12 September 2012

ISU YANG TAK INGIN KITA LIHAT : PELAJAR DILARANG DUDUKI UPSR TAKUT JEJASKAN REPUTASI SEKOLAH



Mahadzir (kiri) membawa pulang anaknya, 
Muhammad Faiz selepas dilarang menduduki 
UPSR di SK Taman Bunga Raya (1), Bukit Beruntung, Rawang pada 11 September 2012.

Seorang pelajar dari Sekolah Kebangsaan Taman Bunga Raya (1) Bukit Beruntung di sini mendakwa telah dilarang daripada menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang bermula semalam kerana dikhuatiri boleh menjejaskan reputasi dan imej sekolah tersebut. Bapa pelajar berkenaan, Mahadzir Mokhtar, 42, berkata, dia amat terkejut dan kecewa apabila dimaklumkan guru besar sekolah itu bahawa anaknya, Muhammad Faiz, 12, tidak dibenarkan menduduki peperiksaan tersebut.

"Saya telah menghubungi pihak sekolah untuk bertanyakan status UPSR anak saya dan berkesempatan berbual dengan salah seorang guru dan kemudian disambungkan kepada guru besar terbabit namun jawapan yang diberikannya itu cukup mengejutkan. Perkara ini jelas menafikan hak anak saya menduduki UPSR namun lebih mengecewakan adalah sikap guru besar tersebut yang seolah-olah anak saya sahaja yang akan menjejaskan imej sekolah berkenaan. Saya akui Muhammad Faiz kerap tidak hadir ke sekolah kerana menghadapi beberapa masalah termasuk masalah kesihatan namun itu tidak boleh dijadikan alasan melarangnya daripada menduduki UPSR,"

Tambah Mahadzir, pada hari yang sama, anaknya juga telah menemui guru besar berkenaan dan diberitahu tidak perlu hadir ke sekolah. Disebabkan sikap guru besar tersebut, anak ketiganya itu katanya, enggan hadir menduduki UPSR meskipun telah beberapa kali dipujuk. Kecewa dengan insiden tersebut, Mahadzir yang juga seorang perunding tuntutan di sebuah firma guaman telah membuat laporan polis di Balai Polis Bukit Sentosa dan mengemukakan aduan kepada Pejabat Pelajaran Daerah Hulu Selangor. Sementara itu, Pengarah Pelajaran Selangor, Mahmud Karim ketika dihubungi memberitahu, beliau telah dimaklumkan berkenaan isu tersebut tetapi masih menunggu laporan lanjut mengenainya.

SEJARAH TAHUN 2011 BERULANG LAGI

Pada tahun 2011, lima pelajar dari Sekolah Kebangsaan Teluk Sara, Baling, Kedah dilarang menduduki UPSR oleh guru kerana bimbang prestasi sekolah akan terjejas. Kejadian yang sama turut berlaku di Sekolah Kebangsaan Bandar Bintangor, Sarawak apabila tiga orang pelajar telah dilarang untuk mengambil peperiksaan tersebut.
Catat Ulasan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts with Thumbnails