02 September 2012

ISU UMUM : IMPLIKASI APPLE LAWAN SAMSUNG


Rencana ini ditulis oleh :
Johardy Ibrahim


Bagi wartawan yang baru bermula pada awal 1990-an, alat komunikasi yang hebat dan bergaya adalah kelui. Apa itu kelui? Ia tiada kena-mengena dengan ikan kaloi atau ejaan salah bagi keluli. Bahasa Inggeris disebut pager atau nama popular, beeper. Fungsinya menyalurkan mesej bertulis ringkas. Kenapa hebat, bergaya? Pada awal 1990-an, kelui boleh digantung pada tali pinggang. Ketika itu, hanya beberapa kategori profesional yang memiliki alat paling canggih tersebut iaitu wartawan, eksekutif pemasaran, doktor dan bookie bolasepak. Betapa usangnya teknologi yang wujud 20 tahun lalu, seseorang yang tahu nombor kelui anda, perlu menelefon pusat khidmat kelui dan menyampaikan secara lisan pesanan ringkas yang kemudian ditaip dan dihantar ke kelui. Kerja kakitangan pusat khidmat kelui ini tentu mencabar bila terpaksa menaip ayat, ‘Beli 5712 RM5 big, RM5 small’ atau Saya sayang awak’ dalam kekerapan tinggi.

Kenapa tidak ada telefon bimbit? Awal 1990-an adalah era revolusi mental bagi rakyat Malaysia. Konsep membeli telefon bimbit berharga RM1,000 masih dianggap suatu perbelanjaan mewah. Hari ini, telefon pintar berharga RM1,000 dianggap biasa sahaja. Maka acap kali selepas menerima mesej pada kelui, saya harus mencari pondok telefon terdekat atau telefon awam di kedai mamak. Bermakna kad telefon RM20 atau duit syiling sentiasa ada dalam poket. Secara ringkasnya, kelui ialah bapa kepada khidmat pesanan ringkas (SMS) pada telefon bimbit, yang kini disebut telefon pintar jika ada akses Internet. Bagi anda yang segenerasi dengan saya, tentu ingat jenama telefon popular Motorola bersaiz sebesar lengan dan telefon Hotline Combi Ericsson yang lengkap dengan bateri besar bak telefon tentera sebelum dibayangi Nokia yang disukai ramai kerana kemudahan mengecas bateri. Hari ini, jenama yang kuat di negara ini ialah iPhone, Samsung dan BlackBerry yang sarat dengan ciri-ciri pintar, malah dianggap mampu menggantikan fungsi komputer riba.

Sengit

Pasaran bagi telefon-telefon pintar begitu sengit hari ini. Lihat sahaja kes saman Apple terhadap Samsung yang dituduhnya meniru produk Apple iPhone dan iPad, dengan Mahkamah San Jose memerintahkan syarikat Korea Selatan itu membayar pampasan sebanyak AS$1.05 bilion (RM3.15 bilion) pada 24 Ogos lalu. Apple yang diasaskan oleh mendiang Steve Jobs turut menuntut lapan produk Samsung diharamkan daripada dijual di Amerika Syarikat dan perbicaraannya dijadual pada 6 Disember depan. Pelbagai pandangan telah dikemukakan oleh para penganalisis industri berhubung kemenangan Apple tersebut, yang sebenarnya bertarung dengan Samsung di sembilan negara lagi. Paling terbaru di Jepun pada Jumaat lalu, mahkamah Tokyo menolak tuntutan Apple yang mendakwa Samsung meniru teknologi miliknya.

Pada 24 Ogos di Korea Selatan, mahkamah negara itu juga menolak tuntutan Apple. Di Jerman, mahkamah Dusseldorf pada Julai mengatakan produk Samsung Galaxy Tap 7.7 meniru rekaan Apple dalam ‘cara tidak boleh diterima’ dan memerintahkan jualannya di Eropah dihentikan. Di Australia, Samsung dibenarkan menjual komputer tablet Galaxy selepas mahkamah tertinggi negara itu mengetepikan rayuan Apple pada Disember 2011. Uniknya kes Apple lawan Samsung ini di sebalik pertarungan di mahkamah, kedua-duanya masih mengekalkan kontrak pembuatan bagi komponen-komponen khusus yang diguna dalam iPhone dan iPad di kilang elektronik Samsung. Presiden Creative Strategies Corp., Tim Bajerin dalam majalah TIME mengaitkan tindakan perundangan Apple itu kepada kemarahan Steve Jobs terhadap Google berhubung rekaan perisian Android yang didakwa diciplak daripada Apple. Menyaman Google mungkin lebih sukar, maka Apple memilih untuk menyaman pemegang lesen Android paling berprofil tinggi. Secara umumnya, Samsung ialah budak belasahan’ bagi Apple untuk melepaskan marahnya terhadap Google,’’ ujarnya sambil menambah, Apple mungkin akan menyaman syarikat lain seperti Motorola dan HTC.

Rayuan

Samsung kini dalam proses rayuan terhadap keputusan mahkamah San Jose tersebut dan tidak mungkin dalam masa terdekat ini ia akan mengeluarkan cek berbilion dolar itu atau kemungkinan syarikat Korea Selatan itu akan melingkup kerana RM3.15 bilion mewakili kurang daripada 1.4 peratus keuntungan global syarikat itu yang diunjurkan bagi tahun depan, menurut firma Sanford C. Bernstein. Ini kerana saman tersebut merujuk kepada model terawal Samsung dan banyak perubahan telah dilakukan pada Galaxy Tab versi terkini. Maka apa kesannya kepada pengguna? Pakar paten, Thomas Frey dari Institut DaVinci di Louisville, Colorado berpendapat para pengguna tidak akan peduli sangat perihal tersebut.

Di pasaran AS, majoriti telefon pintar dijual pada harga yang disubsidi besar oleh syarikat telekomunikasi, dengan kontrak khidmat dua tahun. Ini akan terus mengurangkan kesan yuran perlesenan ke atas harga telefon. (Ia juga faktor susah bagi kita hendak membeli iPhone di New York kerana ia tidak sama seperti di Malaysia yang ada menawarkan set telefon tanpa kontrak). Paul M. Barret dalam Bloomberg Businessweek berkata, memandangkan populariti besar yang dinikmati oleh Samsung dan syarikat-syarikat penyedia Android lain di kalangan pengguna, tidak mungkin syarikat telekomunikasi akan mengehadkan pemilihan mereka.

Lagipun menurut Barret, berbanding dengan mendiang Jobs yang komited untuk menewaskan Google dan Android yang ditawarkan oleh syarikat enjin carian itu, pemimpin baru Apple iaitu Tim Cook tidak memiliki ‘insentif’ untuk menghancurkan Samsung. Rata-rata laporan penganalisis seumpamanya merumuskan perniagaan akan terus berjalan dan kes saman Apple lawan Samsung ini akan kekal begitu. Namun kemuncak segala-galanya ialah pengguna seperti kita yang akan memilih sesuatu gajet telefon pintar berdasarkan ciri-ciri yang tercanggih, selain harga yang berpatutan.

Bahan ini diperoleh daripada :
Akhbar Mingguan Malaysia
02 September 2012
Catat Ulasan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts with Thumbnails