tidak mengira siapa presiden yang berusaha dengan pelbagai cara. Tetapi masalah besar yang dihadapi Obama ini bermula sejak zaman Bush. Dari tahun 2000 hingga 2010, rakyat Amerika berbelanja sesuka hati melalui pendapatan daripada pembiayaan semula rumah yang sebenarnya kekayaan ilusi. Akhirnya ia tumbang juga.

Amerika seperti sebuah kapal besar. Kini Obama dan Romney bertengkar di dek nakhoda. Penumpang akan pilih siapa nakhoda pada 2 November ini. Kemudian mereka hanya berharap hidup akan menjadi lebih baik.

Sumber
Mingguan Malaysia
21 Oktober 2012
Catat Ulasan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts with Thumbnails